Cerpen: Aku dan Vinayagar

Dalam banyak-banyak Dewa yang terdapat dalam agama Hindu, aku lebih menyukai Dewa Vinayagar. Dewa Vinayagar mempunyai pelbagai nama seperti Ganesha, Pillayar, Ganapathi dan lain-lain. Dewa berbadan manusia dan berkepala gajah ini disembah di India dan di seluruh dunia.

Aku berminat dengan Vinayagar sebab bentuknya adalah seperti gajah. Filem Haati Mere Saathi telah menjadikan aku minat terhadap gajah kerana mereka boleh  membuatkan seseorang ketawa dan menangis. Pernah ketika itu terfikir mengapa bapa tidak pelihara gajah sedangkan anjing dan kucing boleh.

Jadi, dalam banyak dewa dan dewi, Vinayagar diberi keutamaan.

Ketika ibu membawa kami adik-beradik ke kuil Subramaniam dan kuil Mahamariamman, aku akan berdiri sedikit lama di hadapan berhala Vinayagar berbanding berhala-hala lain.

Aku suka melihat Vinayagar sebab bentuk badannya menyerupai manusia, bertangan empat dan berkepala gajah. Lebih-lebih lagi, aku sungguh berminat terhadap belalainya. Aku pun tidak tahu mengapa.

Ibu selalu menyuruh kami bersembahyang dengan sepenuh hati agar Tuhan akan kabulkan setiap permintaan. Ketika itu aku tidak faham sangat tentang konsep Tuhan dan Dewa (sekarang pun).

Aku cuma meniru cara mereka bersembahyang di kuil dan di rumah. Dan aku tidak pernah meminta apa-apa pun daripada Vinayagar. Mungkin tanpa sedar aku menganggap Vinayagar hanya duduk di kuil dan tidak boleh bergerak ke mana-mana. Jadi, sudah tentu Dia tidak boleh kabulkan permintaanku untuk menonton semua wayang gambar  secara percuma atau belikan peti televisyen.

Sebenarnya, aku ke kuil bukan untuk bersembahyang tetapi untuk melihat berhala Vinayagar, untuk makan ponggal dan makan kacang kuda yang diberikan setiap Jumaat malam. Suasana di kuil juga menyamankan perasaan dan minda.

Sejak kecil hingga dewasa, aku hanya menyembah dan melihat Vinayagar melalui gambar pada kalendar, patung kecil di rumah dan berhala di kuil.

Aku teringin sangat melihat Vinayagar muncul di hadapan mata kepalaku sendiri. Ini adalah kerana keadaan sungguh terdesak sekarang.

“Awak gila?” tanya isteriku.

“Mengapa kau kata begitu?”

“Awak bercakap seperti orang tidak waras.”

Adakah aku tidak waras? Sejak kecil lagi aku melihat Vinayagar dalam bentuk berhala dan dalam gambar sahaja. Aku percaya Vinayagar hidup di sesuatu tempat di angkasa raya atau di mana-mana tempat di muka bumi ini, malah di planet-planet tertentu. Vinayagar pasti dalam keadaan halimunan. Mungkin Dia akan muncul apabila diseru seperti dalam filem-filem Tamil lama.

“Mengapa kau kata begitu, Visa?”

Visa tidak menjawab. Dia yang berbaring di sebelah, memalingkan wajahnya semula pada telefon bimbit menonton lawak jenaka bodoh menerusi Tik Tok. Dia ketawa sehingga menutup mulut. Tak padan dengan umur.

“Awak tidur sajalah. Bukankah pagi-pagi lagi awak harus bangun?”

Visa boleh menonton Tik Tok, Instagram dan entah apa-apa lagi pada bila-bila masa sahaja. Aku, mana boleh begitu. Setiap hari aku perlu memikirkan bagaimana cara untuk meningkatkan perniagaan.

Visa sepatutnya menolong aku di restoran tetapi dia enggan. Dia kata sudah cukup orang untuk menguruskan kedai. Dia tidak mahu menyusahkan diri bergelumang dalam bahan masakan, kepanasan dan hiruk-pikuk pelanggan. Malah, dia tidak ada selera untuk menolong aku di restoran kecil di tepi jalan. Dia malu dengan kawan-kawannya yang datang ke kedai

Aku pun tidak tahu bilalah kaum India akan mencontohi kaum Cina di lapangan perniagaan.

Sudahlah baru-baru ini pelanggan sudah berkurangan sejak dinaikkan harga makanan dan minuman. Aku tidak dapat berbuat apa-apa. Kerajaan Madani menjanjikan itu dan ini tetapi tidak melaksanakan mana-mana yang patut. Harga barang yang sepatutnya dikawal, melambung tinggi.

Jadi, apa aku boleh buat? Sudah tentulah terpaksa dinaikkan setiap harga sajian.

Pelbagai cara sudah dicuba untuk menarik pelanggan dengan menukar menu dan mengubah cara persembahan makanan tetapi masih tiada perubahan. Pendapatan harian tetap sama dan tidak ada peningkatan.

Ketiga-tiga anak masih belajar di sekolah menengah. Mereka pun sama. Tidak mahu menolong di kedai. Mereka ingat bapa mereka mencetak duit. Sudah lebih sepuluh tahun aku berhenti kerja kilang dan memulakan restoran ini. Kini menyesal dengan tindakan itu.

Aku yang menyembah Vinayagar tanpa tujuan, kini sudah meminta itu dan ini. Dengan harapan Vinayagar akan menarik masuk lebih ramai pelanggan ke dalam kedai. Aku juga meminta Vinayagar memberi satu jumlah yang menggembirakan dalam  permainan nombor ekor.

Keadaan  tetap sama. Tidak ada perubahan. Wang simpanan aku makin lama makin berkurangan.

Visa tidak mengendahkan semua itu. Nasib baik dia bukan jenis isteri yang suka minta belikan itu dan ini. Aku bersyukur untuk itu.

Aku bangun dari katil.

“Awak mahu pergi mana?” tanya Visa.

“Saya mahu ke bilik sembahyang.”

“Dah tengah malam begini, mahu sembahyang apa?”

“Saya mahu jumpa Vinayagar.”

Aku menutup pintu bilik secara perlahan dan menuju ke bilik stor kecil yang dijadikan sebagai bilik sembahyang. Sejurus melangkah masuk, aku menutup pintu.

Aku tidak membuka lampu sebab tahu di mana letaknya patung Vinayagar di atas altar. Juga terdapat gambar Dewa Murugan, Dewi Lakshmi dan Saraswathi. Keharuman bau setanggi Golden 50 yang dipasang senja tadi masih dapat dihidu. Aku duduk bersila di lantai.

Pertama kali aku membuka mulut untuk bercakap dengan patung Vinayagar yang diperbuat daripada tanah liat. Selama ini aku cuma bercakap di dalam hati sahaja.

“Ganesha, tolonglah muncul di hadapanku. Sejak kecil lagi aku sudah menyembah kamu. Satu kali pun kamu tidak pernah muncul di hadapanku. Dan aku tidak pernah meminta apa-apa pun. Baru-baru ini sahaja aku meminta itu dan ini dengan kamu semoga perniagaan kedai makan kami boleh bangun semula seperti mula-mula dahulu.”

Mataku tertancap ke arah patung Vinayagar yang tidak kelihatan langsung dalam gelap.

“Vinayaga, tolonglah muncul di hadapanku. Aku mahu melihat wajahmu yang sebenar. Tolonglah Vinayaga! Munculkanlah diri kamu di hadapan insan yang kerdil ini,” suaraku dikuatkan sedikit.

Tidak ada apa-apa yang terjadi. Dalam suasana malam yang sunyi cuma terdengar bunyi cicak sedang bercakap dengan pacarannya di suatu sudut dalam bilik itu. Mungkin mereka tidak sangka aku akan datang ke bilik sembahyang jam 12 tengah malam.

Adakah aku sudah salah panggil. Mungkin aku perlu memanggil Dewi Lakshmi. Dia lebih arif dalam bidang kewangan. Setahu aku Vinayagar arif dalam semua bidang. Tidak ada pengkhususan. Tidak salah memanggil Dewa kesukaanku. Aku tidak boleh berputus asa.

Ganesha, kamu dengar atau tidak apa yang aku pinta? Sudah tentu kamu mengenali suara aku. Mungkin wajahku sudah berubah sekarang tetapi aku tetap taat pada kamu, Ganesha! Muncullah di hadapanku!”

Sudah tiga kali aku pinta. Tidak ada apa-apa pun berlaku seperti dalam filem Tamil. Vinayagar masih tidak muncul di hadapan aku. Adakah selama ini aku bersembahyang pada suatu Dewa yang tidak pernah wujud? Adakah selama ini aku tertipu?

Mataku bergenang. Airnya turun dengan agak banyak menuruni pipi dan meleleh hingga ke leher. Tidak ingat bila aku menangis untuk kali terakhir. Aku tidak dapat mengawalnya. Biarkan. Demi Vinayagar, biarkan.

Tiba-tiba aku lihat suatu pancaran cahaya berwarna biru muncul daripada patung Vinayagar.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera KavyanEksentrika, Cukaria, dan Blog Peribadi, serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]