Rushida Mengulas Kisah Veer Singh

Kisah “Siapa Bunuh Veer Singh?” mungkin kejadian sebenar berdasarkan tarikh, masa, dan nama tempat yang sememangnya wujud. Malah, mereka yang terlibat dalam penyiasatan adalah kakitangan kerajaan pada masa itu dalam era pemerintahan British di Malaya.

Gaya penulisan bercampur antara penulisan gaya berita untuk memberitahu kejadian dan penulisan artikel untuk memberitahu kronoloji kejadian. Pada pandangan saya, mungkin boleh ditambah dengan foto sebenar pegawai polis penyiasat, balai polis di mana siasatan dilakukan, tempat kejadian, tempat mereka bekerja dan kubur di mana jenazah disemadikan.

Watak pemandu kereta sewa (teksi) adalah watak yang paling saya suka dalam kisah ini sebab dia merupakan saksi utama yang dapat membuat pengecaman dan yang membawa bukti kes (mayat) serta mereka yang tertuduh ke muka pengadilan.

Watak yang paling saya benci atau tidak suka pula ialah Kishan Singh sebab dialah yang menjadi punca tertuduh yang lain (Tara Singh, Surat Singh, Bhagel Singh, dan Thatar Singh) ikut sama terlibat dalam pembunuhan Veer Singh; mungkin akibat dendam peribadi.

Pada pendapat saya, pihak yang membunuh Veer Singh ialah kesemua lima tertuduh kerana mereka dilihat kali terakhir berada bersama-sama mangsa sebelum mayat ditemui. Malah, bukti yang dikumpul melalui saksi-saksi kejadian menunjukkan kesemua mereka terlibat bersubahat membunuh Veer Singh. Baca ulasan M. Mahendran [di sini].

[Rushida Abdul Wahid berasal dari Taiping, Perak dan kini menetap di Klang, Selangor. Beliau meminati bidang sastera dan penulisan walaupun berkelulusan dalam bidang sains. Rushida menyertai Projek Menulis Karya 200 Perkataan dan cerpen yang terhasil berjudul “Mengertikah Kau Sekarang?” Komen beliau bagi cereka “Anak Bunian” boleh dibaca di sini.]