Benarkah Sasterawan Kavyan Tidak Berkarya?

Dalam sesi bual bicara Suara dari Anjung: Tinta Sastera Menelusuri Ensiklopedia anjuran di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 11 September 2025, turut diperkatakan tentang penglibatan, sumbangan, serta perkembangan Sasterawan Kavyan, iaitu para penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia.

Reaksi dan ulasan Uthaya Sankar SB boleh dibaca di sini. Berikut pula reaksi dan komen beberapa individu susulan sesi bual bicara itu.

* * *

“Saya pernah membaca banyak karya Sasterawan Kavyan, contohnya antologi cerpen terbitan persatuan ini dan juga karya yang pernah disiarkan dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pada pemerhatian saya, karya mereka amat bermutu dan ada kelainan berbanding karya penulis dari persatuan lain. Gaya bahasa para penulis kaum India yang bernaung di bawah Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) memang lancar, puitis, dan cerita mereka juga kreatif; terutamanya cerpen.  Mereka mengutarakan pelbagai permasalahan berkaitan diri mereka sendiri termasuklah adat resam, pantang larang, masalah sosial, ekonomi, dan juga isu kekeluargaan yang berkisar tentang diri dan kaum India. Situasi ini  sangat berguna kepada saya selaku pembaca yang ingin belajar serta menyelami atau mengkaji budaya rakan-rakan kaum India. Saya harap para Sasterawan Kavyan tetap bertenaga  dan bersaing dengan para penulis lain dalam bidang Sastera Kebangsaan. Saya tetap menyokong dan memberi galakan kerana saya kagum dengan usaha Kavyan. Syabas kerana berjaya mencipta nama yang mantap selama ini. Teruslah berkarya demi memartabatkan Sastera Kebangsaan di negara tercinta.”

[Sujata Wee (Wee Sock Yam) lahir pada tahun 1965 di Kampung Jelawat, Bachok, Kelantan. Beliau menulis dalam pelbagai genre termasuk sajak, syair, pantun, gurindam, cerpen, dan novel. Karya tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah. Selain empat buah buku persendirian, Sujata Wee juga terlibat dalam lebih kurang seratus projek antologi pelbagai genre. Beliau menerima hadiah penghargaan  Sayembara Penulisan Cerpen sempena Hari Ulang Tahun 50 GAPENA (2020), Anugerah Khas Wanita Bukan Islam sempena Hari Sayyidatina Khadijah (2021) dan Anugerah Tinta Inspirasi (2024) daripada  Persatuan Ikatan Persuratan Melayu Melaka.]

* * *

“Untuk kekal gemilang, cemerlang, dan terbilang, saya cadangkan supaya Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) anjurkan sebuah acara yang dapat menandingi prestij Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tapi kini dijenamakan sebagai Minggu Penulis Pernah Remaja (MPPR). Hal ini kerana dunia bukan hanya milik orang muda (remaja) tetapi juga milik orang dewasa/tua yang sudah mula mengambil ubat untuk menghindari kesan gout.”

[Amir Muhammad lahir di Kuala Lumpur pada tahun 1972. Beliau ialah pengasas syarikat penerbitan Buku Fixi dan syarikat penerbitan filem Kuman Pictures. Beliau telah menulis beberapa buah buku tetapi kini sudah tidak lagi diulang cetak; antaranya Yasmin Ahmad’s Films (2009) dan 120 Malay Movies (2010). Amir juga pernah mengarah beberapa buah filem, termasuk dua dokumentari yang sudah diharamkan di Malaysia iaitu Lelaki Komunis Terakhir (2006) dan Apa Khabar Orang Kampung (2007).]

* * *

“Saya berani menghasilkan karya Bahasa Malaysia kerana Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Kavyan turut membuka peluang kepada penulis kaum India untuk menulis dan menerbitkan karya melalui portal Sastera Kavyan. Saya sentiasa merujuk perkongsian Uthaya Sankar SB selaku pengasas Kavyan kerana apa-apa yang dikongsi di blog beliau membantu saya menulis karya bermutu dalam Bahasa Malaysia. Menerusi Kavyan, saya pernah menganjurkan beberapa aktiviti seperti Bakat Seni dan Budaya Kaum India (Jun 2016), Program Memartabatkan Bahasa Malaysia (Julai 2016), Kita & Karya (Januari 2019), serta Program Didik Hibur (Mei 2025) di SK Sri Langat, Banting, Selangor. Saya juga menyelaras program Cabaran Membaca Kavyan (Disember 2023). Sememangnya, Kavyan sentiasa memartabatkan Bahasa Malaysia melalui pelbagai aktiviti dan program serta memberi tunjuk ajar kepada penulis yang berminat untuk berkarya, terutamanya bakat baharu dalam kalangan kaum India.”

[Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau merupakan graduan Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan seterusnya menyambung pelajaran dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau mengajar Bahasa Inggeris di SK Sri Langat, Banting, Selangor. Antara antologi beliau adalah Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022), dan Seruling Malam (2024). Karya-karya Anuradha boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan.]

* * *

“Memang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Maybank pernah mengadakan Hadiah Cerpen Maybank-DBP, lalu membuka peluang kepada penulis Bukan Melayu selama beberapa tahun tetapi pertandingan itu sudah ditiadakan. Namun begitu, bukan bermaksud Sasterawan Kavyan hanya menantikan pertandingan dan sayembara untuk menulis. Tanpa pertandingan pun Sasterawan Kavyan tetap dan masih menghasilkan buku serta menulis di akhbar dan portal-portal utama di Malaysia. Malah, Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) yang diasaskan pada tahun 1999 telah berjaya melatih sejumlah calon baharu kaum India dalam bidang penulisan. Hasil karya mereka tidak pernah menembusi mana-mana pertandingan menulis sebelum ini, sebaliknya lahir menerusi usaha gigih Kavyan. Perlu ditegaskan bahawa para Sasterawan Kavyan bukan menulis demi wang. Karya-karya mereka sering mencerminkan budaya kaum India dan menjadi bahan rujukan utama dalam kajian Sastera Kebangsaan.”

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan,  Eksentrika, mahendran28.blogspot, Cukaria serta di majalah Thendral dan Vanampadi.]

* * *

“Sepertimana dinyatakan oleh Dr. Krishnan Maniam, kewujudan Balai Muhibbah suatu ketika dahulu banyak membantu penulis kaum India bergiat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia. Kini tidak ada lagi Balai Muhibbah tetapi banyak platform dan bengkel penulisan diadakan dan ramai juga penulis India menyertai serta menghasilkan karya bermutu. Apakah kemungkinan para penulis ini tidak berada di bawah naugan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyebabkan Dr. Krishnan dan DBP sendiri tidak peka dengan kehadiran mereka? Dengan wujudnya Pertubuhan Sasterwan Kaum India (Kavyan) yang diasaskan pada tahun 1999, ramai penulis lama dan baharu diberikan dorongan untuk giat menulis dan menghasilkan karya bermutu. Ramai penulis kaum India yang hampir malap dan hilang minat berjaya digilap semula oleh Kavyan untuk menghasilkan karya bermutu. Kewujudan  portal Sastera Kavyan turut membangkitkan semangat para penulis kaum India untuk menghasilkan karya.”

[N. Nitha @ Navanitha Nairu lahir di Kangar, Perlis dan kini tinggal di Menglembu, Perak. Karya termuat dalam antologi seperti Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Lakaran Diri (2022). Nitha turut menjadi penyunting bersekutu dalam projek penerbitan kumpulan cerpen Karupaya (2018) serta Thirukkural dan Megha Duta (2018). Beliau menyertai Sesi Penulisan Intensif anjuran Kavyan (Mac 2019, Ogos 2019, dan November 2019) serta Bengkel Sayembara Penulisan Cerpen Menara (Mac 2020).]

Ulasan