Sepanjang Perjalanan di Tamil Nadu, India (Bahagian 6)

2.06.2024

Saya sudah bangun pada jam 6 pagi. Oleh kerana 5.30 pagi pun sudah mula cerah dan ia menembusi bilik hotel kami; saya tidak boleh sambung tidur.  Raymond sedang tidur dengan nyenyaknya.

Setelah membersihkan diri, saya turun ke bawah bersendirian untuk bersarapan di restoran. Seperti biasa, menu sarapan di hotel ini juga terdiri daripada makanan tradisi India.

Setelah bersarapan, saya lepak di lobi hotel CR Grande sambil membelek-belek akhbar Thinath Thanthi dan The Hindu. Di depan hotel tersebut kelihatan sederet bangunan kedai.   Ia terdiri daripada hotel, kedai makan, kedai automobil dan kedai pakaian. Masih kedengaran bunyi hon kenderaan tanpa henti.

Sudah bosan duduk di bawah, saya kembali ke bilik. Kelihatan Raymond sudah bangun. Setelah Raymond bersiap, kami berdua turun bersama bagasi kami. Bagasi diletak di ruang lobi. Jurupandu kami, Raaji pun kelihatan di situ. Dia sudah bersarapan.  Saya menemani Raymond ke ruang makan. Saya cuma minum jus betik.

Selepas itu, bagasi kami dimasukkan ke dalam bonet kereta.

“Ok, polaanggalaa?” Raaji tanya kami seperti biasa. Kami pun kata, ok.

Kami menuju ke Azhagar Koil, di Madurai.

Dalam masa 40 minit, kami sudah tiba perkarangan kuil Azhagar. Perjalanan menuju ke kuil ini mengingatkan saya, jalan menuju ke Air Terjun Chammang di Bentong. Kawasan berbukit dan hutan sepanjang jalan memang menarik perhatian. Dalam masa tiga hari di Tamil Nadu, ini kali pertama saya melihat kawasan sebegini.

Kelihatan beberapa ekor kera dan anjing menyusuri jalan. Juga kelihatan penyembah/pengikut Azhagar berjalan melalui anak sungai, berkaki ayam menuju ke kuil.

Saya berbaju jippa kali ini. Oleh kerana sukar berjalan dengan veshti, saya lebih gemar berseluar panjang sahaja. Seperti biasa, Raymond akan memakai veshti atas seluar pendeknya sebelum masuk ke dalam kuil.

Kami tidak berbaris di barisan panjang untuk bersembahnyang/darshan. Hanya di berhala yang kurang orang beratur sahaja, kami berbuat demikian. Untuk mendapatkan darshan dengan segera, perlu dibayar jumlah tertentu kepada mereka yang berkenaan. Mereka  akan membawa pengunjung ke bahagian depan dengan menggunakan lorong pintas. Kami pernah melakukan sedemikian di kuil Rameshwaram semalam. 

Semasa mengelilingi dalam kuil, kelihatan seekor kera sedang duduk seperti menanti seseorang. Apabila ternampak seorang pengunjung wanita membawa beg plastik di hadapannya, dengan pantas kera itu merampas beg itu.

Terdapat pisang sesikat dan kelapa sebiji dalam beg. Pisang diambil dan kelapa dibiarkan dalam beg. Kera itu melompat memanjat dinding berhampiran dengan tangkas. Kejadian sama seperti ini saya pernah melihat di Batu Caves. Kelakuan kera itu tidak menjadikan keluarga wanita itu menjadi marah atau takut. Mereka merelakan sahaja.

Raaji membawa kami ke kuil Kalazhagar yang tidak jauh dari situ. Kami berkaki ayam dari luar dan berjalan agak jauh sedikit untuk masuk ke dalam kuil. Kebanyakan gopuram kuil di sini, tinggi-tinggi belaka. Kami tidak berbaris untuk darshan.

Ternampak seorang tua memegang cerut yang sudah dibakar ditangan. Orang tua itu menceritakan beberapa kisah mengenai kuil dan dewa Kalazhagar ini. Kuil ini dikatakan dibina 1,300 tahun yang lampau.

Setelah letih berjalan, kami menuju ke tempat Raaji menanti kami. Di sini pun ada sahaja yang datang meminta wang. Seorang tukang tilik memaksa kami untuk ditilik. Dia mengejar kami. Kami berjalan dengan pantas untuk menghindarinya.

Di luar kuil Azhagar, di kawasan berumput dan di bawah pokok-pokok neem kelihatan beberapa keluarga sedang mengorbankan kambing dan memasak dagingnya. Kemudian mereka akan menjamu selera bersama keluarga. Ini dilakukan demi bayar nazar.

Makan tengah hari pada hari ini, kami makan di kedai makanan Cetti, di Madurai.

Kebanyakan masakan di sini adalah menu non vege dan pedas. Saya minta saambar. Wanita yang sedang menghidangkan makanan atas daun pisang kami, mungkin pelik dengan solan saya. Katanya “No, saambar here!” Nasib baik ada rasam. Ia menyelamatkan keadaan dan rasanya pun memang ‘first class’.

Inilah kali pertama saya ke sebuah restoran yang tidak ada menu saambar, itu pun di India.

Perut sudah kenyang, mata pun sudah mengantuk. Raaji memandu keretanya dengan memasang lagu-lagu Tamil 80-an dan 90-an. Dia turut menyanyi. Saya dan Raymond tersengguk-sengguk.

Kereta Toyota Etios bergerak lancar di lebuh raya menuju ke daerah Tanjavur. (bersambung)

(Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana diterangkan di sini]

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]