(Sambungan daripada Bahagian Satu) Purana
pula mengandungi kisah-kisah yang menjelaskan konsep ketuhanan, moraliti, dan
sejarah budaya. Menurut sarjana Wendy Doniger dalam The Hindus: An Alternative History
(2008), Purana memainkan peranan penting dalam menyampaikan ajaran falsafah
kepada masyarakat umum (khasnya kanak-kanak) melalui naratif atau penceritaan yang
mudah difahami. (Baca juga: Kisah Purana Bukan Sekadar Dongeng Purba dan Khanda Puranam)
Dalam kategori Itihasa terdapat dua karya agung iaitu Ramayana dan Mahabharata. Kedua-duanya
bukan sekadar cerita peperangan atau kisah kepahlawanan. Sebaliknya,
karya-karya ini membincangkan konflik moral, tanggungjawab sosial, kesetiaan,
kasih sayang, dan pilihan hidup yang kompleks.
Teks Bhagavad
Gita yang terkandung dalam Mahabharata
dianggap antara teks falsafah paling berpengaruh di dunia. Bhagavad Gita
menekankan perlunya kita berpegang kepada tindakan yang bertanggungjawab,
disiplin diri, dan pengabdian kepada kebenaran (truth).
Rajah yang dipaparkan juga menyenaraikan enam aliran
Darshana (falsafah utama) iaitu Nyaya, Vaisheshika, Sankhya, Yoga, Mimamsa, dan
Vedanta. Kewujudan pelbagai mazhab atau aliran pemikiran ini membuktikan hakikat
Sanatana Dharma tidak memaksa penganut menerima satu pandangan secara
membuta tuli. Sebaliknya, tradisi ini menggalakkan perbahasan intelektual,
pencarian ilmu, dan pemeriksaan kritikal terhadap realiti kehidupan.
Hal ini selaras kenyataan Swami Vivekananda dalam
syarahan-syarahannya yang diterbitkan dalam The Complete Works of Swami Vivekananda
bahawasanya Hinduisme menerima kepelbagaian pendekatan menuju kebenaran.
Seorang penganut Hindu (Sanatana Dharma) boleh memilih jalan ilmu (jnana),
pengabdian (bhakti), tindakan (karma), atau meditasi (raja
yoga) mengikut kecenderungan dan kemampuan masing-masing.
Dalam konteks Malaysia, pemahaman terhadap keluasan Sanatana
Dharma amat penting, khususnya dalam kalangan generasi muda. Ramai anak
muda Hindu mengenali aspek ritual dalam Hinduisme tetapi kurang memahami asas
falsafah dan ilmu yang mendasarinya.
Akibatnya, mereka mudah menganggap agama sendiri
sebagai sekadar himpunan adat atau upacara yang tidak relevan dengan kehidupan
moden. Lebih malang apabila mereka mudah dipengaruhi pendak*ah yang licik memanipulasi
dan memaksa orang meninggalkan agama asal.
Sebenarnya, nilai-nilai yang diajar dalam Sanatana
Dharma sentiasa relevan. Misalnya, konsep dharma mengajar
tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat, dan alam sekitar. Konsep karma
mengingatkan bahawa setiap tindakan mempunyai akibat.
Konsep ahimsa menekankan sikap tidak menyakiti
makhluk lain. Konsep satya pula menggalakkan kejujuran dan integriti.
Nilai-nilai ini amat diperlukan dalam dunia moden di mana kita sering berdepan
krisis moral, tekanan emosi, dan keruntuhan institusi sosial.
Golongan muda Hindu di Malaysia perlu memahami bahawa Sanātana
Dharma bukan sekadar warisan nenek moyang. Ia merupakan sistem pemikiran
yang telah bertahan selama ribuan tahun kerana kemampuannya menyesuaikan diri
dengan perubahan zaman tanpa mengorbankan prinsip asas yang terus bertahan.
Apabila seseorang memahami keluasan ilmu yang
terkandung dalam Veda, Upanishad, Bhagavad Gita, Ayurveda, Yoga, dan pelbagai
Shastra, maka individu itu akan menyedari hakikat tradisi Sanatana Dharma
selaku agama tertua di muka Bumi menawarkan panduan menyeluruh untuk
pembangunan fizikal, mental, intelektual, dan rohani bagi umat manusia.
Pada penelitian saya, cabaran utama generasi muda hari
ini bukan hanya terletak pada usaha mempertahankan identiti dan jati diri Hindu
secara emosi semata-mata; seperti dilakukan komuniti Tamil dalam soal bahasa
Tamil, budaya Tamil, dan sekolah Tamil. Lebih dari itu, umat Hindu berdepan
cabaran untuk lebih memahami dan menghayati lautan ilmu yang terkandung dalam Sanatana
Dharma.
Individu yang benar-benar memahami tradisi sendiri
tidak akan terpengaruh oleh dak*ah ajaran lain yang kononnya lebih moden, lebih
saintifik, atau lebih sesuai untuk kehidupan masa kini.
Sebaliknya, individu yang ada ilmu berkaitan Hinduisme
akan menyedari hakikat Sanatana Dharma merupakan khazanah ilmu yang
luas, mendalam, dan sentiasa segar. Sesungguhnya, Sanatana Dharma adalah
cara hidup (way of life) yang telah membimbing manusia selama ribuan
tahun dan terus menawarkan cahaya kebijaksanaan kepada generasi masa depan.
Mahu mengirim karya ke portal Sastera
Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK
Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping sebelum
mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya.
Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya
boleh dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]

