Pandangan: Portal Kavyan Ambil Alih Peranan DBP

Portal Sastera Kavyan lahir dalam suasana yang agak menyedihkan. Saya berkata demikian kerana selama puluhan tahun, penglibatan penulis kaum India dalam Sastera Kebangsaan amat kecil jumlahnya. Saya sendiri melakukan penelitian terhadap majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), khususnya Dewan Siswa, lalu menemukan hakikat bahawa karya penulis kaum India amat sedikit tersiar dalam media arus perdana.

Dalam keadaan seperti itulah portal Sastera Kavyan dimulakan pada Disember 2020 sebagai satu ruang alternatif, ruang yang tidak menunggu “lampu hijau” daripada mana-mana pihak untuk memberikan peluang kepada penulis kaum India menghasilkan karya Bahasa Malaysia.

Tambahan pula, pada April 2021, DBP membuat keputusan untuk menafikan hak umat Bukan Islam menggunakan istilah “Tuhan” dengan alasan hanya allah layak digelar “Tuhan”. (maklumat lanjut)

Saya percaya bahawa “Tuhan” dan Bahasa Malaysia bukan milik eksklusif sesuatu kaum dan agama. Bahasa kebangsaan adalah milik semua rakyat Malaysia. Maka, apabila kaum India menulis cerpen, sajak, esei, rencana, ulasan buku, dan wawancara dalam Bahasa Malaysia, mereka sebenarnya sedang memperkukuh konsep Sastera Kebangsaan.

Malangnya, ramai penulis kaum India berasa terpinggir. Ada yang mempunyai idea dan bakat tetapi tidak tahu ke mana hendak menghantar karya. Ada yang kurang yakin kerana merasakan dunia sastera Bahasa Malaysia dimonopoli kelompok tertentu. Tambahan pula, majalah terbitan DBP kini milik puak yang menyokong tindakan rasis, fasis, subversif, dan fanatik badan berkanun itu.

Maka, portal Sastera Kavyan milik Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) menjadi jambatan yang menghubungkan penulis kaum India dengan dunia penulisan kebangsaan; tanpa perlu tunduk kepada puak subversif yang menafikan hak Bukan Melayu dan Bukan Islam.

Kavyan sengaja menjadikan portal ini terbuka kepada penulis kaum India daripada pelbagai latar belakang. Karya yang disiarkan bukan hanya karya penulis mapan tetapi juga karya penulis baharu yang mungkin tidak pernah tersiar di mana-mana media sebelum ini. Antara penyumbang  tetap ialah M. Mahendran, Anuradha Chelliah, dan Malini Lakshmi Bai.

Kavyan percaya bahawa seseorang penulis tidak akan berkembang jika terus menunggu “sempurna” sebelum berkarya. Sebaliknya, mereka perlu diberi ruang untuk belajar, melakukan kesilapan, menerima kritikan, dan terus menulis. Sebab itulah portal Sastera Kavyan bukan sekadar tempat menyiarkan karya tetapi juga medan latihan tidak formal bagi penulis baharu.

Kandungan portal memperlihatkan usaha yang konsisten dan tersusun. Selain menyiarkan karya kreatif seperti cerpen dan sajak, portal ini turut memuatkan esei kritikan, laporan aktiviti, dokumentasi program bahasa dan sastera, wawancara, catatan pengalaman, ulasan buku, serta pengumuman projek penerbitan.

Semua ini penting kerana ekosistem sastera tidak boleh hidup dengan karya kreatif semata-mata. Penulis juga memerlukan ruang diskusi, ruang dokumentasi, dan ruang interaksi sesama penulis.

Salah satu perkara yang ditekankan di portal Sastera Kavyan ialah keberanian membawa identiti budaya India ke dalam karya Bahasa Malaysia. Saya sering menyatakan bahawa Sastera Kebangsaan tidak bermaksud semua orang perlu menulis dengan latar budaya yang sama. Sebaliknya, penulis pelbagai kaum perlu membawa pengalaman budaya masing-masing secara jujur ke dalam karya Bahasa Malaysia.

Atas sebab dan kesedaran itulah karya-karya di portal Sastera Kavyan penuh dengan unsur budaya India tempatan dari aspek nama watak, adat, makanan, kepercayaan, bahasa pertuturan, dan pengalaman hidup masyarakat India di Malaysia. Semua ini mampu memperkaya khazanah Sastera Kebangsaan.

Saya secara peribadi melihat portal ini sebagai ruang melahirkan keyakinan. Apabila seseorang penulis melihat karya rakan-rakan kaum India lain tersiar di sini, dia mula percaya bahawa dirinya juga mampu menulis karya Bahasa Malaysia. Kesan psikologi seperti ini amat penting. Dalam banyak keadaan, masalah utama bukan kurang bakat tetapi kurang keyakinan. Portal Sastera Kavyan cuba membantu memecahkan tembok mental itu.

Selain itu, portal ini berfungsi sebagai arkib dan dokumentasi. Banyak karya penulis kaum India sebelum ini hilang begitu sahaja kerana tidak didokumentasi dengan baik. Apabila karya tersiar di akhbar, karya itu mungkin dilupakan selepas beberapa hari. Sebaliknya, portal Sastera Kavyan (selain Blog Kavyan dan Blog Arkib) menjadi repositori yang menghimpunkan karya dan aktiviti secara sistematik.

Hal ini mungkin memudahkan penyelidik, pelajar universiti, dan pembaca yang mahu membuat rujukan pada masa depan. Malah, beberapa projek antologi dan penerbitan buku juga lahir daripada karya serta jaringan yang dibina menerusi portal ini. Projek terkini yang sedang diusahakan ialah Antologi 5 Penulis.

Saya amat menitikberatkan aspek bimbingan. Sebab itu, portal Sastera Kavyan berkait rapat dengan pelbagai aktiviti seperti sesi penulisan intensif, bengkel, diskusi buku, program galakan membaca, dan pertemuan penulis pelbagai kaum.

Semua ini dilakukan secara berterusan kerana Kavyan percaya bahawa penulis tidak lahir secara magis. Mereka perlu dibimbing dan diasuh. Kadangkala saya membaca manuskrip yang masih lemah dari segi bahasa dan teknik, tetapi saya tetap nampak potensi. Maka, saya membantu menyunting dan memberikan panduan supaya penulis itu dapat berkembang.

Apa yang menggembirakan saya ialah portal Sastera Kavyan berjaya membuktikan bahawa kaum India memang mampu menghasilkan karya Bahasa Malaysia yang bermutu. Malah, dalam tempoh beberapa tahun sahaja, jumlah karya yang disiarkan di portal ini jauh lebih banyak berbanding karya penulis kaum India yang tersiar di beberapa media arus perdana dalam tempoh sama.

Sekadar contoh, DBP menerbitkan sebelas majalah setiap bulan. Dari Mei 2021 (susulan DBP menafikan hak umat Bukan Islam menggunakan “Tuhan”) hingga Jun 2026, iaitu bagi tempoh lima tahun atau lebih 60 bulan, hanya 12 puisi dan lima cerpen asli Bahasa Malaysia oleh penulis kaum India tersiar di mana-mana majalah DBP. Fakta ini amat signifikan apabila dibandingkan dengan jumlah karya di portal Sastera Kavyan.

Bagi saya, portal ini bukan sekadar sebuah blog karya sastera. Portal ini ialah gerakan budaya. Portal ini ialah usaha kecil tetapi konsisten oleh Kavyan untuk memastikan kaum India tidak terus menjadi penonton dalam dunia Sastera Kebangsaan.

Saya secara peribadi mahu masyarakat India menjadi peserta aktif yang menyumbangkan idea, pengalaman, falsafah, dan nilai budaya kepada khazanah sastera negara. Jika Sastera Kebangsaan benar-benar mahu bersifat kebangsaan, maka suara kaum India juga wajib ada dan wajib didengar.

Sementara DBP terbukti gagal melaksanakan tugas dan amanah dalam hal ini, portal Sastera Kavyan gigih melaksanakan tanggungjawab sosial ini secara berterusan.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya boleh dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]