Dalam pelbagai sesi bengkel, ceramah, dan perbincangan bersama penulis baharu sejak tahun 1994, saya sering mendengar dua kekangan yang diulang berkali-kali. Kekangan atau masalah pertama ialah kekurangan idea untuk menghasilkan cerpen. Kekangan atau masalah kedua ialah kekurangan masa untuk menulis.
Kedua-dua “masalah” ini kelihatan sama berat tetapi sebenarnya
tidak sama. Kekurangan idea boleh diatasi melalui latihan, pemerhatian, dan
perubahan cara berfikir. Sebaliknya, kekurangan masa bukan masalah yang boleh
diselesaikan oleh orang lain.
Masa yang dimiliki setiap individu adalah sama. Saya
sering berkata, saya ada “24 setengah jam” sehari, maka ada masa tambahan 30
minit sehari untuk menulis! Sebenarnya, apa yang berbeza ialah cara
mengurusnya. Berdasarkan pengalaman saya sebagai penulis dan pembimbing, ada
beberapa pendekatan yang terbukti berkesan untuk membantu mengatasi kedua-dua
masalah ini.
Cara pertama mengatasi kekurangan idea ialah membiasakan diri menjadi
pemerhati kehidupan. Idea tidak semestinya muncul ketika duduk di hadapan
komputer atau ketika memegang pen. Sebaliknya, idea lahir daripada kebiasaan
memerhati manusia, mendengar perbualan, membaca berita, menghayati sejarah
tempatan, meneliti budaya, serta memahami konflik yang berlaku dalam
masyarakat.
Banyak cerpen saya bermula daripada peristiwa yang
kelihatan biasa. Apa yang membezakan seorang penulis daripada orang lain ialah
keupayaan melihat kemungkinan cerita di sebalik sesuatu peristiwa. Oleh sebab
itu, penulis tidak boleh hanya menunggu ilham datang.
Penulis perlu keluar daripada zon selesa, melihat
dunia dengan rasa ingin tahu, dan sentiasa bertanya, "Bagaimana jika
perkara ini berlaku secara berbeza?" Soalan seperti itulah yang sering
menjadi benih kepada sebuah cerpen. Jika anda meneliti cerpen-cerpen saya sejak
tahun 1992, anda akan menemui formula “what if” (bagaimana jika) dalam
kebanyakan cerpen.
Cara kedua ialah membina tabiat mengumpul bahan
secara berterusan. Ramai penulis hanya mencari idea apabila ingin menulis. Pada
ketika itu, mereka mudah berasa buntu. Saya lebih cenderung mengumpulkan bahan
sepanjang masa. Sejak mula menulis fiksyen pada zaman persekolahan, saya
mencatat dialog yang menarik, menyimpan keratan akhbar, mengambil foto, merakam
pemerhatian, dan menulis nota ringkas apabila terlintas sesuatu kemungkinan
cerita.
Semua bahan ini menjadi bank idea yang boleh dirujuk
pada bila-bila masa. Apabila tiba masa menulis, saya tidak perlu bermula
daripada halaman kosong kerana sudah ada pelbagai bahan mentah yang menunggu
untuk diproses menjadi karya. Penulis baharu juga boleh mengamalkan kaedah yang
sama. Jangan bergantung pada ingatan semata-mata kerana idea yang tidak dicatat
selalunya akan hilang begitu sahaja.
Cara ketiga ialah memperbanyakkan pembacaan
secara kritis dan pelbagai. Penulis yang kurang membaca lazimnya mempunyai
pilihan idea yang terhad. Pembacaan bukan bertujuan meniru karya orang lain, sebaliknya
memahami bagaimana pengarang membina watak, konflik, latar, dan teknik
penceritaan. Saya sentiasa menggalakkan peserta bengkel supaya membaca karya
tempatan dan antarabangsa, termasuk bahan bukan fiksyen seperti buku sejarah,
antropologi, sains, dan psikologi.
Pembacaan yang pelbagai memperluaskan cara berfikir
serta membuka ruang kepada gabungan idea yang baharu. Cerpen yang baik lazimnya
lahir daripada pertemuan pelbagai disiplin ilmu, bukannya daripada imaginasi
yang terpisah daripada realiti. Semakin luas pembacaan seseorang, semakin
banyak hubungan baharu dapat dibentuk antara fakta, pengalaman, dan imaginasi.
Berbeza dengan masalah kekurangan idea, masalah kekurangan masa memerlukan disiplin diri. Cara
pertama ialah menerima hakikat bahawa tiada siapa benar-benar mempunyai
masa lapang yang mencukupi. Penulis perlu mencipta masa.
Saya sendiri tidak pernah menunggu keadaan menjadi
sempurna sebelum menulis. Sebaliknya, saya memanfaatkan ruang masa yang ada,
sama ada pada awal pagi, lewat malam, atau di celah tugasan harian. Sejak 1996,
saya bekerja di RTM sebagai penyunting berita, penyampai berita, dan pengulas
akhbar, serta turut menjadi pensyarah di lebih lima buah kolej swasta. Hanya
pada 2011, saya memutuskan untuk menjadi penulis sepenuh masa.
Percayalah, menulis
selama tiga puluh minit setiap hari jauh lebih berkesan daripada
menunggu beberapa jam yang mungkin tidak pernah tiba. Kemajuan kecil yang
dilakukan secara konsisten akhirnya mampu menghasilkan manuskrip yang lengkap.
Penulis yang berjaya bukan semestinya mempunyai masa yang lebih banyak, sebaliknya
mampu menggunakan masa yang dimiliki—walau hanya
10 minit sehari—dengan lebih bijaksana.
Cara kedua ialah menetapkan keutamaan yang
jelas. Ramai orang mengadu tidak sempat menulis tetapi masih menghabiskan masa
berjam-jam melayari media sosial atau menonton kandungan yang tidak memberikan
manfaat kepada proses penulisan.
Pengurusan masa sebenarnya ialah pengurusan keutamaan.
Jika seseorang benar-benar menganggap penulisan sebagai sesuatu yang penting,
maka penulisan perlu diberikan tempat dalam jadual harian.
Saya sering menyarankan supaya penulis menetapkan
sasaran yang realistik, misalnya menulis seratus patah perkataan sehari atau menyunting
manuskrip dalam tempoh tertentu. Sasaran yang kecil tetapi konsisten lebih
mudah dicapai berbanding cita-cita besar yang tidak disertai perancangan.
Cara ketiga ialah memecahkan proses penulisan
kepada beberapa peringkat yang lebih kecil. Ada penulis berasa terbeban kerana
membayangkan keseluruhan cerpen perlu disiapkan dalam satu sesi. Pendekatan
seperti itu hanya meningkatkan tekanan.
Saya lebih gemar membahagikan proses kepada aktiviti
yang berasingan, seperti mengumpul idea, menyediakan rangka cerita, membina
watak, menulis draf pertama, dan menyunting. Setiap aktiviti boleh dilakukan
mengikut ruang masa yang ada.
Jika hanya mempunyai sepuluh minit, gunakan masa itu
untuk menambah nota tentang watak atau menyemak dialog. Sedikit demi sedikit,
semua bahagian akan bercantum menjadi sebuah cerpen yang lengkap. Pendekatan
ini bukan sahaja menjadikan kerja lebih teratur, malah mengurangkan rasa takut
untuk memulakan penulisan.
Perlulah diakui, kekurangan idea dan kekurangan masa merupakan
dua cabaran yang berbeza serta memerlukan penyelesaian yang berlainan. Idea
boleh diperkaya melalui pemerhatian, pengumpulan bahan, dan pembacaan yang
meluas. Masa pula perlu diurus melalui disiplin, keutamaan yang jelas, dan
pembahagian proses penulisan kepada langkah-langkah yang kecil.
Berdasarkan pengalaman saya sejak awal 1990-an, alasan
yang paling sukar diatasi bukanlah kekurangan idea atau kekurangan masa, tetapi
kegagalan membentuk tabiat yang konsisten.
Apabila seseorang menjadikan pemerhatian sebagai
kebiasaan dan penulisan sebagai rutin, idea akan sentiasa hadir, manakala masa
akan sentiasa dapat dicari. Penulis tidak perlu menunggu ketibaan inspirasi
atau kesempatan yang sempurna. Sebaliknya, penulislah yang perlu mencipta
kedua-duanya melalui usaha yang berterusan.
* * * * *
Mahu mengirim karya ke portal Sastera
Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.