(Sambungan daripada Bahagian Satu) “Ini hanya bab pertama novel saya. Penerbit tidak sabar menantikan keseluruhan novel ini. Mereka kata inilah karya yang akan mengubah dunia penulisan Tamil,” katanya kepada Kumara dan rakan-rakan dengan suara bergetar.
Kumara membaca sekilas. Susunan cerita yang tiada turutan dan lakaran
tubuh wanita yang seksi di hujung kertas jelas menunjukkan obsesi penulis palsu
itu. Velu memandang mereka bertiga dengan keyakinan yang pudar dan jantung yang
berdegup kencang.
“Tadi ada orang kata saya gagal. Suara itu kata saya penipu. Itu bukan
suara saya,” bisik Velu sambil memegang kepala.
Badan menggigil dan nafas semakin pendek. Dia terus rebah di lantai
warung lalu menggosok lengan seperti menghalau sesuatu yang tidak kelihatan. Kumara,
Arokiasamy dan Sankaran Pillay yang duduk bersebelahan Velu agak terkejut dan
cuba menolong.
Keadaan Velu semakin meruncing apabila tubuh badan yang menggeletar
seperti dirasuk, disertai sawan yang datang tanpa amaran dan menambah kekalutan
suasana. Maniam, pemilik warung, mula sedar ini bukan lakonan. Tangannya terketar-ketar
mencapai telefon bimbit lalu menghubungi nombor kecemasan.
Peluh membasahi dahi Velu. Sekali-sekala dia ketawa kecil, kemudian memaki
sesuatu yang tidak kelihatan. Lima belas minit kemudian, bunyi siren kecemasan
kedengaran dari simpang utama.
Dua orang paramedik segera turun dari ambulans yang baru tiba di hadapan
warung Maniam, dan salah seorang daripada mereka memeriksa tekanan darah serta
tahap kesedaran Velu. Pengunjung warung pula sibuk datang untuk melihat, malah
ada yang sempat merakam video menggunakan telefon bimbit mereka. Kumara dan Arokiasamy
segera bertindak menghalang orang ramai daripada terus melakukan perbuatan bodoh
itu.
“Encik ada sejarah rawatan psikiatri?” seorang paramedik bertanya.
Tiada jawapan keluar dari mulut Velu. Tanpa membazir masa, dia terus
diangkat ke atas pengusung. Di dalam ambulans, dia meracau tidak tentu pasal,
bercakap sendiri tentang kejayaan yang belum tiba dan pengkhianatan yang tidak
pernah wujud. Seketika dia menjerit tanpa arah, seketika kemudian menangis
teresak-esak, suaranya tenggelam bersama bunyi siren yang memecah sunyi.
Perjalanan ke hospital hampir dua puluh minit. Di jabatan kecemasan,
Velu dimasukkan ke wad di zon pemerhatian. Pemeriksaan awal menunjukkan tiada
masalah fizikal.
Seorang pegawai psikiatri dipanggil pada waktu tengah malam untuk penilaian
lanjut. Temu bual yang berlangsung pula agak lama. Velu bercakap tentang
dirinya sebagai seorang penulis yang tersohor dan bekas isteri ialah punca
kegagalan hidup.
Keesokan pagi, selepas penilaian awal dilaksanakan, kebenaran yang
selama ini terpendam akhirnya muncul. Velu didapati menghidap gangguan delusi
dengan ciri psikotik yang telah berkembang lama tanpa rawatan. Tanpa banyak
pilihan, dia dimasukkan ke wad psikiatri untuk penilaian lanjut, meninggalkan
warung, manuskrip, dan dunia khayalannya yang tergantung di ambang runtuh.
Di wad psikiatri, setiap pergerakan Velu dikawal rapi dan jadual
ditetapkan serta ubat diberikan tanpa banyak bicara. Velu dipantau sepanjang
masa, dinilai berulang kali dan disoal tentang realiti dan khayalan. Tubuhnya
perlahan-lahan tunduk kepada kesan rawatan dan tiada drama yang melebih-lebih
kecuali keletihan mental yang memeritkan.
Ubat-ubatan memperlahankan fikiran Velu. Dunia khayalan yang penuh dengan
pujian dan pengiktirafan runtuh satu demi satu. Dalam kejatuhan itu, zaman
kegemilangan Velu yang dibina atas bahtera kepalsuan akhirnya terkubur.
Di warung teh, kerusi yang sering menjadi tempat Velu kini kosong dan
berdebu, seolah-olah tidak pernah diduduki. Tiada siapa menyebut nama Velu,
seakan seluruh kewujudannya dipadam daripada ingatan bersama. Kehidupan terus
berjalan seperti biasa.
Keadaan mental Velu semakin merosot, jauh lebih teruk daripada yang
dijangka sehingga rawatan di wad biasa tidak lagi mencukupi. Dia akhirnya
dipindahkan ke sebuah hospital kesihatan mental yang terletak agak jauh dari
negeri yang didiami. Delusi dan kegelisahannya berubah menjadi episod ganas,
jeritan tanpa sebab, dan kegagalan mengenali masa, tempat, serta diri sendiri.
Velu yang dahulu membina dunia palsu dengan kata-kata kini hilang
kewarasan. Realiti dan khayalan bercampur baur tanpa sempadan dan menjerat
fikirannya sedikit demi sedikit. Akhirnya, Velu ditelan sepenuhnya oleh bayang-bayang
ciptaan sendiri.
Mahu mengirim
karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.