Esei: Amma dan Filem Tamil

Sempena Hari Ibu pada 10 Mei 2026, saya terdetik untuk menulis mengenai kisah ibu yang dipaparkan dalam beberapa filem Tamil. Saya bukanlah peminat tegar filem Tamil. Namun, saya menonton filem-filem yang menarik minat saya. Jarang ada filem Tamil yang memberi tumpuan sepenuhnya untuk watak ibu. Namun, ada beberapa filem yang menonjolkan watak ibu dan tiga filem ini menjadi pilihan saya.

Filem Thoongathey Thambi Thoongathey (1983) lakonan Kamal Hassan dan Jamuna sebagai ibunya menunjukkan bahawa anak yang tersilap langkah boleh berubah menjadi baik dengan kasih sayang dan didikan ibu. Jamuna mengubah cara hidup anaknya yang terjebak menjadi penagih dadah disebabkan oleh pengurus estet yang ingin membelot harta Vinod. Kamal Hassan memainkan dua watak sebagai Gopi dan Vinod dalam filem ini. Gopi dan Vinod merupakan kembar yang terpisah semasa kecil.

Lagu ‘Naanaga Naanillai Thaye’ yang dinyanyikan oleh mendiang S.P Balasubramaniyam sangat menyayat hati dan mampu mengalirkan air mata setiap pendengar Setiap perkataan dalam lagu ini mampu menyentuh perasaan individu untuk menghargai ibu mereka dan membalas jasa ibu.

Lakonan Jamuna dalam filem ini tidak begitu menonjol tetapi melalui lagu Naanaga Naanillai Thaye kita dapat lihat betapa ikhlas dan murni kasih seorang ibu kepada anaknya walaupun anak itu tersalah langkah. Peranan ibu sangat penting dalam membawa kembali seorang anak ke jalan yang benar.

M. Kumaran s/o Mahalakshmi (2004) memaparkan Nadhiya sebagai ibu yang kembali berlakon selepas berhenti berlakon untuk beberapa tahun. Nadhiya memang terkenal pada tahun 80-an dengan lakonan yang cukup mantap sebagai pelakon wanita utama dalam beberapa filem seperti Poove Poochodava (1985) dan Unakkaagave Vaazhgiren (1986).

Nadhiya menjadi ibu kepada Jayam Ravi dalam M. Kumaran s/o Mahalakshmi yang membesarkan anaknya seorang diri selepas berpisah dengan suaminya. Hidup Kumaran hanya bersama ibunya dan mereka bermesra seperti kawan. Nadhiya menjaga Kumaran dengan baik dan tidak ingin anaknya mengikut jejak suaminya yang mengemari kickboxing.

Namun, Nadhiya yang membawa watak Mahalakshmi terpaksa mengalah kerana Kumaran sudah pun menunjukkan ciri-ciri yang dimiliki ayahnya yang dilakonkan oleh Prakash Raj. Kumaran juga panas baran seperti ayahnya dan dia tidak mahu berjumpa dengan ayah dia yang meninggalkan ibu Kumaran untuk mengejar cita-citanya di Malaysia.

Apabila Mahalakshmi jatuh sakit, dia meminta Kumaran untuk ke Malaysia dan berjumpa dengan ayahnya. Walaupun Kumaran tidak ingin berjumpa dengan ayahnya, dia tetap akur kepada kata-kata ibunya selepas beliau meninggal dunia.

Filem ini membuktikan bahawa kasih ibu dapat mengubah pendirian seorang anak yang keras kepala. Kasih sayang dan dorongan seorang ibu mampu memberi sokongan kepada anak untuk mengejar cita-cita.

Anak yang ingin mengikut jejak ibu menjadi pembantu rumah kerana malas belajar menjadi inti pati filem Amma Kanakku (2016). Amala Paul memainkan watak ibu (Shanti) dalam filem ini dan bekerja keras supaya anaknya, Abhinaya lakonan Yuva Lakshmi dapat menjadi seorang yang terpelajar.

Namun begitu, Abhinaya tidak berminat untuk belajar dan mahu menjadi pembantu rumah seperti ibunya. Shanti bekerja di beberapa tempat untuk mengumpul duit bagi menampung hidup dan memberikan kesejahteraan kepada anaknya. Abhinaya pula tidak menghargai ibunya dan tidak mengendahkan nasihat ibunya untuk belajar bersungguh-sungguh.

Shanti memaklumkan kepada majikannya mengenai Abhinaya yang mahu menjadi pembantu rumah. Majikan Shanti, Dr. Nandhini (lakonan Revathi) menyuruhnya mencabar tindakan Abhinaya. Shanti berpendapat sekiranya dia berpelajaran pasti anaknya tidak mahu menjadi pembantu rumah. Shanti meminta bantuan Dr. Nandhini untuk mendaftarkannya di sekolah anaknya supaya Shanti dapat belajar bersama-sama.

Usaha Shanti tidak mendapat sokongan daripada Abhinaya malah Abhinaya berasa kecil hati kerana ibunya belajar di sekolah yang sama. Tetapi, Abhinaya mengandakan usaha dan mencapai markah yang baik dalam pelajaran. Walau bagaimanapun, Abhinaya tetap tidak mahu belajar bersungguh-sungguh sehingga satu situasi mengubah pendiriannya.

Motivasi dan usaha seorang ibu mampu mengubah pemikiran anak-anak untuk berjaya dalam hidup.Ibu-ibu harus cekal dalam mendidik anak-anak walaupun mereka memberontak tindakan seorang ibu.

Seorang ibu bukan sahaja melahirkan anak tetapi juga mendidik anak yang dilahirkan itu dengan penuh kasih sayang sehingga anak itu mencapai tahap yang membanggakan. Walaupun ada kisah di mana ibu-ibu mendera anak-anak mereka, namun kebanyakan ibu tetap memberi kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak.

Saya pasti ibu-ibu berasa kecewa dengan tindakan mereka itu. Mereka mungkin menghadapi tekanan atau masalah yang merungsingkan sehingga terpaksa menunjukkan tekanan emosi dan kemarahan kepada anak-anak. Ibu-ibu juga manusia biasa yang memerlukan sokongan emosional dan fizikal.

Ibu-ibu yang bekerja juga cuba sedaya upaya untuk menyediakan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Ibu-ibu meluangkan masa untuk menyediakan makanan dan menghadiri aktiviti sekolah anak-anak. Malah, ada ibu-ibu yang sanggup mengambil cuti bagi bersama anak-anak mereka semasa peperiksaan dan apabila anak-anak mempunyai program atau pertandingan.

Peranan seorang ibu tidak berkahir dengan kejayaan anak-anak malah berterusan sehingga akhir hayat seorang insan bergelar ibu. Selamat Hari Ibu kepada semua ibu, amma, ma, mummy, mom dan umi.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor dan merupakan jurulatih yoga terlatih dan mendapat pengiktirafan daripada Sakthi School of Yoga, Malaysia. Karya beliau termuat dalam Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022) dan Seruling Malam (2024). Puisi bahasa Inggeris terbaharu beliau termuat dalam ALS NaPoWriMo (2025). Karya-karya Anuradha juga boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Baca: Biodata penuh]