Kisah Muhammad dan Penzina

Muhammad mendengar dengan tenang hujah yang dikemukakan kedua-dua pihak. Baginda pasti, Allah sentiasa membimbing dan memberikan tanda-tanda yang jelas untuk dijadikan panduan bagi membuat keputusan.

Kelmarin, ada seorang duda dan seorang janda dibawa ke hadapan Rasulullah untuk dibicarakan. Orang ramai hampir tidak percaya wanita berkenaan seorang penzina.

“Sila kemukakan empat orang sebagai saksi bahawa wanita ini telah berzina,” Muhammad mengingatkan individu yang mengemukakan tuduhan. “Jika gagal berbuat demikian, engkau akan dipukul dengan cemeti sebanyak lapan kali.”

Lelaki yang membuat aduan tentang insiden persetubuhan haram itu terkebil-kebil seketika. Dia tidak mahu tergolong sebagai orang yang fasik serta tidak layak menjadi saksi dalam apa-apa kes buat selama-lamanya.

Apabila empat saksi seperti yang diperintah oleh Allah berjaya dikemukakan, Rasulullah tidak bertangguh dalam melaksanakan tugas dengan adil demi menegakkan syariat.

“Belas kasihan tidak patut mempengaruhi dan mencegah aku daripada menjalankan hukum Allah,” fikir Muhammad yang sentiasa mengingat Allah.

Maka, duda dan janda yang didapati berzina itu dijatuhi hukuman cemeti seratus kali setiap seorang.

“Dan ingatlah perintah Allah bahawa lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin dengan sesiapa kecuali pasangan zinanya, atau dengan wanita musyrik yang menyekutukan Allah,” baginda menegaskan sambil menjatuhkan hukuman serupa kepada wanita yang didapati berzina.

Rasulullah teringat akan peristiwa itu sewaktu mendengar dengan tenang hujah yang dikemukakan kedua-dua pihak di hadapan baginda sekarang.

Seorang lelaki menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain. Akan tetapi, si suami berkenaan tidak dapat mengemukakan empat orang saksi.

“Bersumpahlah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sesungguhnya isteri engkau telah mengadakan persetubuhan haram dengan lelaki lain.”

Kisah penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

____________________

Uthaya Sankar SB lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak, serta kini tinggal di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Beliau terlibat secara aktif dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Uthaya mengasaskan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mengendalikan program bahasa, sastera, kebajikan, seni, dan budaya di seluruh negara sejak tahun 1999.