Ibu, Saya, dan Bahasa Tamil


Sejak dalam kandungan ibu, mungkin janin yang sedang membesar sudah mendengar bahasa yang dituturkan oleh ibunya.  Mungkin tanggapan ini benar dan sudah dibuktikan secara saintifik. Bahasa yang dituturkan oleh ibu biasanya menjadi bahasa ibunda kepada bayi itu setelah dilahirkan.

Kasihan para bapa.

Saya dilahirkan dalam keluarga yang menuturkan bahasa Tamil dan dengan secara automatik bahasa ibunda saya adalah Tamil. Tidak ada siapa pun yang boleh nafikan. Oleh kerana ibu saya seorang guru bahasa Tamil di sekolah kebangsaan, adalah rutin untuk beliau mangajar kami adik-beradik di rumah. Walaupun saya tak suka. Lama-kelamaan ia sudah menjadi biasa pula.

Saya dan abang akan belajar dengan ibu setiap petang atau malam. Seingat saya, saya sudah diajar abjad-abjad Tamil pada umur empat tahun. Ibu mengajar kami seperti mengajar murid-muridnya di sekolah. Andainya kami tidak menulis dengan cantik (tulisan saya masih tidak cantik hingga sekarang), sudah pasti ada hukuman. Ibu akan memukul di tapak tangan dengan rotan atau pembaris. Tulisan abang selalu cantik dan kemas, malah dia sudah pun pandai melukis ketika itu.

Apabila tiba masa untuk bersekolah, tidak timbul masalah. Ibu bapa saya 100% membuat keputusan untuk menghantar saya ke sekolah kebangsaan. Mereka tidak mahu hantar saya ke sekolah Tamil kerana bimbang cara pembelajaran bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia tidak tercapai seperti dikehendaki. Ibu juga boleh mengawas saya dan abang. Abang sudah pun berada di Darjah 3 di Sekolah Rendah Sulaiman, Bentong, Pahang ketika saya berumur enam tahun.

Dahulu, selepas tahun 1970, walaupun sekolah-sekolah Inggeris sudah dijadikan sekolah kebangsaan, kami masih sebut sebagai “sekolah Inggeris”. Jadi, tanpa disedari, ada perasaan bangga pada perkataan “Inggeris” tersebut. Ramai dalam kalangan kaum Cina dan India menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan ketika itu. Cuma pada penghujung 80-an, situasi mula berubah.


Di sekolah kami, murid-murid Cina dan India ramai.  Kelas bahasa ibunda iaitu Pupils Own Language (P.O.L) bermula di Darjah 3. Seminggu ada tiga waktu P.O.L. Semasa murid-murid Cina dan India ke kelas bahasa ibunda, murid-murid Melayu akan ke kelas agama Islam. Jika Darjah 3 ada 4 kelas, kami akan digabungkan pada waktu ini. Inilah masa untuk berkenal-kenalan dengan kawan-kawan dari kelas berlainan.

Cuma yang melecehkan adalah saya perlu bertembung muka dengan ibu sebagai guru di sekolah. Dan ibu pula memanggil saya dengan nama Prabhu, seperti memanggil saya di rumah, sedangkan saya ialah Mahendran di sekolah. Ini membuatkan saya rasa jengkel. Oleh kerana saya sudah kenal semua huruf Tamil sejak kecil dan boleh baca secara lancar setiap ayat, ibu akan memanggil saya tampil ke depan untuk menjadi penolongnya. Ini tidak membanggakan saya, malah merunsingkan lagi.

Saya juga sentiasa mendapat markah penuh dalam bahasa Tamil dari Darjah 3 hingga 6, sebab soalan-soalan yang ibu sediakan secara stensilan sudah pun “bocor”. Namun saya tidak dedahkan kertas soalan kepada rakan-rakan, takut nanti emak marah dan lagi satu bimbang mereka mendapat markah menandingi saya.

Walaupun saya bijak membaca dan menulis dalam bahasa Tamil, ibu tetap menghukum saya dengan merotan pada tapak tangan jika silap ejaan semasa menulis. Saya lega kerana ibu berlaku adil dan saksama di hadapan kawan-kawan sekelas.

Hingga kini saya berasa bangga kerana boleh membaca dan menulis dengan baik dalam bahasa Tamil walaupun tidak pernah ke sekolah Tamil.

Bahasa ibunda akan tetap terpelihara di ceruk mana pun. Semua terletak pada bahu ibu bapa  dan masyarakat sekitar sebagai pembimbing.

____________________

M. Mahendran
mula aktif menulis cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil untuk akhbar dan majalah pada tahun 1987. Karya beliau mendapat pengiktirafan menerusi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1988, 1991) dan Hadiah Cerpen Pelbagai Kaum DBP (2003). Cerpen-cerpen Mahendran turut termuat dalam antologi Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung yang memuatkan karya-karya terpilih Mahendran.