Puisi: Bunyi



Bayangkan

dunia tanpa bunyi,

sunyi dan sepi,

tiada nada dan tiada suara,

angin bergerak hanya dilihat,

petir dan kilat tiada beza,

malah tiada juga kicauan burung,

kekosongan dirasai.

 

Bunyi …

manusia beremosi,

manusia berempati,

segalanya dengan bunyi,

keseronokan dijiwai,

kegembiraan dinikmati,

kemarahan dicemari.

 

Bunyi menjadi bahasa,

tatkala kata tidak lagi bermakna,

tawa mengusik jiwa,

tangis menyentuh rasa,

jeritan menggetarkan sukma

di sebalik segala bunyi,

ada suara yang semakin sepi,

hati menyendiri,

jiwa menjerit tanpa suara.

 

Manusia perlu mendengar

dan memahami

bunyi memerlukan perhatian

bunyi yang menyembunyikan kesakitan,

dan bunyi yang

hilang dalam kesunyian.

 

Bunyi …

mampukah kita mendengar

bukan hanya dengan telinga,

tetapi dengan hati?

 

* * * * *

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor dan merupakan jurulatih yoga terlatih dan mendapat pengiktirafan daripada Sakthi School of Yoga, Malaysia. Karya beliau termuat dalam Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022) dan Seruling Malam (2024). Puisi bahasa Inggeris terbaharu beliau termuat dalam ALS NaPoWriMo (2025). Karya-karya Anuradha juga boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Baca: Biodata penuh]

Ulasan