Dalam Lilitan Gulungan Seluloid (Bahagian 1)

Hamid berasa sungguh gelisah. Dia tidak suka menghadapi keadaan sebegini. Keadaan genting seperti ini mencemaskan. Walaupun ini bukan kali pertama, ketegangan yang dihadapi sungguh memberangkan dan meletihkannya. Hamid benci. Walaupun benci, dia terpaksa juga melakukan untuk sesuap nasi.

Dia harus ke stesen keretapi Mentakab nanti, membawa peti itu menaiki teksi dan pulang semula ke Bentong. Mr. Ng, memang menyusahkannya. Sudah tahu wayang itu perlu ditayangkan pada hari ini, mengapa tidak dipesan terlebih dahulu ataupun ditayangkan lambat sedikit. Bukan penonton akan lari ke mana pun. Lagipun, ia bukan wayang baharu.

Baru Hamid faham mengapa operator-operator filem sebelum ini bekerja tidak lama.

Sambil membebel Hamid berjalan ke stesen bas Bentong yang terletak tidak jauh dari pawagam Cathay dan menaiki bas 9 pagi ke Temerloh. Dia akan turun di Mentakab dan ke stesen keretapi. Dia perlu menunggu keretapi dari Kuala Lipis untuk mendapatkan peti gulungan filem ‘First Blood’ yang akan dihantar dari pawagam  Paradise untuk ditayangkan pada jam 2 petang nanti. Kerja gila, fikirnya.

Hamid yang berusia 33 tahun telah melakukan bermacam-macam kerja sejak berumur sepuluh tahun di Kampung Tersang, Raub. Bapanya telah meninggal dunia ketika Hamid berusia lapan tahun dan dia terpaksa berhenti sekolah seperti adik-beradiknya yang lain.

Ibunya telah membesarkan mereka dengan jerih-payah. Nasib baik di kawasan kampung terdapat tempat luas untuk bercucuk tanam dan boleh menternak ayam. Kehidupan mereka dapat juga diteruskan seperti biasa. Hamid menolong ibunya membuat kerja-kerja kampung.

Selepas dua tahun, Hamid mendapat bapa tiri. Bapa tirinya sungguh baik. Kemudian setelah dewasa, Hamid bekerja di kedai kopi dan di kilang papan tempat bapa tirinya bekerja.

Setelah itu, seorang kenalannya mendapatkan  kerja mengoyak tiket di pawagam Cathay di pekan Raub. Hamid sungguh gembira. Bolehlah dia menonton wayang gambar percuma setiap hari  sambil mengoyak tiket.

Di Cathay Raub, Hamid bukan sahaja menjaga pintu masuk, mengoyak tiket dan menunjukkan tempat duduk penonton dengan menggunakan lampu suluh. Dia juga perlu menyapu sampah, mencuci lantai, membetulkan kerusi-kerusi papan rosak yang  dijahanamkan oleh penonton.

Yang paling tidak disukainya adalah menyapu gumpalan kulit-kulit kuaci yang melekat pada celah-celah kaki kerusi. Begitu juga dengan puntung-puntung rokok serta botol-botol kaca yang pecah. Beginilah nasib orang yang tidak ke sekolah.

Kegembiraannya untuk menonton wayang gambar setiap hari hanya bertahan  beberapa bulan sahaja. Mana tidaknya. Satu hari tiga pertunjukan. Jika wayang itu ditayangkan seminggu; bayangkanlah hingga Hamid dapat menghafal segala babak dan dialog sesebuah filem. Ini membosankannya.

Hamid sering juga ke bilik projeksyen yang terletak di tingkat atas, atas daripada kelas khas (reserve) yang dikendalikan oleh Sinnayah. Sinnayah tidak suka diganggu oleh sesiapa ketika dia sedang bertugas. Hamid sering dimaki hamun.

Hamid sangat teruja melihat cara Sinnayah memasang gelendong filem pada projektor dan menayangkannya ke layar perak. Bunyi projektor dan putaran spul filem merangsangnya.

Dia sangat teringin untuk menyentuh gelendong serta gulungan filem dan menyambungkannya pada projektor, menyalakan lampu karbon dan memancarkannya ke layar perak. Hasil kerja itu akan menggembirakan ratusan penonton setiap hari sehingga tamat tayangan. Itu yang Hamid mahu. Tetapi Sinnayah langsung tidak mahu mengajarnya.

Hamid dengan berani menyatakan hasratnya kepada pengurus pawagam, Mr. Nathan. Sinnayah pula tidak puas hati dengan cara Mr. Nathan melayan Hamid. Walau apa pun dia terpaksa juga menerima Hamid sebagai pembantunya. Mana mungkin dia boleh melawan kata pengurus.

Sinnayah sendiri sungguh hairan dan kagum melihat Hamid  dengan mudah mempelajari kerja-kerja memasang gelendong filem ke projektor, menggulung semula filem ke spul serta menunjukkan slide dalam masa dua hari sahaja.

Selepas itu Hamid dan Sinnayah sudah menjadi kawan baik. Sinnayah banyak mengajarnya. Hamid juga mempelajari cara-cara melekat dan menyambung filem untuk menjimatkan ruangan di spul. Dia juga mempelajari cara untuk memotong dan menyambung/melekat semula, jika filem terbakar semasa tayangan.

Hamid menekan loceng, turun dari bas dan berjalan menuju ke stesen keretapi Mentakab. Sudah pukul 10.30 pagi. Panas sungguh pagi itu. Sudahlah bersesak-sesak dalam bas tadi dengan penumpang yang sering turun dan naik dari Bentong ke Mentakab. Baju T leher bulat  dan seluar jeansnya sudah melekat pada badan dek peluh.

Hamid ingatkan keretapi dari Kuala Lipis akan sampai dalam pukul 11 pagi. Tunggu punya tunggu, selepas 12 tengah hari baru sampai. Kata ketua stesen, ada masalah di landasan membuatkan keretapi lambat tiba. Perutnya sudah mula berkeroncong. Pagi tadi dia cuma makan dua keping biskut tawar dengan kopi O sahaja. (Bersambung pada 5 Disember 2025)

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan,  Eksentrika, mahendran28.blogspot, Cukaria serta di majalah Thendral dan Vanampadi.]

Ulasan