“Saya tidak tahu apakah masalah Nagamuttu dengan Pottu dan Kanapathy. Tapi saya memang mengesyaki sesuatu sebab sebelum ini, saya pernah melawat bapa saudara saya yang masuk hospital akibat keracunan,” Verrapan menceritakan dari kandang saksi di mahkamah.
Seorang lagi saksi yang dipanggil memberi
keterangan ialah Nettu, seorang
pemandu enjin kereta api dan rakan kepada si mati.
“Pada suatu hari, Nagamuttu datang ke
rumah saya. Dia menceritakan bahawa anak tirinya, Kanapathy, mengugut akan
menikamnya dengan pisau. Nagamuttu minta saya tolong dia membuat laporan polis
sebab dia tidak pandai bahasa Melayu,” Nettu memberitahu mahkamah.
Nagamuttu juga mengingatkan Nettu bahawa
dia pernah diracun dan masuk hospital, sebulan sebelum itu.
“Saya memang melawat Nagamuttu di Hospital
Taiping pada waktu itu. Saya dapati Nagamuttu menghadapi masalah gigi.
Kanapathy juga datang bersama saya ke hospital pada masa itu. Dia bertanya
kepada saya tentang keadaan bapa tirinya tetapi saya tidak menceritakan
apa-apa. Pada 25 Mei lalu, saya mendapat berita bahawa Nagamuttu sudah tiada,”
pemandu enjin kereta api itu menceritakan.
Seorang lagi saksi yang dipanggil memberi
keterangan dalam inkuiri kematian Nagamuttu ialah Man Singh. Lelaki Punjabi itu mengaku bertemu dan berbual dengan si
mati pada 17 Mei 1941 di sebuah kedai todi di bandar Taiping.
“Nagamuttu meluahkan kepada saya bahawa dia
takut diapa-apakan oleh isteri dan anak tirinya. Katanya, mereka berdua pernah
mencampurkan soda kaustik ke dalam samsu yang diberi kepadanya,” kata Man
Singh.
Soda kaustik atau natrium hidroksida
adalah sejenis sebatian pepejal warna putih yang mampu menghakis tisu hidup
seperti organ dalaman manusia.
“Pada masa itu, Nagamuttu baru sahaja
keluar dari hospital. Giginya sudah dicabut akibat keracunan,” saksi itu
menambah. “Dia memberitahu saya bahawa anak tirinya telah mengugutnya dengan
pisau. Saya mencadangkan kepada Nagamuttu supaya membuat laporan polis. Dia
kata, dia sudah pun pergi ke balai polis dan buat laporan.”
Lebih banyak maklumat muncul sewaktu Sankaran Pillai yang bekerja dengan FMS Railways sebagai pegawai pemberi
isyarat (signal man) tampil memberi
keterangan.
“Pada 15 April lalu, Pottu datang berjumpa
saya. Dia meminta bantuan saya menulis surat kepada syarikat insurans untuk bertanya
tentang polisi insurans Nagamuttu kerana suaminya itu sudah dibawa ke hospital
dalam keadaan nazak,” katanya.
Menurut Sankaran Pillai, Pottu
memberitahunya bahawa seseorang telah memberikan samsu bercampur ubat (racun)
kepada Nagamuttu.
“Saya mengesyaki ada sesuatu yang tidak
kena. Jadi, saya memberi alasan kepada Pottu bahawa saya akan menulis surat
kepada syarikat insurans pada hari lain,” saksi itu menghuraikan.
Katanya lagi: “Empat hari kemudian (19
April 1941), saya melawat Nagamuttu di hospital dan menceritakan apa-apa yang diberitahu
oleh Pottu. Semasa kami sedang berbual, Pottu datang ke wad untuk melawat
suaminya. Nagamuttu betul-betul marah dengan apa yang telah dilakukan oleh
isterinya.”
Nagamuttu menendang Pottu dan menjerit
memintanya supaya tidak lagi datang melawatnya di hospital.
“Mana barang kemas dan seberkas kunci
saya?” Nagamuttu bertanya kepada isterinya dengan penuh amarah.
“Semuanya selamat,” Pottu menjawab
ringkas.
Dalam keterangannya di mahkamah, Sankaran
Pillai turut menceritakan bahawa Nagamuttu pergi menemuinya pada 19 Mei 1941.
“Tolong tulis satu surat kepada syarikat
insurans,” pinta Nagamuttu. “Beritahu mereka supaya jangan bayar apa-apa duit
kepada Kanapathy.”
Menurut saksi, Nagamuttu juga menceritakan
bahawa Kanapathy telah mengugut akan menikamnya dengan pisau.
“Pada 25 Mei, saya ke rumah Nagamuttu
tetapi Pottu memberitahu saya bahawa suaminya sudah pergi ke Ipoh,” Sankaran Pillai
menceritakan kronologi kejadian. “Selepas itu, polis pula datang ke rumah saya
untuk menyiasat kes Nagamuttu. Saya segera menceritakan tentang kes tuntutan
wang insurans.”
Menjawab satu lagi pertanyaan, Sankaran
Pillai berkata, dia memang sedar bahawa Kanapathy kerap berkunjung ke rumah
bapa tirinya, Nagamuttu.
Turut dipanggil ke kandang saksi ialah Valli, anak perempuan Kanapathy yang
berumur 14 tahun. Valli dan adiknya, Pakir,
tinggal bersama Nagamuttu.
“Pada bulan April lalu, saya nampak bapa
(Kanapathy) dan datuk (Nagamuttu) berkelahi dan bertikam lidah tapi saya tak
tahu punca mereka bergaduh,” Valli menceritakan.
Nagamuttu memang suka bermain-main dengan
cucunya (Valli) tetapi Pottu ternyata tidak menyukainya.
“Saya tahu bahawa Pottu mengadu kepada
bapa saya. Akibatnya, bapa dan datuk bergaduh,” kata Valli.
Berdasarkan apa yang diceritakan oleh
Valli, Kanapathy memang selalu pergi ke rumah bapa tirinya semasa Nagamuttu
tiada. Lelaki itu sering bermalam di sana.
“Rumah kuarters itu hanya ada satu bilik.
Bapa biasanya tidur di bilik bersama-sama Pottu. Mereka sering gelak ketawa,”
kata budak itu.
Tentu sahaja rata-rata orang yang hadir di
mahkamah pada waktu itu terlopong. Maklumat yang dikongsi Valli segera pula
tersebar kepada orang ramai yang berkumpul di luar mahkamah. Masing-masing mula
membuat pelbagai spekulasi.
Seterusnya, Dr. A. W. Moreira dari Hospital Taiping dipanggil memberi keterangan. (bersambung - Bahagian 3)
[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca, projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah Dewi Pertiwi (2024) dan Cerpen (2024). Tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]