M. Mahendran merupakan penulis veteran dalam Sastera Kebangsaan. Walaupun terdapat lebih daripada seribu penulis Tamil sepenuh masa di Malaysia, hanya dua atau tiga orang yang turut mampu menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Uthaya Sankar SB mewawancara Mahendran untuk cuba menyelamai pengalaman dan pandangan Mahendran berhubung pelbagai hal, khususnya dunia penulisan.
Ceritakan serba sedikit mengenai diri anda.
Sebelum menjadi penulis, saya banyak menulis ke
bahagian Surat Daripada Pembaca dan Ruangan Soal Jawab di akhbar-akhbar
Tamil sejak 1983. Gembira setiap minggu atau
dua minggu sekali nama saya ada di akhbar Tamil
Nesan, Tamil Osai dan Thina Mani. Ketika itu umur saya baru 15
tahun.
Anda bermula dengan menulis karya bahasa Tamil.
Ceritakan bagaimana anda mula tertarik untuk menulis karya Bahasa Malaysia.
Walaupun cerpen pertama yang saya hasilkan adalah
dalam bahasa Tamil, saya sentiasa membaca majalah-majalah keluaran Dewan Bahasa
dan Pustaka (DBP) di perpustakaan daerah dan kadang-kadang ada membeli. Dari
situlah berputik keingianan untuk menulis cerpen. Kebetulan pada penghujung
tahun 1987, ada iklan di majalah-majalah DBP berkenaan peraduan menulis cerpen khas
untuk Bukan Melayu [Hadiah Cerpen Malayan
Banking-DBP]. Jadi, saya pun ambil bahagian dan terus menulis
hingga sekarang. Mungkin saya tidak menulis secara prolifik tetapi masih
menulis.
Semasa anda mula berkarya (tahun 1980-an), hampir tidak ada penulis kaum India dalam Sastera Kebangsaan yang boleh dijadikan contoh, ikutan, atau panduan. Bagaimana anda mengatasi cabaran itu?
Saya tidak berpandukan
sesiapa pun, cuma karya-karya Sasterawan Negara dan penulis-penulis lain
menarik minat untuk saya menulis. Mendiang emak saudara saya, Puan Saradha
Kannan, seorang penulis karya bahasa Tamil. Beliau ada memberi galakan dan saya
pernah tanya cara-cara menulis dan bagaimana menghantarnya ke media daripada
beliau. Saya juga tidak meniru gaya penulisan mana-mana penulis.
Wawancara penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).
____________________