Saya sempat membaca cerpen “Lintah” karya M. Mahendran dalam antologi Busana Bahasa (2019). Cerpen ini mengisahkan seorang pemuda kaum India bernama Kumaresan. Karya ini sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Cerpen “Lintah” merangkumi beberapa keistimewaan. Tema, persoalan, plot, nilai dan pengajaran yang ditengahkan dalam cerpen ini berjaya memikat hati saya.
Cerpen ini bertemakan hidup
secara bahagia dengan apa yang dimiliki. Watak Malar tidak berpuas hati dengan
kehidupan yang sedia ada. Kumaresan yang tidak memiliki pengetahuan asas
berkaitan bidang perniagaan terpaksa memulakan perniagaan demi isterinya, Malar,
yang hendak memajukan kehidupannya. Persoalan yang timbul selepas membaca
cerpen ini ialah setiap individu harus memiliki pengetahuan asas dalam sesuatu
bidang yang diceburi. Perniagaan yang dijalankan oleh Kumaresan semakin hari
semakin merosot. Akibatnya, Kumaresan menjadi penghutang lalu menghadapi
pelbagai masalah.
Penulis mengetengahkan
tiga watak dalam cerpen ini bagi menggambarkan isu-isu sosial yang melanda masyarakat
India di Malaysia. Kumaresan selaku watak utama berasa amat senang sewaktu bertugas
sebagai juruteknik di sebuah kilang. Segala masalah yang dihadapi oleh Kumaresan
berpunca daripada isterinya, Malar. Malar tidak berpuas hati dengan kehidupan
yang sedia ada. Dia memaksa Kumaresan berniaga. Kumaresan terpaksa menggunakan
wang simpanan mereka berdua. Ah Seng juga watak penting dalam cerpen ini
walaupun hanya muncul pada klimaks. Dia memiliki wajah yang bengis. Ah Seng meminjam
lima belas ribu ringgit kepada Kumaresan bagi menjalankan perniagaan.
Seterusnya, cerpen ini memaparkan latar tempat di rumah Kumaresan iaitu bilik tidur, ruang tamu serta kebun di belakang rumah. Masyarakat India yang menginginkan kehidupan yang maju menjadi watak penting dalam cerpen ini. Malar sering menginginkan rumah dan kenderaan sendiri; mengakibatkan Kumaresan terpaksa berniaga walaupun dia tidak mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut. Akhirnya, perniagaannya merosot. Latar masa cerpen ini adalah pada waktu malam.
Setelah membaca cerpen
ini, saya memahami bahawa penulis cuba mendidik masyarakat India untuk mempraktikkan
peribahasa Tamil iaitu “jangan memasukkan kaki tanpa mengetahui sedalam mana
air”. Terdapat beberapa nilai dan pengajaran yang boleh dijadikan teladan.
Antara nilai yang saya kenal pasti dalam cerpen “Lintah” ialah nilai kasih sayang.
Nilai ini digambarkan melalui watak Kumaresan. Dia terpaksa berniaga untuk
menggembirakan isterinya.
Selain itu, nilai
keberanian. Sebagai contoh, Kumaresan bergaduh dengan Ah Seng dengan menggunakan
kekuatan dirinya demi menyelamatkan Malar dan dirinya sendiri. Seterusnya,
nilai bersikap sederhana. Cerpen ini menggambarkan bahawa Malar yang ingin maju
dalam kehidupan akhirnya mengakibatkan suaminya, Kumaresan, menghadapi pelbagai
masalah.
Kesimpulannya, cerpen
ini sangat sesuai dibaca oleh remaja masa kini, khususnya mereka baru berumah
tangga. Nilai rendah diri hendaklah
penting dan dimiliki oleh setiap individu. Setiap isteri harus memahami kemampuan
suami lalu hidup bahagia dengan apa yang dimiliki. Cerpen ini memiliki jalan
cerita yang mudah difahami dan ditunjangi penguasaan bahasa yang indah dan
berkesan. Oleh itu, cerpen “Lintah” karya Mahendran wajar dibaca oleh semua
lapisan masyarakat.
____________________