(Sambungan daripada Bahagian Satu) Empat lagi penulis sudi berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan topik bagaimana mereka mampu memperuntukkan masa untuk menulis – tanpa membazir masa mencari alasan untuk tidak menulis.
“Saya masih mampu menulis
kerana disiplin dan keinginan yang kuat. Saya menggunakan masa 8.30 pagi hingga 6.00
petang untuk bertugas sebagai seorang jurutera, manakala 8.00 hingga 11.00 malam
untuk menulis, sementara hujung minggu (Sabtu
dan Ahad) untuk keluarga, kebun dan dusun. Setiap masa rehat seperti
menunggu, makan, dan dalam perjalanan akan saya gunakan untuk mencatat idea. Menghentikan
motosikal lalu mencatat idea di tepi jalan adalah perkara biasa sewaktu ilham
datang mencurah. Kemudian, idea dikembangkan menjadi satu tulisan sedikit demi
sedikit pada waktu malam. Saya tidak mengejar kuantiti cerpen tetapi kualiti. Maka,
saya memerlukan masa yang agak lama untuk menyudahkan sesuatu tulisan. Penulis
perlu menerapkan sistem kaizen, iaitu
menapak sedikit demi sedikit sehingga berjaya menawan puncak sastera. Ia bukan
soal siapa paling laju tapi soal siapa mampu bertahan lama.”
Iqbal Halim (Muhammad Iqbal bin Abdull Halim) dari
Semeling, Kedah merupakan penulis puisi dalam beberapa antologi terbitan Nurshafiqah
Roslan, Abuyon Studio, Tabir Alam, dan Zine 13 Tukang Puisi. Cerpen beliau tersiar
di WadahDBP manakala cerpen yang saya
suka di Cukaria ialah “Hujan Tak Bererti Banjir” (6 Jun 2025),
“Gila” (7 April 2025), dan “Hiking” (22 September 2025).
“Saya memilih
untuk mencuba dan belajar daripada pengalaman harian. Menulis bukan soal siapa
yang pandai bermain kata, tetapi kesediaan memanipulasikan rasa, menerima kekurangan, dan melihat hidup sebagai guru
yang tidak pernah berhenti mengajar. Tuhan berikan kita masa secukupnya. Hakikatnya,
ramai ada idea tetapi memilih untuk tidak ke hadapan berkongsi cerita. Pada
pandangan saya, kita harus berani bercerita tentang diri, orang lain, atau
situasi sekeliling yang boleh dijadikan pengajaran. Saya yakin, dalam kehidupan
seharian, setiap orang menyimpan cerita tersendiri, dan saya menulis sekadar
mencari titik tengah dalam kehidupan ini.”
Zulkifli
Mohd Top berasal dari Ipoh, Perak dan aktif menulis dalam genre
puisi, cerpen, dan makalah. Beliau menyumbang karya kepada beberapa antologi
terbitan Nurshafiqah Roslan, Bunga Melor, Persatuan Penulis Johor (PPJ), serta
laman web Puisi Adalah.
Cerpennya juga tersiar di Mingguan
Malaysia dan Berita
Minggu. Karya penulis veteran ini di Cukaria termasuk “Bayang dalam Cermin” (14 Mei 2025), “Runtuhan Kasih” (6 Ogos 2025), dan “Mangsa atau Pemangsa?” (6 November
2025).
“Saya masih mempu
menulis kerana pada saya, ia penting untuk menurunkan pemikiran dan perasaan
menjadi sebuah cerita. Kebiasaan cerpen saya merupakan pemasalahan yang berlaku
di sekeliling, yang menganggu jika saya tak paksa diri menulisnya. Dengan menulis
cepen tersebut, saya merasa lega walaupun ia bukanlah penyelesaian kepada
pemasalahan yang berlegar dalam fikiran. Tulisan selalu menjadi alat untuk
menyembuhkan, walaupun bukanlah secara total. Cerpen adalah medium untuk
berimaginasi dalam menuangkan kisah realiti yang kejam dan tragis, dalam bentuk
yang menghiburkan.”
Fazleena
Hishamuddin (Norfazlina
Hishamuddin) merupakan karyawan sepenuh masa, serta penulis,
pelakon teater, dan penyair sekali-sekala. Katanya, masih menukang novel pertama yang tertangguh
sejak beberapa tahun lalu. Kita nikmati dahulu cerpen “Sepasang Sayap Buat Hafizah” (7 Mei
2025) dan “Malam Bulan Mengiau” (25 Disember 2025)
di Cukaria.
“Sekarang saya sudah bersara dan
mempunyai banyak masa untuk membaca dan menulis. Selain daripada menulis di
portal Sastera Kavyan, Eksentrika, dan di blog saya sendiri,
menulis di Cukaria dua bulan sekali
atau tiga bulan sekali memang menyeronokkan. Cerpen pelbagai genre yang
disiarkan di Cukaria juga merangsang
saya untuk terus menulis. Lagipun, penulis serta pembaca yang mengikuti Cukaria sudah pasti ramai. Ini juga mendorong
saya. Beberapa tahun yang lepas, saya menulis ke Cukaria untuk mendapatkan hadiah enam buah buku FIXI. Kini tidak
begitu. Saya menulis kerana saya mahu karya saya sentiasa disiarkan di Cukaria.”
M. Mahendran dari Bentong, Pahang menulis cerpen
dan rencana dalam Bahasa Malaysia dan Tamil di pelbagai media sejak tahun 1987.
Kumpulan cerpen persendirian beliau berjudul Karupaya (2018) dan Thalaivar
(2021). Antara karya penulis veteran ini di Cukaria
ialah “Aku Dirasuk?” (16 Disember 2024),
“Guru dan Mahaguru” (19 Mei 2025),
dan “Dato’ Tak Kenal Saya?” (20 Ogos 2025).
Semoga perkongsian ikhlas enam penulis yang aktif dan prolifik ini mampu
memberi motivasi dan semangat kepada sesiapa yang berminat menjadi – atau kekal
sebagai – penulis. Sebagaimana dikatakan tadi, kita boleh
mencari alasan untuk tidak menulis, atau kita boleh mencari alasan untuk
menulis.
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK
Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping sebelum
mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau
terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya
boleh dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]






Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.