Mahendran Mengulas Kisah Veer Singh

Kisah “Siapa Bunuh Veer Singh?” sudah pasti berdasarkan apa yang benar-benar berlaku pada tahun 1925 di Kamunting, Perak. Saya percaya Uthaya Sankar SB menulis kisah ini berlandaskan penemuan bahan arkib seperti yang diberitakan di akhbar Pinang Gazette and Straits Chronicle.

Pada pemerhatian saya, kisah ini disampaikan dengan gaya bahasa yang menarik. Kisah diceritakan secara terperinci, seolah-olah berlangsung di depan mata kita (pembaca).

Apabila membaca kisah ini, saya agak kasihan terhadap watak pemandu teksi yang bernama Khor Seng Yew @ Chan Seng Yew. Dia dijadikan mangsa dalam kes pembunuham Veer Singh. Sedangkan, pada pemahaman saya, dia cuma terpaksa akur pada arahan mereka yang menaiki teksinya.

Dalam pada itu, tidak ada watak yang menimbulkan kebencian dalam kisah ini. Hal ini mungkin kerana tidak diceritakan siapa yang sebenarnya melakukan semua jenayah itu.

Saya juga masih agak keliru untuk menuduh watak manakah yang menjadi pembunuh. Mungkin hanya dapat ditentukan selepas membaca keputusan mahkamah selepas tamat perbicaraan terhadap kelima-lima suspek terbabit. Lagipun, terdapat ramai lagi watak sampingan yang menjadi saksi dalam kes ini; sekali gus menimbulkan sedikit kecurigaan saya terhadap mereka juga. Baca ulasan Rushida [di sini].

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak 1987. Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung beliau dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen Tamil. Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]