Lavannya Muniyandi, Pelukis dari Banting


Lavannya Muniyandi (27 tahun) dari Banting, Selangor meminati seni lukis sejak kecil dan selalu meluangkan masa lapang dengan melukis. Beliau mendapat pendidikan di SJKT Sungai Sedu dan SMK Banting. Kemudian, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang pelancongan dan pengurusan di Politeknik Sultan Idris Shah, Sungai Ayer Tawar, Selangor. Lavannya bekerja sebagai pembantu perakaunan di sebuah syarikat pembinaan. Beliau tinggal bersama ibu bapa dan nenek. Ayah dan ibu sudah bersara. Lavannya ada seorang kakak yang sudah mendirikan rumah tangga. Anuradha Chelliah berbual dengan pelukis ini untuk membantu orang ramai lebih mengenali beliau.

Apakah yang membuatkan anda meminati seni lukis dan apakah aspek yang anda fokuskan?

Ibu saya, Puan Kawrie Gopal merupakan seorang penggemar seni. Ibu suka melukis pemandangan alam semula jadi. Maka, beliau selalu melukis bersama saya semasa kecil dan ini merupakan permulaan bagi saya. Dari situ, saya mula meminati bidang seni lukis. Pada mulanya, saya memberi tumpuan bagi penggunaan warna pastel minyak dan krayon. Kemudian, saya lebih fokus kepada warna air, akrilik, pastel lembut dan lain-lain.

Adakah melukis ini bidang semula jadi atau anda telah belajar teknik-teknik melukis?

Ya, melukis adalah bakat semula jadi saya. Saya mula meneroka dan mencari pengetahuan lebih tentang aspek-aspek dalam bidang seni ini dengan sendiri. Saya juga mengambil Pendidikan Seni Visual sebagai subjek tambahan di sekolah menengah dan belajar mengenai teknik-teknik seperti melukis batik, melukis mural, lakaran pensil dan lain-lain lagi.

Apakah jenis lukisan yang anda minat?

Saya berminat melukis potret dan pemandangan semula jadi. Kadang kala saya juga gemar melukis seni moden. Seni moden adalah lukisan abstrak yang lazimnya digunakan untuk menghias rumah, hotel, ruang pejabat dan sebagainya.

Pernahkah anda menyertai pameran seni lukis?

Pernah sekali di SJKT Sungai Manggis. Lukisan saya dan pelukis lain dipamerkan untuk murid-murid dan pelawat sempena perasmian bilik seni tambahan di sekolah tersebut. Pelukis terkenal negara kita Dr. S. Chanthiran dijemput sebagai tetamu khas. Beliau juga memuji lukisan saya dan menghadiahkan berus lukisannya sebagai penghargaan. Saya juga selalu menghadirikan diri sekiranya Balai Seni Visual Negara menganjurkan sebarang pameran seni lukis.

Siapakah yang menjadi pendorong anda?

Keluarga dan kawan-kawan menjadi penyokong dan pendorong saya dalam bidang ini. Mereka selalu menghadiahkan saya barang-barang seni lukis untuk lebih menceburi bidang ini. Semua ini memberi semangat kepada saya untuk terus mengasah bakat dalam bidang seni Lukis.

Bagaimana saudari melihat pencapaian saudari 10 tahun dari sekarang?

Saya ingin mengajar anak-anak kecil untuk melukis dan berkongsi pengetahuan saya dengan mereka. Saya rasa seni lukis dapat memberi peluang kepada anak-anak untuk meluahkan perasaan terpendam. Seni lukis juga merupakan terapi yang baik untuk kesihatan. Lukisan dapat membawa ketenangan kepada seseorang individu, maka anak-anak yang berbakat harus mengasah minat mereka dalam bidang ini untuk lebih cemerlang.

Apakah nasihat saudari kepada golongan belia kaum India yang meminati seni lukis tetapi tidak tahu arah tuju mereka?

Terdapat banyak kelas seni dan bengkel bagi kanak-kanak dan orang dewasa untuk belajar dan mengetahui lebih lanjut mengenai lukisan. Saya akan mencadangkan mereka untuk menghadiri kelas-kelas tersebut bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang seni lukis. Ibu bapa juga harus memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak yang meminati bidang seni lukis untuk lebih menyerlahkan bakat mereka sama ada sebagai hobi atau kerjaya.

____________________

Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini, Anuradha berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting. Puisi, esei, dan cerpen beliau termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Meredah Kabus (2021), dan Serpihan Memorabilia 2020: Suara (2021). Karya beliau turut tersiar di Eksentrika dan Dewan Budaya.