“Saya mendapat panggilan dari Balai Polis Kamunting pada pukul sembilan tiga puluh pagi, Jumaat, 17 Julai. Saya terus ke Tekka Taiping Mines Limited dan mendapat pengesahan bahawa pengawal keselamatan bernama Veer Singh tiada di sana.”
Demikian diceritakan oleh Ketua Polis Daerah Taiping, Cif Inspektor D. J. Marquess semasa perbicaraan kes pembunuhan ngeri seorang lelaki Punjabi bernama Veer Singh berlangsung di hadapan Majistret T. S. Adams di Mahkamah Polis, Taiping pada Ogos 1925.
D. J. Marquess telah memecahkan pintu bilik Veer Singh dan meminta seorang konstabel menjaga tempat itu sementara dia pergi pula ke Batu 8, Jalan Batu Kurau di mana mayat mangsa dilaporkan ditemui.
“Dalam perjalanan ke sana, saya nampak darah di atas jalan raya. Oleh kerana hujan sudah mula turun, saya segera mendapatkan blotting paper dan mengambil sampel darah itu. Apabila pergi ke Batu 8, saya ditunjukkan pula cebisan dagu dan janggut yang dijumpai sekitar suku batu dari tempat mayat ditemui. Seorang lans korporal kaum Melayu menunjukkan pula seketul tulang manusia yang ditemui,” cif inspektor itu memberi keterangan di mahkamah.
Menurut D. J. Marquess, mayat dan tulang berkenaan dihantar ke Hospital Daerah Taiping. Katanya lagi, seorang konstabel bernama Bachan Singh dari Balai Polis Kamunting telah mengenal pasti identiti mangsa sebagai Veer Singh.
“Saya pergi semula ke Tekka Mines dan mula memeriksa bilik para pengawal keselamatan yang berkerja dan tinggal di sana. Saya turut memeriksa bilik Kishan Singh (tertuduh pertama) yang berada di sana. Seorang pegawai polis bernama Che Lawin tunjukkan kepada saya sehelai kain sarung yang dijemur di kaki lima.”
Menurutnya, terdapat kesan tompokan darah pada kain itu. Kishan Singh mengaku sarung itu miliknya dan darah itu pula akibat luka lama yang kini sudah sembuh sepenuhnya. Kain sarung itu tetap diambil sebagai bahan bukti dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk diperiksa.
“Pada hari Sabtu, 18 Julai, sekitar pukul empat petang, saya terima maklumat dan arahan daripada Penolong Pesuruhjaya Polis Perak Utara, ACP Louis Arnold George Morris. Lalu, saya pergi ke kuarters pekerja kepunyaan Encik Jeyasuria di Taiping. Saya memeriksa unit yang dihuni Kartha Singh dan seorang lagi pengawal keselamatan keturunan Punjabi,” kata D. J. Marquess lagi sebagai menjawab pertanyaan di mahkamah.
Seorang detektif yang pergi bersama-sama cif inspektor itu dilaporkan menemui sehelai sarung warna putih pada ampaian di dalam bilik. Terdapat tompokan darah pada kain itu.
“Menurut Kartha Singh, kain sarung itu milik Begelle Singh (tertuduh kelima), seorang tukang cuci lori Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menumpang di biliknya. Sarung itu juga dihantar untuk ujian kimia.”
Bercerita lebih lanjut, D. J. Marquess memberitahu mahkamah bahawa dia pulang ke rumah. Kemudian, sekitar pukul 5:00 petang, Kartha Singh, Begelle Singh dan seorang anggota polis datang ke banglonya.
“Begelle Singh mengaku bahawa kain sarung itu memang miliknya. Katanya, kesan darah pada kain itu akibat ulser pada kaki. Malah, dia tunjukkan luka itu sebagai bukti.”
Menurut ketua polis daerah itu lagi, Kartha Singh tidak ditahan pada mulanya. Polis hanya membuat keputusan untuk menahannya sebagai suspek dalam kes pembunuhan Veer Singh selepas mendapat maklumat tambahan.
Seterusnya, D. J. Marquess diminta menggambarkan keadaan mayat Veer Singh yang ditemui di atas jalan raya di Batu 8, Jalan Batu Kurau. Katanya, mangsa memakai kot yang koyak rabak. Sarung dan seluar tidak ada pada tubuh mangsa. Kain pengikat kepala (turban) juga tiada. Kasut hanya ada pada kaki kanan. Kaki kiri pula patah dan bengkok mengarah ke kepala.
“Saya beberapa kali melawat lokasi penemuan mayat, termasuk sekali bersama Penolong Pesuruhjaya Polis Perak Utara, ACP Louis Arnold George Morris dan sekali lagi bersama lelaki Cina yang memandu kereta sewa terbabit. Saya membawa pemandu itu dari tempat perhentian kereta sewa dan kami bergerak sepanjang jalan raya dari Assam Kumbang menuju ke Batu Kurau,” dia memperincikan.
Pemandu teksi bernama Khor Seng Yew @ Chan Seng Yew telah menunjukkan kepada D. J. Marquess beberapa tempat di mana dia diarah supaya berhenti pada malam kejadian. Mereka meneruskan pemanduan sehingga Batu 9, Ulu Sepetang sebelum berpatah balik ke balai polis.
Apakah
sebenarnya yang berlaku pada malam kejadian? Ikuti sambungan dalam Bahagian Enam [di sini].
[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak
tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca,
projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku
terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Sila klik di sini untuk membaca tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan.]