Pada 25 Mei 1941, penduduk sekitar Assam Kumbang, Taiping, Perak dikejutkan dengan berita penemuan satu mayat reput di kawasan kuaters pekerja stesen kereta api.
Nagamuttu
dilaporkan hilang sejak 19 Mei dan mayat pemandu enjin kereta api itu ditemui
enam hari kemudian; tertanam di kebun sayur di belakang rumahnya sendiri.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah
siasat. Susulan itu, isteri dan anak tiri Nagamuttu ditahan polis untuk
membantu siasatan.
Tentu sahaja kejadian itu yang hangat diperkatakan
penduduk sekitar Daerah Larut, Matang dan Selama serta mendapat liputan akhbar
pada waktu itu sudah tidak ada dalam ingatan orang ramai pada hari ini.
Apabila perbicaraan bermula pada 3 Jun 1941, Mahkamah Majistret
Taiping dikerumuni sekitar seribu orang yang berminat untuk mengetahui secara
dekat apa yang sebenarnya berlaku.
Anda juga ingin tahu, bukan?
Dua tertuduh yang dibicarakan ialah seorang pemuda
keturunan Tamil bernama Kanapathy
dan seorang wanita bernama Pottu. Inspektor
Gani memohon tempoh seminggu untuk membolehkan polis mengumpul bukti secukupnya
dan dibenarkan oleh Majlistret Raja Salim.
Akhbar Pinang
Gazette and Straits Chronicle (6 Jun 1941) melaporkan bahawa polis berjaya
menahan suspek ketiga bernama Maruthamuttu
dari Nibong Tebal, Pulau Pinang yang dipercayai terlibat sama dalam kes
pembunuhan Nagamuttu.
Sebulan kemudian, pertuduhan ke atas Pottu dan
Kanapathy diubah. Mereka tidak lagi berdepan pertuduhan membunuh Nagamuttu. Sebaliknya,
mereka dikenakan dua tuduhan yang dipinda.
Pertama, mereka berdua dituduh telah menanam satu mayat
di tempat yang bukan merupakan tapak perkuburan. Kesalahan itu didakwa
dilakukan pada 20 Mei 1941 di Assam Kumbang, Taiping.
Kedua, Pottu dan Kanapathy gagal melaporkan kematian
Nagamuttu seperti diwajibkan di bawah Enakmen Pendaftaran Kelahiran dan
Kematian.
Pottu iaitu balu kepada si mati mengaku salah atas
kedua-dua pertuduhan itu. Mahkamah menjatuhkan hukuman denda $150 atau penjara
tiga bulan bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua pula, Pottu dikenakan denda
$25 atau penjara satu bulan.
Anak tiri si mati, Kanapathy turut mengaku salah atas tuduhan pertama iaitu menanam mayat Nagamuttu di kebun belakang rumah. Dia juga dikenakan hukuman sama seperti Pottu.
Walau bagaimanapun, bagi pertuduhan kedua, Kanapathy
mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
“Saya tidak bersalah dalam kes gagal melaporkan
kematian bapa tiri saya kepada polis. Itu bukan tanggaungjawab saya, sebaliknya
tanggungjawab Pottu selaku isteri kepada si mati,” katanya.
Sewaktu memberi keterangan di mahkamah, Inspektor Gani memaklumkan bahawa polis
mengesyaki kedua-dua tertuduh membunuh Nagamuttu. Walau bagaimanapun, hasil
bedah siasat mayat tidak dapat mengesahkan punca kematian.
Hampir sebulan kemudian, apabila inkuiri punca
kematian Nagamuttu berlangsung di hadapan Majistret Tungku Syed Abdullah pada 3
Ogos 1941, Inspektor Gani memanggil lebih daripada 20 orang saksi.
Salah seorang saksi ialah Verrapan yang bekerja dengan Kereta Api Negeri-negeri Melayu
Bersekutu (FMS Railways). Dia
merupakan anak saudara kepada Nagamuttu dan tinggal di Ipoh.
“Setiap kali datang ke Taiping atas urusan kerja, saya
akan melawat bapa saudara saya. Pada 21 Mei lalu, saya datang ke Taiping.
Selepas selesai kerja, saya ke kuarters bapa saudara di Assam Kumbang,”
Verrapan menceritakan.
Lelaki itu berkata, hanya Pottu iaitu isteri Nagamuttu
ada di rumah. Lalu, dia bertanya di mana bapa saudaranya.
“Oh, pak cik awak pergi ke bandar. Entah atas urusan
apa dan entah pukul berapa dia akan balik,” Pottu menjelaskan. “Saya pula pergi
ke Nibong Tebal semalam untuk bawa adik saya ke sini.”
Dalam keterangannya di mahkamah, Verappan memberitahu
bahawa dia datang semula ke Taiping atas urusan kerja pada 25 Mei 1941.
“Saya pergi semula ke rumah bapa saudara. Dia masih tidak
ada dan Pottu memberi pelbagai alasan yang kurang meyakinkan. Saya mengesyaki
ada sesuatu yang tidak kena. Sebab itulah saya segera ke balai polis dan
membuat laporan,” kata saksi itu.
Polis bergegas ke rumah Nagamuttu di Assam Kumbang
bersama-sama Verrapan. Apabila pintu depan diketuk tetapi tiada jawapan, polis
pergi ke pintu belakang dan mula melaung meminta pintu dibuka.
Catatan prosiding mahkamah menyebut bahawa pintu belakang
itu dibuka oleh Kanapathy. Pemuda itu segera berlari masuk semula ke dalam
rumah.
Verappan dalam keterangannya di mahkamah menceritakan
bagaimana dia menyerbu masuk dan ternampak
Pottu terbaring di atas lantai. Wanita itu bergegas memakai kain sarung dan
membetulkan blaus.
“Sambil membetulkan rambut yang terurai, Pottu menjerit,
‘Polis datang.’ Tiba-tiba saya nampak Kanapathy meluru ke arah pintu belakang
yang terbuka. Saya cuba menangkapnya tetapi hanya sempat menyambar bajunya yang
terkoyak,” kata saksi itu.
Verrapan mengiringi Pottu ke Balai Polis Taiping. Kemudian, Verrapan dan Inspektor Gani pergi semula ke rumah Nagamuttu. Mereka mula menggali kebun sayur di belakang rumah menggunakan cangkul. Akhirnya, mayat Nagamuttu yang sedang mereput berjaya ditemui. (bersambung - Bahagian 2)
[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca, projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah Dewi Pertiwi (2024) dan Cerpen (2024). Tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]