Pandangan: Sanatana Dharma, Cara Hidup Merentasi Zaman (Bahagian 1)

Dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama, dan budaya di Malaysia, istilah “agama Hindu” sering digunakan untuk memudahkan pemahaman tentang agama dianuti majoriti kaum India di negara ini.

Namun begitu, pada hakikatnya, tradisi Hinduisme yang diwarisi sejak ribuan tahun lalu lebih tepat dikenali sebagai Sanatana Dharma. Dalam bahasa Sanskrit, sanatana bermaksud “abadi” atau “kekal sepanjang zaman”, manakala dharma merujuk kepada prinsip kebenaran, kewajipan moral, aturan kosmos, serta cara hidup yang selaras dengan hukum alam.

Oleh itu, Sanatana Dharma bukan sekadar agama dalam pengertian sempit, sebaliknya suatu falsafah hidup yang menyeluruh dan relevan sepanjang zaman. Huraian beberapa topik berkaitan Hinduisme (Sanatana Dharma) boleh juga dibaca dalam buku Malaiur Manikam (2015).

Rajah yang dipaparkan diambil dari internet dan menunjukkan secara amat ringkas keluasan khazanah ilmu dalam Sanatana Dharma. Saya terpanggil untuk memberi sedikit huraian ringkas dalam Bahasa Malaysia demi manfaat sesiapa yang berminat menimba ilmu.

Ramai orang—termasuk umat Hindu di Malaysia—hanya mengenali beberapa aspek seperti kuil, upacara keagamaan, atau perayaan. Sebenarnya, tradisi Sanatana Dharma merangkumi pelbagai cabang ilmu berkaitan kerohanian, falsafah, kesihatan, sains, seni, pentadbiran, pendidikan, etika, dan pembangunan insan.

Asas utama Sanatana Dharma ialah empat Veda iaitu Rigveda, Yajurveda, Samaveda, dan Atharvaveda. Menurut sarjana India, Dr. S. Radhakrishnan dalam bukunya Indian Philosophy (1923), Veda merupakan himpunan ilmu dan pengalaman rohani yang terkumpul melalui pengamatan para rishi selama beribu-ribu tahun.

Veda bukan kitab yang ditulis oleh seorang individu tertentu, sebaliknya dianggap sebagai wahyu yang “didengar” (shruti) oleh para resi yang mencapai kesedaran rohani tinggi.

Rigveda mengandungi himpunan pujian dan renungan falsafah yang tertua. Yajurveda memberi penjelasan tentang pelaksanaan ritual dan tanggungjawab manusia. Samaveda menekankan muzik dan nyanyian suci sebagai medium mendekatkan diri kepada Tuhan. Atharvaveda pula memuatkan pelbagai pengetahuan berkaitan kehidupan harian, kesihatan, kesejahteraan sosial, dan pemerhatian terhadap alam.

Setiap Veda mengandungi empat bahagian utama iaitu Samhita, Brahmana, Aranyaka dan Upanishad. Upanishad dianggap sebagai kemuncak pemikiran falsafah Veda.

Dalam The Principal Upanishads (1953) yang diterjemahkan oleh Dr. S. Radhakrishnan, ditegaskan hakikat penganut Hindu digalakkan mencari hakikat diri, memahami hubungan antara jiwa individu (atma) dan Realiti Tertinggi (Brahma atau Paramatma), serta mencapai kebebasan rohani (moksha atau nirvana).

Rajah itu turut memaparkan Vedanga iaitu enam disiplin ilmu yang membantu pemahaman terhadap Veda. Antaranya Siksha (fonetik), Vyakarana (tatabahasa), Chhandas (irama atau prosody), Nirukta (etimologi), Jyotisha (astronomi dan pengiraan masa), serta Kalpa (tatacara ritual).

Kehadiran disiplin-disiplin ini membuktikan bahawa tradisi Hindu (Sanatana Dharma) sangat menitikberatkan ilmu pengetahuan, ketepatan bahasa, logik, dan sistem pembelajaran yang amat tersusun.

Selain itu, terdapat Upaveda yang memperlihatkan keluasan bidang ilmu dalam Sanatana Dharma. Ayurveda misalnya merupakan sistem perubatan tradisional India yang terkenal di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengiktiraf Ayurveda sebagai salah satu sistem perubatan tradisional yang masih diamalkan secara meluas.

Teks-teks seperti Charaka Samhita dan Sushruta Samhita dalam tradisi India-Hindu membincangkan topik kesihatan, pembedahan, pemakanan, dan keseimbangan tubuh manusia secara amat terperinci.

Gandharvaveda pula berkaitan muzik, seni, dan tarian. Dhanurveda menyentuh ilmu pertahanan dan peperangan, manakala Arthashastra memberi tumpuan kepada pentadbiran, ekonomi, dan pengurusan negara.

Karya Arthashastra oleh Kautilya yang dikaji secara meluas oleh ahli sejarah dan saintis politik, membuktikan bahawa pemikiran Hindu turut merangkumi aspek tadbir urus, diplomasi, dan pembangunan ekonomi.

Khazanah ilmu Sanatana Dharma tidak terhad kepada Veda. Rajah yang dipaparkan turut menunjukkan kewujudan Smriti, Purana, Itihasa, Agama, dan pelbagai Shastra.

Smriti merangkumi teks-teks yang menjelaskan pelaksanaan dharma dalam kehidupan masyarakat. Antaranya termasuk karya yang dikaitkan dengan Manu, Yajnavalkya, Vyasa, dan Vasistha. (Baca juga fiksyen Kaka Smiriti: Ingatan yang Tidak Mati) – (Bersambung pada 21 Julai 2026)

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya boleh dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]