Maartandan: Pensyarah dan Penulis


Dr. S. Maartandan Suppiah memulakan kerjaya sebagai pensyarah di sebuah institusi pendidikan swasta di Pulau Pinang. Selepas itu, mulai tahun 2016, beliau meneruskan kerjaya di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampus Kampar, Perak. Pada November 2019, beliau menamatkan ijazah kedoktoran dalam bidang komunikasi dan kini berkhidmat sebagai penolong profesor serta menyandang jawatan ketua Jabatan Perhubungan Awan di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UTAR Kampus Kampar. Uthaya Sankar SB mewawancara Maartandan untuk mengetahui kisah penglibatan beliau dalam bidang penulisan.

Kajian akademik anda sebelum ini rata-rata dalam bahasa Inggeris. Bagaimana timbul minat untuk menulis dalam Bahasa Malaysia?

Dalam proses menyiapkan tesis kedoktoran, saya telah berjumpa dengan Uthaya Sankar SB. Beliau memberi galakan kepada saya supaya turut menulis dalam Bahasa Malaysia. Sejak itu, saya menulis esei ilmiah dan juga cerpen. Esei saya tersiar di majalah Dewan Budaya dan Dewan Masyarakat serta antologi Busana Bahasa dan Landasan Hidup.


Apakah perbezaan ketara dan masalah utama yang anda sendiri alami apabila menulis esei ilmiah (untuk jurnal) dan separa akademik (untuk majalah)?

Esei ilmiah yang ditulis untuk jurnal akademik memberi ruang yang lebih kepada saya untuk mengutarakan pendapat secara lebih kritikal selagi saya berupaya memberi justifikasi dan bukti berdasarkan kajian. Apabila saya menulis esei untuk majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), saya perlu memastikan saya tidak terlalu kritikal terhadap isu-isu yang disentuh. Sebagai contoh, isu-isu yang menyentuh sensitivi kaum perlu dielakkan. Walau bagaimanapun, saya suka menulis esei separa akademik supaya orang ramai mudah faham topik yang diketengahkan.

Wawancara penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

____________________

Uthaya Sankar SB
lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak, serta kini tinggal di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Beliau terlibat secara aktif dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Uthaya mengasaskan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mengendalikan program bahasa, sastera, kebajikan, seni, dan budaya di seluruh negara sejak tahun 1999.