Pernahkah anda menonton filem Rashomon (1950) yang ditulis dan diarah oleh Akira Kurosawa (1910-1998)? Cerita diambil daripada cerpen “In A Grove” (1922) dan “Rashomon” (1915) tulisan Ryunosuke Akutagawa (1892-1927) yang digelar Bapa Penulisan Cerpen Jepun.
Dalam filem klasik itu, empat orang menceritakan suatu peristiwa pembunuhan berdasarkan apa yang mereka saksikan. Malah, dalam bidang perfileman dan penulisan, istilah “Kesan Rashomon” (Rashomon Effect) digunakan untuk menggambarkan situasi di mana beberapa watak memberikan pandangan tentang suatu insiden dengan perspektif dan interpretasi berbeza; malah mungkin saling bercanggah. Buku Rashomon Effects: Kurosawa, Rashomon and Their Legacies (2015) boleh dibaca untuk pemahaman lebih menyeluruh.
Sementara itu, perbicaraan kes pembunuhan Veer Singh berjalan selama empat hari mulai 7 Ogos 1925 di hadapan Majistret T. S. Adams di Mahkamah Polis, Taiping. Pendakwaan dilakukan Penolong Pesuruhjaya Polis Perak Utara, ACP Louis Arnold George Morris dan Ketua Polis Daerah Taiping, Cif Inspektor D. J. Marquess.
Beberapa lagi saksi dipanggil memberi keterangan sebelum majistret membuat keputusan.
“Saya kenal Veer Singh yang bekerja di sini sejak lapan atau sembilan bulan sebelum dia meninggal dunia. Malah, pada hari Khamis, 16 Julai, Veer Singh bekerja dari pukul dua hingga enam petang. Sejurus sebelum pukul tiga petang, dia datang minta izin untuk pergi ke Kamunting atas urusan peribadi. Saya suruh dia pergi selepas pukul enam petang iaitu selepas habis waktu kerja,” kata Mohamed bin Selai, kerani di Tekka Mines.
Bachan Singh, seorang konstabel di Balai Polis Kamunting mengenali Veer Singh sejak lelaki itu mula-mula datang ke Taiping. Malah, mereka berasal dari kampung yang sama di negara India.
“Kali terakhir saya bertemu Veer Singh adalah pada Khamis, 16 Julai, sekitar pukul tujuh tiga puluh malam di Kamunting. Dalam perbualan kami, Veer Singh memberitahu saya bahawa ada orang yang sentiasa mencari gaduh dengannya. Malah, Veer Singh menyebut nama Kishan Singh (tertuduh pertama) sebagai salah seorang yang cuba mengatur konspirasi untuk memastikan dia (Veer Singh) dibuang kerja,” Bachan Singh menceritakan.
Menurut konstabel itu lagi, dia dan Veer Singh berbual-bual sehingga sekitar pukul 8:00 malam pada tarikh kejadian. Selepas makan malam, Bachan Singh mengiringi Veer Singh berjalan hingga ke bengkel milik Assam Kumbang Tin Dredging Company di jalan utama.
Mereka berbual-bual lagi sehingga pukul 8:45 malam. Selepas itu, Bachan Singh berjalan balik ke Balai Polis Kamunting sementara Veer Singh berjalan ke arah Taiping.
Sementara itu, seorang penjual susu lembu bernama Letchman Singh memberitahu mahkamah bahawa dia bertemu Kishan Singh (tertuduh pertama) dan Surat Singh (tertuduh ketiga) pada pukul 7:00 malam pada hari Khamis, 16 Julai 1925. Selepas minum bersama, dia meninggalkan mereka untuk pulang ke rumah dan tidak tahu ke mana mereka berdua pergi selepas itu.
“Saya terlibat dalam tugas beat (rondaan kaki) di Jalan Assam Kumbang dari pukul enam pagi hingga dua petang dan kemudian dari pukul enam petang hingga sepuluh malam,” kata Lans Korporal Gaja Singh yang turut dipanggil memberi keterangan.
Katanya, pada sekitar pukul 7:50 malam, dia sedang berjalan berhampiran lintasan kereta api dan ternampak empat orang lelaki Punjabi berjalan dari arah Taiping menuju ke arah Kamunting. Gaja Singh mengesahkan bahawa mereka berempat adalah tertuduh dalam kes ini.
Individu seterusnya yang dipanggil memberi keterangan ialah Chong Ah Kow, pengelola (steward) dan penjaga stor di Hospital Daerah Taiping. Dia mengesahkan bahawa Tara Singh (tertuduh kedua) mula berkerja sebagai jaga (pengawal keselamatan) di hospital itu pada 14 Julai 1925.
“Tapi pada Jumaat, 17 Julai, pukul dua empat puluh petang, dia datang berjumpa saya dan berkata dia tidak mahu berkerja lagi. Dia beri alasan bapanya meninggal dunia di India. Apabila Medical Officer (Pegawai Perubatan), Dr. Young datang, saya beritahu hal itu dan beliau buat keputusan, Tara Singh boleh berhenti kerja serta-merta tapi tidak akan dibayar apa-apa gaji,” katanya.
Penjaga stor itu memberitahu mahkamah bahawa Tara Singh terus pergi tetapi datang semula untuk memulangkan pakaian seragam pengawal keselamatan.
Pengawal keselamatan di Assam Kumbang Tin Dredging Company sejak lima tahun lalu, Juttara Singh pula mengaku kenal rapat dengan Veer Singh. Katanya, kali terakhir dia nampak mangsa ialah pada pukul 10:00 malam, 16 Julai 1925. Veer Singh sedang berjalan dari arah Tekka menuju ke arah Kamunting.
“Tidak lama kemudian, saya nampak beberapa lelaki Sikh berjalan dari arah Tekka dan menuju ke arah Kamunting juga. Saya nampak mereka membawa kayu. Beberapa hari selepas mayat Veer Singh ditemui, polis membawa saya ke kawad cam di penjara. Ada lebih kurang lima puluh orang berbaris di sana tetapi saya dengan mudah dapat mengecam kelima-lima tertuduh sebab saya ingat muka mereka,” tegasnya.
Keterangan
yang diberi oleh enam lagi saksi sebelum majistret membuat keputusan boleh
dibaca dalam Bahagian Tujuh [di sini].
[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak
tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca,
projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku
terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Sila klik di sini untuk membaca tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan.]