Dia tidak sepatutnya berbuat demikian. Saya tidak sangka rumah tangga
kami akan hancur dalam masa satu tahun sahaja. Satu tahun. Ya, satu tahun
sahaja! Saya menaruh harapan tinggi agar kami akan kekal hidup bersama hingga
ke anak, cucu dan cicit.
Saya tidak kata yang cinta kami sebagai Ambikapathi-Amaravathi,
Laila-Majnun atau Romeo dan Juliet. Kami bercinta sama seperti orang kebanyakan
yang lain di muka bumi ini. Ada sahaja pahit dan manis sepanjang satu tahun
bercinta.
Dan itu bukan bermaksud kami hanya bercinta ketika bercinta dan tidak
bercinta selepas berkahwin. Pasangan suami isteri harus bercinta sepanjang
hayat. Janganlah berkahwin hanya untuk melahirkan anak, membesarkan mereka dan
menjana pendapatan sahaja. Ada banyak lagi perkara yang perlu dan boleh
dilaksanakan.
Saya berkahwin bukan untuk meniru apa yang telah dilakukan oleh nenek
moyang secara membuta tuli. Tidak ada gunanya saya seorang sahaja berfikiran
begitu sedangkan suami tidak.
Ya, suami saya tidak meneruskan cintanya sebagaimana dia mencintai saya
ketika kami dalam alam percintaan dahulu. Iaitu, dia tidak mencintai saya
seperti mana saya mencintainya sekarang.
Dia langsung berubah selepas setahun kami berkahwin.
Apa yang saya cita-citakan tidak kesampaian selepas satu tahun
berkahwin. Saya sungguh hairan bagaimana tiba-tiba sahaja dia boleh berubah.
Saya pernah mendengar kisah suami isteri bergaduh hingga si suami memukul si isteri. Saya tahu kerana ia pernah
berlaku dalam kalangan saudara mara saya sendiri.
Dan saya rasa sungguh bersyukur kerana ibu bapa saya tidak begitu,
walaupun kadang-kala mereka bertengkar kecil apabila berlaku selisih faham. Ia
tidak melarat hingga menaikkan tangan. Bapa saya memang gentleman.
Kami mula bergaduh setelah menyambut ulang tahun pertama perkahwinan.
Kebanyakan masa, saya hanya berdiam sahaja. Dia yang selalu bising tidak tentu
pasal. Masalah kecil yang ada penyelesaian, diperbesarkan.
Dia sering menyalahkan saya walaupun dialah puncanya. Memang dasar
seorang lelaki egoistik. Sungguh pandai dan licik dia menutup segala
kemungkaran yang dilakukan dan menuduh saya sebagai penimbul masalah.
Adakah saya punca segalanya?
Saya?
Saya?
Bukankah dia yang memulakan dahulu hingga memandang saya sebagai
musuhnya? Bukankah dia yang mengatakan bukan-bukan tentang saya dengan kaum
kerabat dan sahabat handainya?
Apabila mulutnya dibuka untuk mengucapkan perkataan “cerai”, saya
tergamam hingga tidak dapat mengeluarkan suara. Kerongkong terasa perit. Sukar
untuk menelan air liur. Terasa ada suatu objek turun dan naik dalam kerongkong.
Saya boleh buat apa seterusnya? Merelakan?
Banyak persoalan timbul di benak. Jika kami perpisah, sudah pasti semua
saudara-mara akan menyalahkan saya. Dia telah meyakinkan mereka, sayalah salah
dan dialah betul.
Sungguh kelakar bukan?
Adakah kami perempuan boleh diperlakukan sesuka hati? Nasib baik dia
tidak sampai hingga memukul saya. Sudah pasti saya kerjakan dia cukup-cukup.
***
Aku suaminya.
Ya, dia memang begitu. Suka membebel. Memang kami berdua bercinta sehati
dan sejiwa. Tetapi tidak tahu mengapa, selepas berkahwin semua berubah. Bukan aku yang mengubahnya. Aku pun
sungguh hairan dan pelik. Mengapa ia terjadi begitu. Ia seperti terjadi dengan
sendiri.
Aku ini lelaki - biasalah begitu.
Aku menjadi suaminya bukan untuk dipersalahkan. Sebelum berkahwin, aku
ingat dia cukup sempurna seperti yang disebut-sebutkan selalu. Kemudian barulah
diketahui sebenarnya dia tidak
sesempurna seperti disangka.
Cakap tak serupa bikin. Di luarannya sahaja dia kelihatan sebagai
seorang perempuan yang berkarisma. Sebenarnya tidak pun. Sukar hendak
diterangkan. Memang dia seorang yang pelik. Dia tidak merealisasikan tugasnya
sebagai seorang isteri.
Saudara-mara dan rakan-rakan kami hairan. Baru setahun berkahwin, aku
sudah memohon untuk bercerai. Mereka sungguh terkejut dengan keputusanku.
Kedua-dua ibu bapa kami menasihatiku untuk fikir betul-betul sebelum bertindak.
Apabila aku menyebut masalah-masalah yang dihadapi selepas berkahwin,
mereka hanya diam. Sebahagian adik-beradik dan rakan-rakanku bersetuju dengan
tindakanku.
Kehidupan kami hanya indah untuk setahun.
Aku masih terbayangkan saat-saat indah hari pertama kami bertemu.
Perawakannya, kecantikannya dan pertuturannya memang lain daripada perempuan
yang aku pernah temui. Dialah cinta pertamaku. Dan dia jugalah kuanggap akan
bersama-samaku hingga ke akhir hayat. (Bersambung
pada 6 Mac 2026)
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan, Eksentrika, Cukaria, dan Blog Peribadi, serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.