Sajak: Bingkisan dari Kota Vatikan

Dari Kota Vatikan yang tenang dan damai,

Aku menerima bingkisan penuh bermakna,

Seutas rosario, biasa rupanya,

Namun penuh doa dari langit sana.

 

Butiran maniknya ku genggam satu persatu,

Sejuk menusuk kalbu namun menenangkan jiwa,

Setiap butir manik seolah berbisik,

“Tenanglah, Tuhan sentiasa di sisimu.”

 

Salib emas di hujung untaian,

Menjadi saksi titisan air mata dan perit hidup,

Di situlah setiap doa digantungkan,

Saat dunia terasa telalu kejam dan gelap.

 

Rosario ini bukan sekadar kiriman,

Ia nadi doa yang berterusan,

Mengajar aku erti kesabaran dan harapan,

Taat dan percaya pada Tuhan.

 

Dari Kota Vatikan ia berlayar jauh,

Peneman hati yang dilanda gemuruh,

Dalam genggaman rosario suci ini,

Aku mengerti cahaya saat jiwa hampir rebah.

 

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Malini Lakshmi Bai dilahirkan di Kuala Lumpur pada 31 Julai 1992. Minat beliau terhadap bahasa dan kesusasteraan bermula sejak persekolahan dan pernah meraih johan serta naib johan dalam pertandingan debat, syarahan, dan forum pelajar. Malini terlibat secara aktif dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sejak tahun 2021. Karya-karyanya boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Kini, beliau berkhidmat sebagai editor pengurusan di My Aviation Magazine. Baca: Biodata penuh]