Dalam
pengalaman saya berkhidmat sebagai seorang guru yang mengajar Bahasa Inggeris
dan Bahasa Malaysia, saya sering berdepan dengan pelajar yang mempunyai ADHD
atau ciri neurodivergen yang berbeza. Mereka datang dengan keunikan yang
tersendiri, namun kerap sungguh mereka terperangkap dalam satu fenomena yang
dikenali sebagai penyisihan diagnosis atau lebih dikenali sebagai diagnostic
overshadowing dalam Bahasa Inggeris. Fenomena ini berlaku apabila kekangan
sebenar mereka ditutup oleh perspektif umum terhadap label yang diberi.
Kekeliruan
yang Berulang
Apabila
seorang pelajar dengan ADHD gagal menyiapkan kerja rumah, tidak mampu ingat
arahan, atau kelihatan tidak fokus, tafsiran yang paling cepat muncul ialah
“malas” atau “tidak bersungguh-sungguh”. Kata-kata itu mungkin sesuatu yang
remeh, tetapi impaknya agak besar. Ia bukan sekadar salah tafsir, malah
menafikan kewujudan tekanan emosi lain seperti kegelisahan, kemurungan, atau tiada
keyakinan diri.
Sebagai
contoh, salah seorang anak murid saya sering digelar malas kerana sering tidak
menyiapkan kerja sekolah yang diberi. Lebih buruk lagi, pelajar itu dipukul
oleh ibunya kerana sering menerima maklum balas negatif daripada guru di
sekolah. Apabila saya meluangkan masa untuk berbual, saya mendapati dia
sebenarnya terperangkap dengan rasa hilang keyakinan diri.
Dia
mula bimbang menjawab soalan kerana jawapan yang diberi pasti salah. Pada
hakikatnya, pelajar itu bukan malas, tetapi dia mengalami kerisauan yang
terpendam.
Impak
Psikologi Terhadap Pelajar
Penyisihan
diagnosis memberi kesan yang sangat mendalam kepada perkembangan
pelajar. Apabila mereka acap kali diberitahu bahawa mereka malas, tidak mahu
berusaha, atau “tak pandai”, label itu akhirnya bermain-main dalam minda.
Mereka mula percaya yang mereka tidak berkebolehan, lalu minat untuk belajar semakin
pudar.
Lebih
mengkhawatirkan, persekitaran yang tidak memahami membuatkan pelajar ini berasa
tertekan dan tidak mendapat sokongan. Selain guru dan ibu bapa, rakan sebaya
juga gagal melihat keperluan sebenar mereka kerana semuanya telah dikaburi oleh
label yang berunsur negatif.
Tanggungjawab
Guru dalam Mengubah Pandangan
Sebagai
seorang guru, saya meneliti keperluan mendesak untuk mengubah pandangan ini. Ramai
yang berpendapat bahawa mengajar bahasa ialah sekadar memindahkan tatabahasa, perbendaharaan
kata, atau teknik menulis karangan semata-mata. Pada hakikatnya, mengajar
bahasa merangkumi keyakinan pelajar, memberi ruang untuk mereka menluahkan
perasaan diri, dan meyakinkan mereka bahawa kelewatan atau kesilapan tidak
bermakna kegagalan selama-lamanya.
Apa
yang patut dititik beratkan ialah empati dan pemerhatian yang lebih mendalam.
Daripada sekadar menghakimi kegagalan menyiapkan tugasan yang diberi sebagai
tanda kemalasan, kita boleh bertanya: Apakah yang menghalang pelajar itu
daripada menyiapkan tugasan yang diberi? Adakah dia faham arahan yang diberi?
Adakah dia risau dengan penilaian? Soalan-soalan ini bukan sahaja membuka ruang
tetapi membuka minda untuk melihat dan memahami pelajar secara lebih
menyeluruh.
Ke
Arah Pendidikan yang Lebih Inklusif
Memahami
dan mengakui kewujudan penyisihan diagnosis ialah langkah pertama. Langkah
seterusnya ialah mewujudkan budaya kelas yang inklusif:
·
Mendorong
rakan sekelas untuk memberikan sokongan padu dan bukan sekadar menghakimi.
·
Memberi
masa yang lebih panjang dan fleksibiliti dalam tugasan dan cara pelajar menyampaikan
idea.
·
Memberikan
komen dan maklum balas yang membina dan bukan hukuman semata-mata.
Apabila
kita mengubah pendekatan, kita bukan sahaja mengorak langkah membantu pelajar
neurodivergen untuk berkembang, tetapi juga mendidik generasi yang lebih
memahami dan bersifat terbuka terhadap perbezaan sesama manusia.
Kesimpulan
Penyisihan diagnosis dalam kalangan pelajar neurodivergen bukan isu remeh.
Ia menjejaskan emosi, keyakinan diri, dan juga masa hadapan mereka. Sebagai
guru, kita memikul tanggungjawab untuk melihat lebih jauh daripada label yang
diberi. Kita perlu mendengar, memahami, dan membimbing dengan kesabaran. Hanya melalui
kaedah ini, potensi sebenar pelajar mampu menyerlah kerana setiap pelajar
berhak untuk dilihat lebih daripada sekadar “malas”.
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Malini Lakshmi
Bai lahir di Kuala Lumpur pada 31 Julai 1992. Beliau mendapat
pendidikan rendah di SK Taman Segar, Cheras, pendidikan menengah di SMK (P)
Perempuan Pudu, Pudu dan pendidikan tingkatan enam di SMK Cochrane, Cheras
sebelum mengikuti pengajian sarjana muda bahasa dan linguistik Inggeris di
Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Perak. Malini juga berkelulusan dalam
Program Latihan Perguruan Buddha-Dhamma yang dikendalikan oleh Sekolah
Ti-Ratana Sukha Dhamma. Beliau meminati bidang kesusasteraan sejak di bangku sekolah. Pada tahun
2009, Malini mewakili sekolah dan daerah dalam beberapa forum pelajar, pertandingan
debat, dan syarahan. Beliau kini tinggal di Cheras, Kuala Lumpur dan
bekerja sebagai guru Bahasa Malaysia dan Inggeris di sebuah sekolah swasta.
Malini juga menggalas jawatan bendahari dalam Pertubuhan Sasterawan Kaum India
(Kavyan). Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia dan
Inggeris sejak tahun 2021. Hasil karya Bahasa Malaysia tersiar di portal Sastera Kavyan selain termuat dalam antologi Lakaran Diri
(2022), manakala karya bahasa Inggeris disiarkan di laman Eksentrika.]


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.