Pengalaman: Autograf Mengimbau Kenangan

Tahun 1990 merupakan tahun saya menamatkan pelajaran di sekolah rendah. Sebelum tamat persekolahan, saya dan rakan-rakan menyediakan buku autograf untuk diberikan kepada guru-guru dan rakan-rakan lain di sekolah. Saya masih ingat lagi, pada masa itu saya dan rakan-rakan berlumba-lumba mencari guru-guru dan memberikan buku autograf kepada mereka untuk ditandatangan.

Guru-guru saya pada masa itu bukan hanya menurunkan tandatangan mereka di dalam buku autograf malah mereka mengambil masa untuk menulis nasihat dan harapan masa depan kepada anak-anak murid. Saya berasa amat teruja apabila membaca tulisan mereka setelah hampir 36 tahun. Saya juga terkejut apabila melihat seorang guru yang telah melukis di dalam buku autograf saya.

Saya dan rakan-rakan juga bertukar-tukar buku autograf untuk berkongsi ucapan, kata-kata hikmat dan nasihat untuk masa depan. Kadang-kadang ada juga nasihat yang ditulis berbentuk lucu dan lawak. Ada juga nasihat atau kata-kata yang ditulis untuk mengenakan rakan-rakan. Apabila dibaca sekarang semuanya membawa kenangan indah pada zaman persekolahan. Ada juga rakan-rakan yang meletakkan pelekat pada ucapan mereka. Semuanya nampak unik dan menarik.

Saya masih ingat lagi buku-buku autograf berwarna-warni yang dibawa oleh rakan-rakan. Ada yang membeli buku khas untuk autograf. Ada juga yang menggunakan buku tulis garis satu dan dijadikan autograf. Autograf dihias mengikut kreativiti masing-masing. Sememangnya kreativiti bukan sahaja datang daripada diri sendiri malah melalui perkongsian dengan rakan-rakan. Perkongsian idea, kreativiti, motivasi dan peralatan seperti alat tulis memberikan pendekatan bagi seseorang individu untuk mengasah bakat terpendam.

Saya juga terpegun melihat tulisan rakan-rakan dalam buku autograf yang begitu tersusun, kemas dan rapi. Rata-rata tulisan rakan-rakan saya memang cantik. Penekanan guru-guru mengenai kepentingan tulisan dan cara penulisan yang betul memberikan kesan untuk penghasilan tulisan yang teratur, kemas dan jelas.

Satu perkara boleh saya simpulkan disini ialah tulisan sememangnya mencerminkan sifat dan keperibadian seseorang individu. (https://pinkyblueyblackie.wordpress.com/2012/05/15/kenali-peribadi-melalui-tulisan-tangan-oleh-dr-fadzilah-kamsah/) Hampir semua tulisan rakan-rakan dalam buku autograf saya sangat kemas.

Setiap helaian dalam buku autograf mengingatkan saya mengenai perjalanan hidup saya sebagai seorang pelajar di sekolah rendah dan menengah. Autograf bukan hanya tulisan semata-mata tetapi lambang persahabatan, kasih sayang dan kenangan indah yang sukar dilupakan sepanjang zaman persekolahan. Autograf juga membawa kenangan indah bersama guru-guru yang dihormati dan disanjungi sebagai idola pada zaman persekolahan.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor dan merupakan jurulatih yoga terlatih dan mendapat pengiktirafan daripada Sakthi School of Yoga, Malaysia. Karya beliau termuat dalam Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022) dan Seruling Malam (2024). Puisi bahasa Inggeris terbaharu beliau termuat dalam ALS NaPoWriMo (2025). Karya-karya Anuradha juga boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Baca: Biodata penuh]