Aduh! Masih tiada
perubahan. Kenapa? Apa semua orang buat? Tengok dan lihat sahaja? Apa salahnya
tekan butang “Like” dan sekali sekala “Share” paparanku?
Aku mula risau. Orang
sudah tidak sukakan aku. Rakan sekelas. Rakan sekolah. Semua sudah tidak
pedulikan aku. Kepalaku
sakit. Pening. Stres.
Apa-apapun,
aku terpaksa ke sekolah sekarang. Balik dari sekolah, aku akan tengok semula. Itu
kerja pertamaku.
Di
sekolah, aku tidak dapat tumpukan perhatian terhadap pengajaran guru. Asyik
terfikir tentang statusku. Sebelum ini, aku tidaklah seperti ini. Aku belajar
seperti budak-budak lain. Aku juga main dan turut serta dalam pelbagai aktiviti
sekolah. Tapi, sejak aku dicabar, semuanya berubah.
Asyik
dia sahaja yang menang. Ini tak boleh jadi. Aku juga boleh menang dan aku pasti
menang. Sudah dua minggu berturut-turut, aku berjaya mendahului si dia. Tapi sejak
beberapa hari lalu, aku asyik tewas. Aku tidak dapat menandinginya.
“Apa
pasal kau ni? Asyik termenung sahaja? Masa Cikgu Karim menyebut nama kau pun,
kau tak respon!” Rahim menegurku pada waktu rehat.
“Tak
ada apa, Rahim. Aku tak cukup tidur. Badanku rasa letih. Lepas sekolah ni, aku
nak berehat.”
“Baiklah.
Tapi aku rasa kau cuba sembunyikan sesuatu daripada aku,” sambung Rahim.
“Eh,
tidaklah!”
“Irfan,
kau kawan aku sejak kecil. Aku tahu perangai kau. Aku rasa kau fikir
betul-betul apa yang kau sedang buat,” Rahim cuba menyedarkan aku.
Waktu
itu, aku nampak muka si dia. Senyumannya semakin menyusahkan aku. Aku makin
risau. Sekiranya aku tewas hari ini, aku kena bayar dia RM200. Mana aku nak
cari duit? Ayah hanya memberi duit untuk bayar yuran kelas tambahan dan belanja
sekolah. Mengapalah aku terima cabaran si dia?
Selama
ini, aku tidak hirau pun tentang apa yang aku paparkan pada laman sosial Facebook. Aku masukkan gambar-gambar
pemandangan dan bahan bacaan yang aku suka baca. Aku tidak hiraukan siapa yang
“like” dan “share” paparan aku. Memang tidak ramai pun yang “like” dan “share”,
tapi sejak aku diganggu oleh cabaran itu, aku jadi gila. Aku hilang tumpuan.
Asyik terfikir tentang paparan dan bilangan “like” yang aku dapat.
Kenapa
aku jadi seperti ini? Aku sudah mula membuang masa. Aku sudah tidak dapat fokus
pada pelajaran. Makin lama, makin parah jadinya. Aku akan berjumpa dengan si dia
dan menyerah kalah. Lebih baik menyerah kalah daripada aku asyik risau tentang
alam maya.
Malam
ini, aku akan beritahu dia. Lebih baik aku menyerah kalah daripada
merungsingkan fikiran. Aku sedar akan keburukan asyik memikirkan tentang segala
aplikasi dalam talian yang mampu merosakkan kesihatan. Bukan sahaja kesihatan
badan, malah tugasan harian aku juga terjejas. Kerja-kerja sekolah banyak
tertangguh.
Entah
berapa ramai lagi yang masih belum keluar daripada belenggu aplikasi media
sosial yang mencengkam nyawa. Ada yang hilang nyawa. Ada yang lupa ingatan. Aku
bernasib baik kerana Rahim berjaya menyedarkan aku.
____________________