Cerpen: Chitrakala

Parthiban tidak sangka musibat seperti ini akan berlaku dalam keluarganya. Selama ini dia menganggap semua perkara buruk hanya berlaku dalam keluarga lain, di negeri lain, negara lain atau kepada sesiapa sahaja, tetapi bukan untuk dirinya serta keluarga.

Dia pernah melihat pelbagai berita melalui TV, akhbar dan di media sosial. Kali ini, ia berlaku di depan matanya dalam konteks lain. Ya, di depan mata dan di dalam rumahnya sendiri!

Parthiban berharap sungguh apa yang dilihat dan dialaminya itu adalah hanya sebuah mimpi. Dia tahu kejadian ini bukannya mimpi. Ketika bermimpi, dia sedar ia adalah mimpi. Ini adalah realiti. Tidak boleh samakan realiti dan mimpi. Mimpi lain, realiti lain. Jika sesuatu buruk berlaku dalam mimpi, ia dapat dielakkan dengan tersedar. Jika ia berlaku dalam realiti dengan penuh kesedaran, hendak sedarkan apa lagi?

Parthiban benar-benar menaruh harapan tinggi terhadap anak tunggalnya Vicknesh. Vicknesh diberi penuh kasih sayang. Segala permintaannya yang mampu ditunaikan, dia tunaikan. Kini, Vicknesh seolah-olah telah menghancurkan segala harapan dan impiannya.

Isterinya Valarmathi juga tidak menyangka anak belasan tahunnya akan berbuat demikian. Dia tidak bertindak seperti suaminya. Valarmathi hanya dapat menangis sahaja dan tidak pasti sama ada dia menangis kerana Vicknesh dibelasah oleh bapanya ataupun kerana kemungkarannya.

Vicknesh pula tidak tahu hari itu akan menjadi hari malang dan dia akan dibelasah oleh bapanya dengan tali pinggang hingga menyebabkan badannya berdarah dan bengkak.

Bapa yang tidak pernah memukul atau mencubitnya, kini sudah membelasahnya! Vicknesh langsung tidak boleh percaya. Perasaan benci terhadapnya membuak-buak. Dia menyesal kerana tidak berhati-hati sebelum melakukannya. Dia pun tahu sesal kemudian tidak ada gunanya.

Keadaan rumah mereka menjadi senyap sunyi setelah kejadian pagi tadi. Parthiban tidak ke kerja hari itu.

Walaupun tidak terdaya untuk memasak, Valarmathi paksakan diri ke dapur. Masalah tetap akan kunjung tiba. Perut perlu diisi.

Parthiban tidak melakukan apa-apa pada hari itu. Dia hanya duduk di sofa dan termenung. Dia berasa gelisah dan bersalah kerana membelasah Vicknesh. Tetapi perkara yang dilakukan oleh Vicknesh sudah tentu mengundang kemarahan sesiapa sahaja hingga sukar untuk mengawal diri.

Vicknesh terbaring di katil. Hatinya sedang membakar. Matanya berair. Menangis bukan kerana menyesal. Dia menangis kerana dia dipukul oleh bapanya. Dan menangis kerana segala-galanya telah musnah. Dan dia tidak tahu bagaimana akan berdepan dengan kedua orang tuanya semula. Sungguh memalukan.

Bagi Vicknesh, kejadian pagi tadi bukanlah sebesar mana pun. Sudah hampir beberapa bulan dia berbuat demikian di dalam biliknya. Biasalah bagi seorang anak remaja melakukan sesuatu di dalam bilik tanpa pengetahuan orang tuanya. Kini privasinya sudah terganggu. Rahsianya sudah diketahui oleh ibu dan bapanya.

Dia bangun dan ke meja tulisnya dan duduk di kerusi. Dia lupa untuk menyorokkannya sebelum keluar dari bilik pagi tadi. Kini segala-galanya telah habis musnah. Dimusnahkan sendiri oleh bapanya. Tidak ada apa yang tinggal.

Sambil memotong bawang merah, Valarmathi terbayangkan Vicknesh  bertatih-tatih berjalan memegang tangannya. Sejak kecil Vicknesh suka menconteng, baik di kertas, mahupun di dinding. Menconteng sahaja kerjanya. Hinggakan ada sebahagian dinding di kawasan dapur tidak dicat semula, agar ia tinggal sebagai kenangan.

Semakin membesar, bakat Vicknesh terserlah dalam bidang lukisan. Apa yang dilihat di depan mata pasti dijadikan lukisan. Demi menggalakkan minat anaknya, Parthiban menghantarnya ke kelas seni lukis, tetapi Vicknesh hanya pergi beberapa bulan sahaja. Dia lebih gemar melukis secara bebas tanpa perlu ditunjuk ajar. Dia memiliki bakat semula jadi. Valarmathi dan Parthiban percaya bahawa Dewi Saraswathi mengajar anak mereka tanpa disedari.

Setiap kali pertandingan melukis dianjurkan, pasti Vicknesh akan mengambil bahagian dan menggondol hadiah pertama. Dia menjadi kebanggaan semua. Kebanyakan penduduk bandar kecil itu mengenali Vicknesh.

Pagi tadi ketika Vicknesh ke bilik mandi, Valarmathi sedang menyapu rumah dan masuk ke bilik Vicknesh. Ketika itulah dia terlihat sesuatu yang tidak sepatutnya dilihat oleh seorang ibu di bilik seorang anak lelaki.

Di bawah bantal tempat tidur Vicknesh, kelihatan sebuah buku sketsa dan pensel. Dengan penuh teruja Valarmathi teringin melihat apa yang dilukis oleh anaknya.

Alangkah terkejutnya dia ketika menyelak helaian pertama dan beberapa helaian seterusnya. Dia tidak sanggup melihat semua helaian di dalam buku itu. Dengan perasaan tergamam dan berdebar dia mengunjukkan buku sketsa itu kepada suaminya.

Parthiban turut terkejut melihat segala lukisan yang dinukilkan oleh anaknya. Kalau dahulu dia berbangga dengan setiap chitra yang dihasilkan oleh Vicknesh. Kali ini dia tidak. Seluruh badannya bergetar. Kepalanya menjadi panas. Perasaan menurut sesuatu dan tangannya bertindak pantas.

Vicknesh sungguh kesal dan sedih melihat bapanya mencari lagi apa-apa yang dilukis sebelum itu, lalu diambil segala-galanya ke belakang rumah dan membakarnya. Setelah itulah tali pinggang menghinggapi dirinya secara bertalu-talu.

Hancur musnah segala lukisannya yang dinukilkan secara bersusah-payah. Lainlah, jika dibakar lukisan yang dikatakan ‘tidak senonoh’ itu sahaja, ini tidak. Segala hasil karya yang dihasilkan sejak kecil semua telah dibakar termasuk yang digantung pada dinding.

Dalam kesedihan itu, Vicknesh teringatkan pemimpin negara.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera KavyanEksentrika, Cukaria, dan Blog Peribadi, serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]