Anak jati Selangor yang lahir di Klang dan kini menetap di Telok Panglima Garang merupakan anak ketiga daripada tujuh adik-beradik. Setelah ayahnya, Encik Muniandi meninggal dunia ketika berusia tujuh tahun Navanetham dan adik-beradiknya membesar dengan didikan dan sentuhan kasih sayang ibu.
Wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Malaya ini minat membaca buku dan melancong. Beliau juga berkecimpung dalam fotografi dan gemar mengambil gambar-gambar pemandangan yang memberi ketenangan.
Beliau juga sangat aktif dalam yoga dan mendapat
tempat keenam dalam Pertandingan Yoga Antarabangsa 2025 bagi kategori umur 40
hingga 50 tahun.
Bagaimanakah anda boleh meminati aktiviti pendakian?
Saya suka meluangkan masa dengan alam semula jadi tetapi sebagai seorang yang bukan daripada latar belakang sukan, aktiviti mendaki ini hadir secara tidak dirancang dalam hidup saya pada tahun 2022.
Pada bulan Ogos 2022, saya mendaki Bukit Wawasan dan diberi kesempatan bertemu seorang rakan. Saya memaklumkan kepadanya untuk memberitahu saya sekiranya ada aktiviti pendakian yang boleh saya turut serta.
Dua bulan kemudian iaitu pada bulan November 2022, saya menerima panggilan daripadanya untuk mendaki Gunung Kinabalu pada bulan Mei 2023. Ini adalah sesuatu yang tidak pernah saya impikan sebelum ini, namun saya teringat kata-kata salah seorang sahabat baik saya yang pernah berkata bahawa apabila peluang mengetuk pintu, rebutlah peluang tersebut kerana ia mungkin tidak akan datang lagi.
Saya bersetuju untuk
menemani kawan saya ke Gunung Kinabalu dan semuanya bermula dari situ.
Siapakah yang menjadi inspirasi kepada anda?
Saya menyertai kumpulan mendaki Time Lapse Adventure (sebuah pasukan mendaki berdaftar di Malaysia) untuk melatih diri saya ke Gunung Kinabalu. Saya bertemu dengan ramai anak muda dalam kumpulan tersebut yang memberi inspirasi kepada saya terutamanya Tharma, Loghes, Yoges, Kishu, Keetha, Gawry, Lavaanya dan ramai lagi.
Dalam kalangan mereka, Tanusha merupakan individu yang paling banyak memberi motivasi kepada saya untuk menerokai pengembaraan pendakian yang lebih mencabar seperti G7 – Gunung 7.
G7 di Malaysia merujuk kepada 7 puncak gunung
tertinggi di Semananjung Malaysia yang berketinggian melebihi 7000 kaki.
Boleh anda ceritakan pengalaman pendakian yang paling mencabar dan pendakian yang paling mudah?
Pendakian yang paling mencabar ialah Gunung Kinabalu yang terletak di Sabah dengan ketinggian 4095 meter kerana ia merupakan pengalaman pendakian pertama saya dan ketika itu saya tidak mempunyai banyak pengetahuan mengenai persediaan yang diperlukan.
Walaupun saya berjaya sampai ke puncak, saya mengalami sakit lutut yang teruk selepas menamatkan pendakian sehingga saya terfikir untuk menghentikan aktiviti pendakian sepenuhnya.
Namun begitu, kerana saya sangat mencintai alam semula jadi, salah seorang rakan baik saya Encik Arivan, memberitahu bahawa semua ini hanyalah sementara dan meminta saya berehat seketika sebelum membuat keputusan untuk menyertai aktiviti pendakian seterusnya.
Encik Arivan, seorang pakar perubatan tradisional Siddha menasihati saya untuk mengubah cara pemakanan dan terus memberi semangat kepada saya. Saya masih ingat pada kata-katanya yang memberi dorongan kepada saya untuk menawan lebih banyak gunung serta menikmati lebih banyak kenangan indah menerusi pendakian.
Pendakian
yang paling mudah ialah Bukit Guling Ayam yang terletak di Gombak, Selangaor. Bukit
ini menawarkan pemandangan 360 darjah yang sangat mengagumkan termasuk
pemandangan Bandar Raya Kuala Lumpur. Saya hanya mengambil masa selama 20 minit
untuk sampai ke puncak. Walaupun pendakiannya singkat, saya berpeluang menatapi
matahari terbit yang sangat indah yang masih segar dalam ingatan.
Adakah anda meminati pendakian secara berkumpulan atau pendakian solo? Mengapa?
Pendakian secara berkumpulan. Ini kerana ia memberi semangat dan aura yang lebih positif. Setiap ahli akan memberi semangat antara satu sama lain. Kami juga dapat mempelajari pelbagai ilmu pendakian sekiranya berada dalam kumpulan.
Walaupun
berada dalam kumpulan, perjalanan menuju ke puncak tetap merupakan satu perjalanan
solo.
Apakah persediaan yang anda lakukan sebelum sesuatu pendakian?
Seminggu sebelum mendaki, saya akan megambil lebih banyak makanan berunsur berprotin. Air sangat penting. Saya akan minum sekurang-kurangnya tiga liter air sehari untuk mengelakkan penyahidratan semasa mendaki.
Saya juga bersedia secara mental untuk mengharungi cabaran pendakian. Saya berpegang kepada prinsip, ‘Perjalanan lebih penting – menawan puncak adalah perkara kedua.’ (Journey Matters – conquering the peak is secondary).
Barangan semasa pendakian bergantung kepada sama ada pendakian sehari atau pendakian berkhemah. Bagi pendakian sehari persediaannya sangat minimum di mana saya hanya perlu memastikan membawa air dan makanan yang secukupnya untuk tempoh perjalanan.
Bagi pendakian berkhemah pula, saya perlu membuat banyak persediaan seperti memastikan beg mendaki yang sesuai untuk memuatkan makanan dan air yang mencukupi, beg tidur, peralatan perkhemahan, keperluan asas untuk memasak, ubat-ubatan, lampu kepala, baju hujan, sarung tangan serta pakaian yang sesuai untuk waktu siang dan malam.
Saya
juga akan bersedia secara emosi. Persediaan ini sangat penting untuk memudahkan
perjalanan.
Bagaimanakah penglibatan dan penerimaan kaum wanita India dalam aktiviti pendakian sebegini?
Penglibatan dan penerimaan kaum wanita India dalam
aktiviti pendakian sangat
mengalakkan kerana saya dapat melihat ramai remaja perempuan kini melibatkan
diri dalam aktiviti mendaki dan mencabar diri mereka untuk meneroka lebih
banyak pengembaraan pendakian.
Apakah aktiviti lain yang menarik minat anda selain pendakian?
Yoga,
pengembaraan solo dan menulis jurnal. Saya juga gemar menulis puisi dalam
bahasa Tamil dan fotografi.
Sebagai seorang wanita berkerjaya saya mengimbagi hidup saya untuk kerjaya dan minat. Saya sentiasa membuat perancangan yang rapi untuk aktiviti pendakian dan kerja. Kebanyakan aktiviti pendakian dirancang semasa cuti panjang. Saya jarang mengambil cuti untuk menyertai aktiviti pendakian.
Saya bercadang untuk memberi tumpuan kepada pendakian yang lebih mencabar dan berunsur pengembaraan bersama individu yang belum saya kenali (stranger group) tetapi mempunyai minat yang sama.
Memandangkan saya telah berjaya menamatkan pendakian G7 di Semenanjung Malaysia, sasaran seterusnya ialah menawan G5 di Sabah. Saya sudah berjaya ke puncak dua gunung iaitu Gunung Kinabalu dan Gunung Trusmadi - iaitu gunung pertama dan kedua tertinggi di Malaysia.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada alam semula jadi yang sentiasa memberi pelbagai pengalaman menakjubkan sepanjang pendakian. Antaranya, menyaksikan matahari terbit, matahari terbenam, keindahan flora, kicauan burung, fauna dan banyak lagi.
Pendakian telah menjadikan saya seorang yang bersemangat, berdikari dan berfikiran terbuka. Saya juga mula menghargai setiap detik dalam hidup ini kerana kehidupan ini sangat indah.
Saya sentiasa bersyukur kepada keluarga saya, guru yoga dan rakan-rakan yang tidak pernah berhenti memberi semangat kepada saya untuk terus mencabar diri menerusi aktiviti pendakian. Akhir sekali, saya percaya restu ayah saya sentiasa membimbing perjalanan saya.
Mahu mengirim
karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor dan merupakan jurulatih
yoga terlatih dan mendapat pengiktirafan daripada Sakthi School of Yoga, Malaysia. Karya beliau termuat dalam Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri
(2022) dan Seruling Malam (2024). Puisi
bahasa Inggeris terbaharu beliau termuat dalam ALS NaPoWriMo (2025). Karya-karya Anuradha juga boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Baca: Biodata penuh]





Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.