Sepanjang Perjalanan di Tamil Nadu, India (Bahagian 7)

02.06.2024

Kami tiba di Hotel Parisutham di daearah Tanjavur pada pukul 3.30 petang. Setelah mengeluarkan bagasi dari bonet, Raymond memberitahu jurupandu kami, Raaji untuk datang menjemput kami pada jam 5 petang. Petang ini seperti dirancang, kami akan ke Tanjai Peria Kovil.

Hotel Parisutham ini terletak di kawasan bandar. Namun, ia agak ke dalam sedikit daripada jalan utama dan pusat perniagaan. Nampak aman, cantik dan bersih perkarangan hotel ini, seperti namanya juga. Raymond dan adik saya Gowri serta anak mereka Kavinayah, pernah tinggal di hotel ini pada bulan Febuari lalu.

Selesai mandi, kami berbual sebentar. Sementara menunggu jam 5 petang, kami melelapkan mata. Saya dapat tidur dengan nyenyak. Memang terasa lain tidur petang di sini. Letih akibat banyak berjalan agaknya.

Penggera pada telefon Raymond membangunkan kami berdua. Setelah bersiap sedia, kami pun turun. Raaji yang berehat dalam kereta pun datang mendapatkan kami di lobi.

Dalam masa 15 minit kami sudah tiba di perkarangan kuil. Kali ini Raymond berjippa berwarna biru dan berveshti. Saya cuma berseluar panjang dan berbaju t sahaja. Kami tanggalkan selipar dan memasukkannya ke dalam karung dan menggantungkannya di suatu tempat penuh dengan karung-karung putih seperti itu. Ini juga dikenakan bayaran.

Tanjai Peria Kovil atau nama sebenarnya Brihadishvara Kovil ini dibina oleh Raja Raja Cholan 1 antara tahun 1003 CE hingga 1010 CE. Keseluruhan kuil ini dibina menggunakan batu granit. Ketinggaiannya adalah 212 kaki. Keluasan kawasan kuil ini adalah 44.7 ekar dan zon penampannya pula 23.7 ekar.  Seperti kuil-kuil lama di Tamil Nadu, gopuram kuil ini juga dapat dilihat dari jauh.

Kami memasuki kuil bersejarah ini dengan penuh rasa kagum. Ini merupakan kali kedua Raymond menjejakkan kaki di sini. Walaupun kali kedua, ketakjuban kepada seni bina kuil  tetap terpancar pada wajahnya.

Di sini tidak kelihatan pengunjung berpusu-pusu untuk bersembahyang. Mungkin disebabkan waktu sudah hampir senja. Kami masuk ke dalam kuil dan mendapatkan darshan di beberapa berhala. Poosari mengadakan poojai di beberapa berhala.

Tidak kelihatan kelibat gajah di kuil ini, seperti di kuil-kuil lain yang kami kunjungi sebelum ini. Kemudian diketahui, gajah yang didermakan kepada kuil ini oleh pelakun filem Tamil, Sivaji Ganesan pada tahun 1960, meninggal pada tahun 2013. Gajah itu berusia 63 tahun ketika meninggal.

Waktu senja semasa matahari terbenam menambahkan lagi keindahan kepada kuil yang berwarna perang keemasan ini. Lampu dipasang pada bangunan kuil dan gopuram. Kecantikannya tidak terkata.

Kami mengelilingi dan menikmati setiap tiang dan patung yang terpahat pada dinding kuil. Saya dan Raymond akan berdiri dan tenung satu-persatu ukiran yang dipahat pada zaman kerajaan Chola. Kami sentiasa berbincang tentang kehebatan kerajaan Chola dan pengorbanan rakyat jelata untuk membina Peria Kovil ini.

Dengan perasaan kagum selama lebih sejam di sini, kami pun meninggalkan Tanjai Peria Kovil.

Perut minta diisi semula. Kami bertiga ke restoran Adayar Aanandaha Bhavan di bandar Tanjavur. Restoran ini agak luas dan cantik. Tidak pernah saya lihat restoran seluas ini di Malaysia, kecuali foodcourt. Saya memesan masala tose. Chutney dan saambarnya begitu enak. Harga makanan di restoran tidak semurah restoran-restoran yang kami pergi sebelum ini.

Setelah kembali ke hotel Parisutham. Kami berehat sebentar dan menukar pakaian dan mula bersiar-siar di bandar lebih kurang jam 8.30 malam. Kami berjalan kaki sahaja. Tidak mahu mengganggu Raaji. Biar dia berehat.

Agak payah juga untuk melintas jalan di sini. Kereta, bas, motosikal dan auto rikshaw tidak henti-henti di atas jalan. Lagipun, tidak kelihatan lampu isyarat di mana-mana pun selama kami berada di Tamil Nadu.

Kami ke gedung pakaian Aanantham Silks di jalan Anna Saalai. Nampak seperti baru dibina. Bangunan lima tingkat itu tersergam indah berjarak antara bangunan-bangunan lain.

Terdapat pelbagai pakaian moden dan tradisi di setiap tingkat mengikut peringkat umur dan jantina. Kami berdua ke setiap tingkat melihat-lihat apa yang sesuai untuk dibeli.

Para petugas di situ bertungkus-lumus mencarikan pakaian yang sesuai apabila dipinta. Saya amat suka melihat cara kerja mereka. Pelanggan dilayan dengan sepenuh hati walaupun sibuk. Mereka akan memastikan, pelanggan tidak pulang dengan tangan kosong.

Kelihatan ramai pengunjung di gedung pakaian ini. Seperti musim menyambut perayaan Deepavali sahaja. Ini adalah keadaan biasa di sini dan sekarang musim cuti sekolah pula.

Setelah berkenaan dengan apa yang dipilih, kami membuat pembayaran. Cara pengebilan di sini juga nampak berbeza. Kemudian, kami kembali ke hotel sambil menikmati setiap bangunan di bandar Tanjavur

Sambil berbaring di katil, kami meneliti grup WhatsApp yang diujudkan khas untuk mencatat perbelanjaan yang kami lakukan sepanjang 3 hari ini.

Setelah dicampur, tolak dan dibahagi, didapati kebanyakan masa, Raymond yang mengeluarkan wangnya untuk perbelanjaan di kuil dan untuk makan. Jadi, saya memulangkan jumlah yang telah dibelanjakan untuk saya, agar ia menjadi seimbang. Perbelanjaan peribadi tidak dimasukkan dalam kira-kira ini.

Esok akan merupakan hari terakhir kami di India. (bersambung)

(Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana diterangkan di sini]

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]