Sajak: Nenek Moyang dari Kerala

Di pesisir samudera Hindi yang berombak tenang,
Angin rempah menjalar sejarah panjang,
Bahtera perjalanan diiringi doa dan harapan,
Nenek belayar meninggalkan halaman.

 

Dari tanah hijau gunung semadi,
Bahasa ibunda berlagu di hati,
Darah keturunan mengalir setia,
Menyulam sejarah di rantau dunia.

 

Semangat di hati menjadi saksi,
Cekal berdiri walau diuji,
Tangan terus bekerja tanpa keluh,
Membina hidup dengan tekun dan teguh.

 

Kisah lama dibisik senja,
Salasilah keturunan dan keluarga,
Adat dan kepercayaan dijaga rapi,
Menjadi pelita sepanjang hari.

 

Generasi mula silih berganti,
Nama leluhur terpahat di hati,
Akar tertanam jauh ke dalam bumi,
Mustahil hilang ditelan zaman nanti.

 

Kerala jauh namun terasa dekat,
Dalam doa dan ingatan yang lekat,
Nenek moyang dari Kerala abadi,
Sejarah orang tua takkan dilupai.

 

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].


[Malini Lakshmi Bai dilahirkan di Kuala Lumpur pada 31 Julai 1992. Minat beliau terhadap bahasa dan kesusasteraan bermula sejak persekolahan dan pernah meraih johan serta naib johan dalam pertandingan debat, syarahan, dan forum pelajar. Malini terlibat secara aktif dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sejak tahun 2021. Karya-karyanya boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Kini, beliau berkhidmat sebagai editor pengurusan di My Aviation Magazine. Baca: Biodata penuh]

Ulasan