Baru-baru ini, saya berkesempatan ke Thiruchirapalli atau singkatannya Trichy. Bandar Trichy merupakan bandar yang keempat terbesar di Tamil Nadu, sebuah negeri di bahagian India India. Trichy terkenal sebagai salah satu tempat beribadah dan pusat membeli-belah dalam kalangan pelancong. Pelancong lazimnya akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Thiruchirapallai sebelum meneruskan perjalanan ke bandar-bandar lain di Tamil Nadu.
Selepas
menikmati sarapan (idli, poori, vadai, ponggal, kesari dan kopi) yang enak,
saya ke Kuil Brahmapureeswarar di Thirupattur. Kuil ini merupakan satu-satunya
kuil Dewa Brahma. Ukiran-ukiran pada dinding dan tiang-tiang di kuil tersebut
sangat unik dan memikat hati saya. Saya pasti ada banyak maksud tersirat pada
ukiran-ukiran tersebut.
Destinasi
seterusnya ialah Kuil Arulmigu Jambukeswarar yang merupakan kuil Dewa Shiva. Menurut
kepercayaan agama Hindu, terdapat lima elemen utama di dunia ini iaitu air,
udara, api, tanah dan angkasa (space) dan ada lima kuil yang mewakili
elemen-elemen ini (pancha bhoota sthalam). Kuil Jambukeswarar mewakili
elemen air kerana dewa di mulasthanam akan berada dalam air mengikut
kala tertentu.
Kunjungan
ke kuil-kuil ini membuatkan saya untuk lebih menghayati keunikan agama Hindu
dan mengenali dengan lebih mendalam isi-isi tersirat dalam lagu-lagu suci nyanyian
Nalvar (Thirunyanasambanthar, Thirunavukarasar, Sundarar dan Manikavasagar).
Seterusnya,
saya ke sebuah restoran untuk makan tengah hari. Biasanya, set makanan Thali
menjadi pilihan. Memang sedap dan boleh dimakan oleh semua kerana masakan yang
dihidang berunsurkan sayur-sayuran. Kebanyakan kuil ditutup dari pukul 12
tengah hari hingga empat petang, jadi saya mengambil peluang ini untuk ke Grand
Anicut.
Grand
Anicut atau Kallanai Dam adalah empangan yang dibina 2000 tahun dahulu dan
masih digunakan sehingga kini. Tempat ini dikawal rapi oleh pihak pengurusan,
maka kenderaan tidak boleh dihentikan sesuka hati. Sekiranya ada kenderaan yang
berhenti di tempat yang tidak sepatutnya, pengumuman akan dibuat melalui
pembesar suara untuk mengalihkan kenderaan tersebut. Grand Anicut adalah
destinasi yang harus dikunjungi untuk menikmati tiupan angin segar dan
bersantai sambil makan ais krim. Taman permainan dan aktiviti menunggang kuda
disediakan untuk orang awam.
Lebih
kurang dalam pukul lima petang, saya ke Rock Fort. Di sini terdapat dua kuil –
Kuil Uchi Pillayar dan Kuil Sri Thayumanaswamy. 437 anak tangga dibina pada
batu besar tersebut untuk sampai ke puncak di mana terletaknya Uchi Pillayar. Saya
berjaya sampai ke puncak. Dari puncak, saya dapat melihat seluruh bandar
Trichy. Pemandangan yang amat mengujakan. Setelah selesai upacara sembayang di
Kuil Sri Thayumanaswamy, saya sempat menikmati sedikit prasadam yang
disediakan. Saya juga minum air soda untuk melegakan tekak.
Saya
sempat membeli-belah pada petang itu di bandar Trichy. Antara kedai yang sesuai
untuk membeli-belah ialah Chennai Silks, Chennai Pothys dan Saradhas. Ada kedai
yang ditutup disebabkan serbuan oleh pihak hasil dalam negeri. Setelah selesai
membeli dua helai sari, saya pun pulang ke hotel untuk berehat sebelum ke Coimbatore
pada keesokan hari.
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].




Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.