Dulu Guru, Kini Pemilik Butik


Sari tradisional yang diminati sejak kecil telah membuka peluang untuk beliau menjadi seorang pereka fesyen dan pemilik butik di akhir usia 30-an. Sri Shangari Subramaniam atau lebih dikenali dengan gelaran Shang, merupakan bekas guru yang berasal dari Klang, Selangor, dan kini menetap di Kuantan, Pahang.

Pada tahun 2016, beliau memulakan perniagaan dalam talian (online) dengan menjual sari dan kain tenunan tangan. Beliau sangat gemar memakai sari kerana ia merupakan pakaian yang bersesuaian untuk semua majlis, tidak kira majlis rasmi atau tidak rasmi.

Sejak mula berkhidmat sebagai seorang guru, beliau sentiasa memakai sari ke tempat kerja dan banyak mendapat penghargaan daripada rakan sekerja. Hal ini menggalakkan beliau menceburi perniagaan jualan sari secara dalam talian.

Pelanggan Sri Shangari pada mulanya adalah rakan-rakan sekerja yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Apabila menjual sari, beliau akan memberi cadangan kepada mereka jenis pakaian yang boleh dijahit mengikut corak sari tersebut.

Begitulah bermulanya minat beliau terhadap jualan sari dalam talian dan seterusnya memberangsangkan beliau menceburi dunia fesyen. Anuradha Chelliah mewawancara Sri Shangari untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Mengapa saudari memilih bidang fesyen yang bertumpu kepada pakaian tradisional kaum India?

Kain sari yang saya jual adalah sari tenunan tangan yang merupakan hasil daripada kemahiran yang tinggi. Corak serta teknik tenunan tangan untuk setiap sari adalah berbeza dan memerlukan kemahiran serta pengalaman untuk menghasilkan sari yang berkualiti. Saya sebenarnya memilih untuk memperkenalkan sari yang merupakan pakaian tradisional kaum India kepada semua kaum di Malaysia. Saya ingin memperkenalkan keunikan sari tersebut kepada semua orang supaya mereka boleh menghayati keunikan tradisi kaum India. Walau bagaimanapun, sari adalah sejenis kain yang ‘serba bolah’ sehingga kita boleh juga mengubahsuainya untuk dijadikan baju tradisi kaum lain di Malaysia.

Siapakah yang menjadi tunjang kepada kejayaan saudari?

Keluarga saya amat menggalakkan saya dalam bidang yang dipilih. Suami saya menyokong keputusan saya untuk berhenti bekerja sebagai seorang guru dan menumpukan perhatian terhadap perniagaan ini. Ibu, bapa dan adik-beradik saya sentiasa menolong dan menggalakkan saya dalam bidang perniagaan. Mereka juga memberi saya inspirasi untuk terus cemerlang dalam bidang yang dipilih. Tidak dilupakan juga rakan-rakan yang banyak menyokong dan menggalakkan saya untuk terus cemerlang. Pendek kata, saya dikelilingi oleh insan yang sangat positif dan sentiasa menyokong saya. Ini adalah amat penting terutamanya apabila saya terpaksa membuat keputusan dalam keadaan yang terdesak.

Bagaimana saudari boleh sampai ke tahap ini dalam masa yang singkat?

Saya sentiasa percaya bahawa sebagai seorang wanita, kita mempunyai kemahiran untuk melakukan pelbagai kerja dalam satu masa. Dengan usaha yang gigih serta minat yang mendalam, saya rasa saya mampu melakukan apa yang saya sedang buat sekarang. Kejayaan ini juga mengambil masa emapt tahun. Walaupun pada awalnya saya terpaksa mengendalikan kerja saya sebagai seorang guru, master trainer, ibu dan isteri, saya terus meluangkan masa untuk perniagaan dalam talian kerana ia adalah me-time untuk saya. Saya selalu percaya bahawa sekiranya anda minat sesuatu, anda akan berikan tumpuan dan masa yang sepenuhnya untuk berjaya.

Apakah langkah-langkah yang diambil oleh saudari untuk mengharungi segala rintangan dan cabaran?

Saya tidak berputus asa dan akan cuba dan terus mencuba. Jangan sesekali putus asa, lebih-lebih lagi apabila anda mempunyai minat yang mendalam dalam bidang tersebut. Saya masih ingat, transaksi pertama saya dalam talian dan bagaimana terujanya perasaan saya. Setiap jualan yang saya buat adalah jualan pertama bagi saya. Saya akan memberikan yang terbaik kepada setiap pelanggan kerana setiap pesanan yang saya terima sangat penting bagi saya dan juga pelanggan saya. Saya perlukan sokongan mereka.


Adakah situasi sekarang memberikan kesan kepada perniagaan saudari?

Ya. Perniagaan saya sangat perlahan pada tahun ini disebabkan Covid-19. Satu perkara baik adalah saya mempuyai platform perniagaan dalam talian, jadi perniagaan saya masih diteruskan berbanding peniaga lain yang hanya menjalankan perniagaan secara fizikal. Lagipun, kebanyakan pelanggan saya adalah mereka yang pernah berurusan dengan saya. Saya masih boleh teruskan perniagaan walaupun tidak mendapat keuntungan yang besar. Saya rasa bernasib baik kerana saya selalu dengar bahawa banyak perniagaan yang terpaksa ditutup disebabkan Covid-19.

Bagaimana penerimaan para pelanggan terhadap jualan pakaian beraneka fesyen ini secara dalam talian?

Saya mendapat sokongan yang baik sejak awal perniagaan. Orang ramai suka membuat tempahan dalam talian kerana ia mudah. Kebanyakan pelanggan saya adalah mereka yang pernah membuat pembelian dengan saya dan mereka kembali untuk berurus niaga dengan saya. Saya juga menyediakan khidmat kepada para pelanggan untuk memilih sari yang sesuai dengan diri mereka. Sari juga boleh digunakan untuk menjahit pakaian lain. Saya turut menawarkan perkhidmatan jahitan pakaian secara dalam talian. Saya rasa perniagaan dalam talian adalah norma baharu dan penerimaan masyarakat juga amat mengalakkan.

Bagaimana saudari melihat pencapaian saudari dalam masa 10 tahun dari sekarang?

Saya berharap untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggan saya dengan membekalkan produk yang berkualiti. Saya ingin mempunyai pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat supaya mereka dapat mengenali sari tenunan tangan (handloom). Ini akan memastikan tradisi sari tradisional terus berkekalan. Saya juga ingin menggalakkan lebih ramai wanita untuk menceburi bidang perniagaan.

Apakah nasihat saudari kepada mereka yang sudah mendirikan rumah tangga tetapi masih teragak-agak untuk memulakan perniagaan sendiri?

Kalau anda percaya anda mempunyai kemahiran untuk berjaya, teruskan perjuangan anda. Mulakan secara kecil-kecilan dan teruskan usaha. Jangan sesekali putus asa tetapi gunakan ia sebagai satu titik permulaan.

____________________

Anuradha Chelliah
berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini, beliau berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting. Puisi, esei, dan cerpen beliau termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karya beliau turut tersiar di Eksentrika dan Dewan Budaya.