Di sebuah hospital yang sangat sibuk dan ramai orang serta pesakit, kelihatan seorang remaja berlari ke arah bilik nombor 34. Apabila dia sampai di pintu bilik, dia memandang ayahnya yang memakai topeng oksigen sambil memegang dada.
“Karthik, jangan risau pasal ayah. Pergilah belajar bersungguh-sungguh dan tulis SPM
dengan tenang. Jangan lepaskan peluang ini.”
Karthik menghampiri ayah dan memegang tangan beliau dengan penuh kasih.
“Bagaimana boleh jadi macam ini? Jangan tinggalkan Karthik, ayah.”
Air matanya mengalir deras. Pada detik itu, setiap titisan air mata
membuatkan Karthik memikirkan tentang masa silam ayahnya.
Selvam ialah seorang pekerja kilang yang bertanggungjawab. Walaupun pendapatannya kurang, beliau tidak pernah menolak permintaan anak. Karthik seorang anak yang baik dan seorang murid cemerlang serta rajin.
Pada setiap pagi, apabila ayah menghantar Karthik ke sekolah, ayah selalu berpesan supaya Karthik belajar
bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga. Selvam sedar bahawa pendidikan merupakan satu-satunya wahana
untuk memancu mobiliti sosial diri, keluarga dan komuniti.
Tibalah masa untuk Karthik menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM). Pada hari pertama, seperti biasa, ayah menghantar Karthik ke sekolah. Karthik memasuki
dewan peperiksaan dengan perasaan teruja lalu duduk mengikut angka giliran yang diberi.
Karthik melangkah keluar dari
dewan dengan penuh keyakinan apabila masa tamat. Dia berjalan ke arah pondok pengawal lalu
menunggu ayah datang mengambilnya.
Namun, setelah sekian lama menunggu, Selvam tidak sampai lagi untuk mengambilnya. Karthik berfikir mungkin ayahnya sibuk. Oleh itu, Karthik mengambil keputusan untuk berjalan ke rumah.
Sampai sahaja di rumah sewa, Karthik membuka pintu lalu
mencari-cari kelibat ayah. Apabila gagal menemui ayah di dalam rumah, Karhik
melangkah keluar untuk mencari di halaman.
Tiba-tiba, jiran menjenguk keluar dari pintu
sebelah.
“Tambi,
ayah kamu sudah dihantar ke hospital
kerana dia kurang sihat. Kami
terdengar beliau menjerit kesakitan, jadi kami panggil ambulans.”
Sebaik mendengar berita itu, Karthik berlari mencari teksi. Apabila sampai di hospital, dia meluru ke kaunter pertanyaan dan bertanya kepada petugas di sana.
“Cik, di manakah ayah saya?” Karthik bertanya dengan penuh rasa
gementar.
“Adik, apa nama ayah kamu?” tanya jururawat
kepada Karthik.
“Selvam,” jawab Karthik sambil
tercungap-cungap.
“Selvam,” jururawat mengulangi
sambil menyemak rekod pada komputer. “Ayah kamu di bilik
nombor 34.”
Karthik masuk ke dalam bilik itu dan duduk di
sebelah ayah yang terlantar lemah. Sambil mengenang segala jasa ayah, Karthik menghela
nafas.
“Ayah, saya sayangkan ayah. Ayah pasti pulih
secepat mungkin,” Karthik berbisik ke telinga ayah yang masih menghadapi
masalah untuk membuka kelopak mata.
[Kirthigan
Pandian lahir pada tahun 2009. Beliau mendapat pendidikan
di Sekolah Kebangsaan Seri Cheras dan Sekolah Menengah Kebangsaan Yaacob Latif,
Cheras, Kuala Lumpur. Remaja ini terlibat dalam pelbagai program bahasa dan
sastera anjuran Kavyan
seperti Bengkel
dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), Lepak Menulis Cerpen di Anak Baba (September
2023), Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023), serta Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (Disember 2023). Karya Kirthigan
di portal Sastera Kavyan boleh dibaca
di sini.]