Asha Laveena dan Pertandingan Dalam Talian


Adik Asha Laveena A. Prakash berumur 11 tahun dan bersekolah di SK Methodist, Telok Datok, Banting, Selangor. Beliau menyertai pelbagai pertandingan dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Asha suka membaca buku cerita, bersukan, menonton televisyen, dan melayari Internet pada waktu lapang. Beliau mendapat anugerah sijil kehadiran penuh dari Tahun 1 sehingga kini. Ayahnya seorang pengurus ladang manakala ibunya seorang guru. Asha ada seorang adik lelaki berumur 9 tahun. Anuradha Chelliah sempat mewawancara Asha, baru-baru ini.

Apakah yang adik lakukan sepanjang tempoh PKP?

Saya mengulang kaji pelajaran dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari bersama adik saya. Saya juga membuat tugasan yang diberikan oleh guru-guru. Saya turut membaca buku cerita, membantu ibu membuat kerja-kerja rumah dan melayari Internet. Kadangkala, saya bermain board games bersama ahli kelurga.

Adakah adik berasa bosan di rumah?

Oh, tidak. Saya tidak langsung berasa bosan kerana saya mengisi masa dengan pelbagai aktiviti.

Adik juga rajin menyertai pelbagai pertandingan. Berapakah pertandingan dalam talian yang adik sertai sepanjang tempoh PKP ini?

Saya menyertai 14 pertandingan secara dalam talian.

Apakah antara pencapaian tertinggi adik?

Dalam pertandingan “Poetry Recitation” sempena Karnival Bahasa Inggeris peringkat Daerah Banting, saya muncul naib johan dan melayakkan diri ke peringkat negeri Selangor. Seterusnya, dalam Pertandingan Video Resensi 2020 Kategori Kanak-Kanak 10-12 tahun (Bahasa Inggeris) anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), saya memperoleh hadiah saguhati. Manakala, dalam Pertandingan Video Pendek Harimau anjuran Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia peringkat kebangsaan, saya turut mendapat hadiah saguhati. Saya juga memperoleh hadiah saguhati dalam Pertandingan Video Kreatif (Sekolah Rendah) Doktor Muda Selangor Tahun 2020 anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Selangor. Dalam National Essay Writing Competition – 1st World Tree Caring Day peringkat antarabangsa, saya mendapat sijil penyertaan.

Sangat mengagumkan. Apakah jenis pertandingan yang adik sertai?

Saya menyertai lapan pertandingan yang berunsurkan bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Saya juga menyertai dua pertandingan berkaitan dengan Sains dan dua lagi berunsur seni kreatif. Saya turut menyertai pertandingan catur dan kuiz pertolongan cemas.

Apakah perbezaan antara menyertai pertandingan secara dalam talian dan secara bersemuka?

Saya tidak berpeluang untuk mendapatkan idea dan menuntut ilmu daripada guru-guru dan rakan-rakan di sekolah sebagai persediaan menyertai pertandingan. Saya terpaksa berusaha sendiri degan melayari Internet untuk mendapatkan idea dan maklumat bagi menyertai pertandingan yang disertai. Saya juga tidak berpeluang untuk berjumpa dengan rakan-rakan lain yang menyertai pertandingan tersebut, apalagi melihat aksi mereka. Kalau pertandingan secara bersemuka, saya berpeluang berjumpa dengan ramai kawan dan saya dapat mempelajari pelbagai teknik baharu daripada persembahan peserta-peserta lain. Memang agak membosankan untuk bertanding di rumah tanpa ke sekolah atau lokasi lain. Biasanya sebelum ini, saya berpeluang untuk ke tempat lain jika mengambil bahagian dalam sesuatu pertandingan. Pertandingan dalam talian hanya tertumpu kepada rakaman video atau kuiz dalam talian. Saya juga tidak dapat menunjukkan bakat saya sebagai seorang atlet balapan dan pemain kriket. Situasi ini sangat menyedihkan kerana saya sangat berminat dalam aktiviti sukan.

Siapakah yang menjadi pendorong anda?

Ibu dan bapa saya. Ibu sentiasa melayari Internet untuk mendapatkan maklumat tentang pertandingan yang dianjurkan pelbagai pihak. Selain itu, ibu juga membantu saya semasa membuat rakaman video, selain memberi tunjuk ajar dan nasihat. Bapa pula sentiasa memberi semangat dan dorongan dalam semua pertandingan yang saya sertai.

Adakah penyertaan dalam pertandingan ini membantu adik sebagai seorang murid?

Ya. Penyertaan dalam pertandingan ini mendisiplinkan saya di samping meningkatkan pengetahuan am tentang bidang yang saya sertai.

Mengapa anda rasa penyertaan dalam pertandingan sebegini adalah penting?

Pertandingan seperti ini memberi peluang untuk mencungkil bakat yang terpendam dalam diri. Saya juga dapat menjadi contoh kepada murid-murid sekolah rendah supaya menceburkan diri dalam pertandingan dalam talian. Dengan cara ini, kita tidak bazirkan masa dengan perkara yang tidak berfaedah sepanjang tempoh PKP.

Terima kasih, Adik Asha. Semoga adik lebih cemerlang dan berjaya pada masa depan.

Sama-sama. Terima kasih juga kerana sudi mewawancara saya.

____________________

Anuradha Chelliah
berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini, beliau berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting. Puisi, esei, dan cerpen beliau termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karya beliau turut tersiar di Eksentrika dan Dewan Budaya.