Esei: Bagaimana Anda Ada Masa Untuk Menulis? (Bahagian 1)

Kita sering mendengar penulis – apatah lagi penulis kaum India – memberi alasan tiada masa, sibuk, tidak ada idea, kekangan kerja hakiki, banyak kerja di rumah, urusan menjaga ahli keluarga, dan bermacam-macam lagi sebab untuk tidak menulis.

Hal ini saya perhatikan sendiri menerusi perbualan dengan rakan-rakan penulis sejak 1992 dan apabila mengendalikan bengkel penulisan kreatif sejak 1994. Pada pendirian saya, kita boleh mencari alasan untuk tidak menulis, atau kita boleh mencari alasan untuk menulis.

Pada masa sama, saya kagum melihat begitu ramai penulis – khususnya kaum Melayu – terus aktif menghasilkan karya di pelbagai media. Bagaimana pula mereka masih ada ruang dan masa untuk menulis?

Pertanyaan ini sentiasa bermain dalam minda. Sejak Julai 2024, saya membaca setiap cerpen yang tersiar di Cukaria. Ada beberapa penulis yang karya mereka tersiar minimum dua kali setahun.

Maka, saya menghubungi sebahagian daripada mereka dengan pertanyaan: “Bagaimana anda ada masa untuk menulis?” Berikut penjelasan ikhlas mereka.

Saya cuba mencari ruang dan memberikan peluang sebaiknya yang ada untuk saya menulis. Bagi saya, proses mendapatkan ruang dan peluang itu bermula dengan lintasan idea dalam fikiran dan kemudian ditaip, sama ada di aplikasi Nota di telefon atau dicatat di buku nota. Idea itu boleh jadi satu perkataan sahaja atau satu logline ringkas untuk satu perenggan, satu babak, bahkan untuk satu bab. Dari situ, idea akan saya kembangkan ketika menulis, semestinya sewaktu tersedianya masa, ruang, dan peluang yang sesuai. Biarpun sekejap atau lama, asalkan berterusan. Bagi saya, kita tidak perlu tergesa atau mahu berlumba-lumba. Apa yang penting, kita tahu meletakkan apa yang lebih perlu—tanggungjawab harian, kerja hakiki, atau kecenderungan minat menulis kita. Susunlah sebaiknya. Aturkan semoleknya.”

Badrulhadza Amzah @ Pak Badrul mempunyai latar belakang akademik bidang ekologi dan biodiversiti. Beliau seorang kakitangan kerajaan yang bekerja sebagai Crop Protectionist dalam lapangan pertanian. Pak Badrul menulis buku Sebutir Beras Peluh Petani (2020) selain banyak menulis artikel popular berkaitan pertanian dalam majalah Agromedia terbitan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Antara cerpen beliau di Cukaria ialah “Sungai Yang Tak Pernah Tidur” (26 Mei 2025), Bumi Yang Terjual” (18 Ogos 2025), dan Kedutaan Terakhir Orang Utan” (18 Disember 2025).

“Saya masih mampu menulis kerana ruang sentiasa ada apabila saya licik mencuri masa, dengan tak menunggu waktu yang sempurna untuk menulis. Saya menulis sedikit demi sedikit di belakang kepala (dalam minda) kemudian memindahnya ke layar telefon. Apabila kata-kata mendesak keluar, kesibukan tidak lagi menjadi alasan. Pada saya, kesibukan bukanlah dinding penghadang, melainkan lantai yang menjungkirkan idea, kerana cerita selalu datang di sela kebingitan hidup. Walau hanya beberapa baris sehari, sudah cukup untuk membina sebuah cerpen. Menulis adalah kepuasan yang dapat membahagiakan diri dengan cara tersendiri.”

Nur Cahya Mustafa (nama sebenar) ialah ahli Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) yang dulu aktif menulis di radio Terengganu dan akhbar tempatan dalam genre puisi dan cerpen. Beliau telah memenangi beberapa sayembara dan kini tulisan kembali tersiar di portal-portal, termasuk Cukaria. Bacalah “Wohulu Beras Che De Wook” (30 Oktober 2024), Tteri Mandi Besoh” (11 Jun 2025), dan Perkahwinan Azizah” (27 November 2025) menikmati keunikan dialek tempatan.

“Walaupun ramai orang selalu memberi alasan sibuk dan tiada masa untuk menulis cerpen, saya masih mampu menulis kerana hanya dengan terus membaca dan menulis sastera, saya masih mampu menikmati hidup. Sejak bangku sekolah, saya sering mencuri-curi membaca buku cerita dan komik kerana ia adalah satu ruang untuk saya lari daripada perlumbaan akademik yang mencengkam. Ketika memasuki alam kerjaya, perlumbaan itu berganti pula dengan pelbagai perlumbaan lain yang mematikan jiwa. Hanya dengan ‘berbicara’ bersama sastera, saya mampu bernafas dan menikmati hidup. Tiada masa? Tiada idea? Tiada yang mustahil kepada pencandu sastera; setiap ruang dan ketika ada cerita menunggu-nunggu untuk ditulis.”

Amar Jue (Amar Amir bin Omar) anak kelahiran Alor Setar, Kedah dan kini menetap di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau berkhidmat sebagai akauntan di sebuah agensi kerajaan. Karya turut tersiar di Tunas Cipta, JendelaDBP, Jurnal Pemuisi, Mingguan Malaysia, dan BH Ahad. Cerpen beliau yang saya nikmati di Cukaria ialah Negarawantu” (4 Ogos 2025) dan Pasar Kucing” (13 November 2025).

“Saya tidak lelah menulis. Setiap hari, saya tidak sabar mahu pulang ke rumah untuk menukang cerpen. Kebiasaannya saya akan menulis kira-kira 30 minit sebelum tidur. Jika tidak dapat menulis pada setiap hari, sekurang-kurangnya seminggu sekali. Saya akan merangka cerpen dalam kepala terlebih dahulu. Ketika lapang, baru saya memuntahkannya dalam bentuk tulisan. Syukur jika cerpen masih melekat di kepala sehingga berjaya ditulis. Jika tidak melekat, saya menganggapnya sebagai cerpen yang tidak bagus.”

Aiman Said (Aiman Fawwaz bin Ismail @ Said) berasal dari Tanjong Karang, Selangor. Beliau seorang guru sekolah menengah di Petaling Jaya dan beberapa karyanya tersiar di Tunas Cipta, Selangorkini, dan Tukang Puisi. Bacalah “Pembunuh Sabariah” (25 Ogos 2025) dan “Kita Menari di Wad 02” (10 November 2025) yang tersiar di Cukaria. (Bersambung pada 16 Januari 2026)

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya boleh dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]

Ulasan