Filem Hollywood pertama yang saya tonton di pawagam adalah The Towering Inferno (1974). Filem tersebut tidak meninggalkan apa-apa kesan pada diri saya ketika itu. The Towering Inferno cuma mengisahkan kebakaran sebuah bangunan pencakar langit dan bagaimana mangsa-mangsa kebakaran menyelamatkan diri. Filem itu ditonton ketika saya berumur enam tahun. Dan saya tidak menontonnya semula selepas itu dalam format lain.
Menonton filem Tamil bersama keluarga adalah
satu kebiasaan tetapi menonton filem Inggeris (Hollywood) adalah sangat jarang.
Filem Hollywood kedua yang ditonton di pawagam adalah Jaws (1975).
Saya dan abang sudah lama menunggu filem ini
untuk ditayangkan di Bentong, Pahang. Poster Jaws terpampang di ruangan
‘Akan Datang’ di tepi pawagam Lido. Sungguh gerun dan mengasyikkan. Setiap kali
ke bandar, pasti saya akan menikmati poster Jaws dengan kagum.
Di sekolah rendah ketika itu pun murid-murid
sudah memperkatakan filem ini. Masing-masing tidak sabar untuk menonton
kehebatan dan kekejaman ikan jerung di pawagam. Saya sendiri tidak pernah lihat
ikan jerung dalam mana-mana filem sebelum itu.
Pada hujung tahun 1975, filem Jaws ditayangkan di pawagam Lido Bentong. Saya dan abang dengan perasaan berkobar-kobar menuju ke pawagam. Tiket berharga 65 sen ketika itu untuk menonton di barisan hadapan.
Kami menikmati poster dan gambar-gambar adegan Jaws
di ruang legar pawagam. Penonton begitu ramai berpusu-pusu. Kami menonton pertunjukan
2.00 petang. Walaupun kerusi kayu yang kami duduki itu tidak selesa, tetapi
keterujaan untuk menonton ikan jerung membuatkan kami tidak pedulikan semua
itu.
Setelah selesai iklan dan gazet, filem utama
pun bermula.
Gelap. Beberapa orang anak muda sedang berkelah
di tepi pantai. Seorang lelaki dan perempuan bercumbuan dan berkejar-kejaran.
Masing-masing menanggalkan pakaian. Si perempuan terjun ke dalam laut dan mula
berenang hingga ke tengah. Dalam beberapa saat sahaja perempuan itu
menjerit-jerit kerana sesuatu menarik kakinya. Jerung tidak ditunjukkan secara
jelas.
Adegan pertama ini sahaja telah membuatkan jantung saya berdegup kencang; bertambah lagi
dengan muzik latar yang sungguh memberangsangkan.
Walaupun banyak adegan berbual daripada aksi
jerung pada awal filem yang saya tidak faham, lama-kelamaan apabila jerung mula
beraksi dengan agresif, filem kembali mendebarkan semula.
Selepas menonton Jaws, boleh dikatakan setiap hari saya teringatkan tentang adegan-adeagannya satu persatu. Saya pun tidak faham kenapa. Adegan Robert Shaw mencakar papan hitam dengan kuku jarinya hingga mengilukan penonton (kemudian saya mencuba ini di dalam kelas), adegan Roy Sheider memberi daging ayam untuk jerung, adegan Robert Shaw dibaham jerung, adegan Richard Dreyfuss mencucuk jerung dengan benda tajam dari dalam sangkar dan adegan terakhir Roy Sheider meletupkan Jaws, masih terpahat dalam jiwa hingga kini.
Pada ketika itu, saya tidak tahu yang saya akan
meminati filem-filem arahan Steven Speilberg pada tahun-tahun mendatang.
Apabila meningkat dewasa, saya dapat tahu filem Jaws diadaptasikan
daripada novel karya Peter Benchley.
Filem Jaws meninggalkan impak yang amat
jelas di hati semua penonton. Bukan pada ketika itu sahaja, malah hingga kini,
nama “jerung” sudah pun menjadi “Jaws”
apabila merujuk kepada ikan itu.
Walaupun sudah banyak filem Jaws dikeluarkan,
cuma Jaws dan Jaws 2 (1978) yang saya minati.
____________________