Cerpen: Kabus di Kampung Benggali (Bahagian 2)

[Sambungan daripada Bahagian Satu] Pada suatu malam, hujan turun lebat. Bunyi titisan air di bumbung menjadi latar kepada makan malam yang sunyi. Akhirnya, Gopinathan meletakkan sudu dan memandang anak-anaknya.

“Ada apa-apa yang kamu semua tak beritahu achan dan talli?” tanyanya dalam bahasa Malayalam.

Tiada sesiapa menjawab. Hanya bunyi hujan.

“Kamu bertiga tak perlu simpan semua dalam hati,” Lakshmi menyambung dengan suara lembut. “Kita semua tahu peraturan dan nilai dalam keluarga ini. Luahkan apa sahaja isu dan masalah untuk kita selesaikan bersama.”

Suman menghela nafas panjang. Dan akhirnya, dia bersuara kerana memahami kebenaran kata-kata ibu.

Achan, talli … kalau kita cakap bahasa Telugu atau Malayalam, ada orang kata kita pelik. Mereka kata kita orang India, jadi kena cakap bahasa Tamil.”

Kavya yang memang sensitif mula menunduk; air mata bergenang. Kiran pula memandang pinggan.

Perbualan pada malam itu menjadi panjang dan penting. Mereka menceritakan segala-galanya. Tentang ejekan, sindiran, dan tekanan halus yang berulang setiap hari. Tentang perasaan menjadi “orang lain” walaupun sewaktu berada dalam kalangan sendiri.

Gopinathan mendengar tanpa menyampuk. Lakshmi menggenggam tangan Kavya dengan penuh kasih.

Selepas beberapa lama, Gopinathan bersuara.

“Dunia ini sukakan perkara yang mudah. Satu kategori, satu label. Contoh paling mudah di negara ini ialah apabila orang Bugis, Jawa, Minangkabau, Boyan, Mandailing, Melayu, Banjar, Kerinci, Batak, Sunda, Madura, Riau, Rawa, dan sebagainya dilonggokkan dalam satu kategori iaitu Melayu. Tapi manusia sebenarnya tidak pernah homogen seperti itu. Begitu juga dengan kaum India yang nenek moyang berasal dari pelbagai tempat di Benua Kecil India sejak zaman dahulu.”

Gopinathan bangun, mengambil sebuah album lama dan mengeluarkan beberapa foto hitam putih.

“Ini datuk kamu. Ini moyang kamu. Mereka datang dari wilayah pantai barat yang kini dikenali sebagai Kerala atau Keralam. Mereka membawa bahasa, budaya, dan cara hidup tersendiri. Dan mereka juga terpaksa menyesuaikan diri di negara ini.”

Lakshmi pula masuk ke bilik tidur utama dan datang semula ke meja makan membawa sebuah kotak kecil.

“Ini antara dokumentasi lama keluarga saya di Teluk Intan. Nenek moyang berasal dari Andra Pradesh. Lagu-lagu lama, resipi tradisional, surat-surat dalam tulisan Telugu, dan karya tradisional berbentuk lagu rakyat. Semua ini … siapa yang akan jaga kalau bukan kamu?”

Malam itu tidak menyelesaikan segala isu yang diketengahkan. Tetapi ia ternyata membuka ruang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Beberapa hari kemudian, mereka pulang ke Klang untuk melawat achachan iaitu datuk sebelah bapa. Rumah itu penuh dengan kenangan: Bau rempah, suara radio lama, dan bahasa Malayalam yang mengalir tanpa sekatan.

Suman berasa sesuatu yang lama hilang, kini muncul kembali dalam diri. Begitu juga dengan Kavya dan Kiran yang leka berbual menggunakan bahasa Malayalam—walaupun sesekali istilah Telugu dan Inggeris menyusup masuk tanpa dirancang.

Kemudian, mereka ke Teluk Intan. Di sana, ammamma iaitu nenek sebelah ibu bercakap bahasa Telugu tanpa henti, seolah-olah dunia luar tidak pernah wujud dan beliau mahu memanfaatkan sepenuhnya peluang bertemu cucu kesayangan.

Kavya mula ketawa semula. Kiran mula bertanya soalan. Lidah mereka bertiga tidak menghadapi sebarang masalah untuk beralih menggunakan bahasa Telugu yang memang merupakan bahasa ibunda.

Tetapi twist sebenar muncul secara tidak dijangka. Semasa berada di rumah achachan di Klang, Suman menemui sebuah diari lama. Kulitnya lusuh dan tulisan di dalamnya pudar. Dia membukanya dengan rasa ingin tahu.

Di dalamnya, tercatat kisah moyang mereka—tentang perjalanan dari Kerala ke Malaya, tentang kesukaran menyesuaikan diri, dan satu pengakuan yang mengejutkan.

Moyang mereka pernah berhenti menggunakan bahasa ibunda itu bahasa Malayalam semata-mata untuk diterima oleh komuniti yang lebih besar iaitu orang Tamil.

Suman membaca catatan itu berulang kali. Dia cuba memahami situasi dilalui oleh moyangnya sebagai minoriti yang kurang menguasai pelbagai bahasa berbanding dirinya pada masa kini.

Pada malam kedua di Teluk Intan, dia menunjukkan foto halaman diari berkenaan kepada bapa.

“Jadi, nenek moyang kita juga pernah cuba buang identiti dan jati diri?”

Gopinathan tidak terus menjawab. Dia duduk lama, memandang foto halaman diari lama itu.

“Ada masa, manusia buat pilihan untuk hidup. Tapi tindakan itu tak bermakna pilihan itu betul untuk selamanya.”

Suman diam, cuba mencerna makna kata-kata itu.

“Bezanya sekarang,” sambung Gopinathan, “kamu ada pilihan untuk tidak mengulangi kesilapan sama.”

Kisah keluarga hasil perkahwinan campur Malayali dan Telugu ini tidak berakhir dengan sebarang perubahan dramatik seperti dalam filem atau fiksyen. Di sekolah, ejekan masih ada. Di luar, soalan yang sama masih ditanya.

Tetapi di rumah dua tingkat di Kampung Benggali, Taiping, sesuatu telah berubah. Bahasa Telugu kembali kedengaran di dapur. Bahasa Malayalam kembali hidup di ruang tamu. Ketawa menjadi lebih jujur apabila diselitkan perbualan dan lawak dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, dan Tamil.

Dan dalam diam, ketiga-tiga remaja itu mula memahami hakikat bahawa menjadi minoriti dalam minoriti—minority within a minority—bukan satu kecacatan atau kekurangan. Sebaliknya, ia adalah warisan. Dan warisan itu tidak perlu disembunyikan semata-mata kerana mahu diri kita diterima oleh kelompok majoriti.

Mungkin dunia tidak akan berubah dengan segera. Tetapi mereka bertiga tidak lagi berdiam diri. Dan kesedaran itu, dalam mana-mana bahasa, adalah satu bentuk keberanian yang wajar dipuji.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya boleh dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]