Keberkatan Mahaguru (Bahagian 2)

(Baca Bahagian 1)

“Apa Moorthy thambi?” aku pura-pura tidak dengar.

“Keluarga Mr. Linggam suka minum air maniskah?”

“Saya seorang sahaja yang minum, thambi.”

“Tak takutkah nanti kena penyakit kencing manis?”

Apa dia ingat, dia doktorkah?

“Sudah lama saya minum minuman manis. Saya tak ada apa pun.”

“Mr. Linggam pernah buat pemeriksaan kesihatan?”

“Buat apa saya perlu jumpa doktor? Kalau saya sakit, saya makan Panadol sudah eloklah.”

“Saya risau, nanti semua orang di rumah Mr. Linggam kena kencing manis.”

“Ceh, apalah awak ini!” Kali ini saya tidak boleh tahan lagi. Dia seperti meminta semoga semua ahli keluarga aku kena penyakit kencing manis!

“Saya cuma bagitahu, Mr. Linggam. Baik Mr. Linggam pergi ke hospital atau ke klinik untuk periksa darah dan kencing. Manalah tahu …”

“Moorthy thambi, bukankah saya dah kata, saya tak apa-apa. Buat apa nak periksa itu dan ini?”

Memang melampau budak Moorthy ini.

Setelah balik dari kedai, aku memberitahu kisah mulut celupar Moorthy kepada isteri dan kedua anak-anak.

“Betul juga cakap thambi itu.”

“Apa yang betulnya?”

“Awak kuat minum air manis.”

“Saya cuma minum air manis, bukannya minum air arak pun!”

Isteri aku pun tidak memahami.

“Awak kerap kencing waktu malam dan sering dahaga. Dan nampak selalu letih sahaja. Bukan minum arak sahaja boleh dapat penyakit. Dulu pun saya pernah beritahu awak suruh tengok doktor. Mana awak mahu dengar!”

“Biasalah, saya bukannya muda pun. Umur pun sudah hampir 60 tahun.”

Semua hendak menjadi doktor pada zaman ini. Buka YouTube pun sama. Semua sudah pandai bagi nasihat. Dahulu mana ada begini?

“Ramai yang berumur 80 tahun dan masih sihat. Tengok Tun Mahathir tu.”

“Itu Mahathir.”

Semua suka menjadikan Mahathir sebagai contoh. Mahaguru aku pun apa kurangnya. Beliau pun sihat dan tegap orangnya dan beliau boleh menyembuhkan para pengikut. Mahaguru boleh sembuhkan aku. Buat apa perlu sibuk-sibuk pergi jumpa doktor dan makan pil dan tablet yang teramat seksa untuk ditelan.

Isteri aku pun sama. Tidak suka pada cara Mahaguru berurusan dengan pengikut-pengikut wanita. Mahaguru melayan semua pengikut sama rata. Tidak kira lelaki atau perempuan; pelukannya adalah cara untuk mendapat berkat dan rahmat.

Aku mengambil air Fanta oren lalu membuka tudung, menjauhkan sedikit muncungnya dan minum tiga teguk. Sejuk dan lega.

Seperti yang dijadualkan, Mahaguru datang juga ke bandar kami. Sudah hampir lima tahun aku tidak bersua dengan Mahaguru. Kali ini aku hendak menceritakan segala masalah kesihatan yang aku hadapi.

Aku boleh menipu isteriku atau Si Moorthy  tetapi bukan Mahaguru.

Dewan orang ramai dipenuhi ribuan pengikut Mahaguru. Semua tertunggu-tunggu acara terakhir yang akan berlangsung secara gilang-gemilang.

Setelah Mahaguru bersatsang selama sejam setengah di atas pentas berhias, beliau berdiri untuk memberi berkat dan rahmat dalam dakapan kepada pengikut-pengikutnya. Dengan menerima dakapan penuh berkat dan rahmat itu, akan hilanglah segala kemusykilan.

Terdapat beberapa orang pengawal mengawal keadaan agar para pengikut tidak berpusu-pusu naik ke pentas. 

Aku dan pengikut dari Centre kami berbaris dan mengambil tempat untuk menerima dakapan Mahaguru yang ditunggu-tunggu sekian lama.

Jantungku berdebar dengan sungguh laju. Gembira bukan kepalang. Badanku berpeluh lagi diasak oleh orang ramai di seluruh dewan. Tidak sabar untuk menerima dakapan Mahaguru.

Semoga segala penyakit yang dikatakan ada itu akan hilang dibawa angin.

Di hadapan aku satu persatu mereka naik ke pentas menerima dakapan. Baik lelaki atau perempuan, masing-masing meluahkan permasalahan mereka dan menangis hingga ada yang bersujud di kaki Mahaguru. Mahaguru membangunkan mereka dan mendakap dengan sepenuh jiwa dan raga.

Tiba giliran aku berhadapan dengan Mahaguru. Jantungku masih berdegup kencang.  Aku tidak sempat sujud menyembah Mahaguru. Mataku berpinar-pinar. Cepat-cepat aku mendakap Mahaguru. Aku juga menerima dakapannya.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan,  Eksentrika, mahendran28.blogspot, Cukaria serta di majalah Thendral dan Vanampadi.]

Ulasan