“Vijay
Kumar?” Dia meneliti nama yang tercatat.
“Ya.
Mulai sekarang, itulah nama kamu. Perkenalkan diri sebagai wartawan akhbar The Straits Times.”
Dia
akur tanpa banyak soal. Apa yang penting adalah pengalaman berkunjung ke masa
silam untuk menyaksikan dan mengumpul kisah mengenai pekerja ladang keturunan
Malayali yang tidak diketahui umum dan tidak tercatat dalam lipatan sejarah.
Misalnya,
kisah mengenai pergaduhan antara pekerja Malayali dan Tamil di Ladang Jelebu,
Negeri Sembilan pada November 1931. Kes dibicarakan di Mahkamah Seremban dan
keputusan diumumkan pada April 1932.
“Suami
saya tidak bersalah,” isteri Kannan Nair mengulangi pendiriannya sewaktu
dikunjungi. “Sepertimana saya beritahu mahkamah, suami saya berada di rumah
pada malam kejadian.”
Maklumat hampir sama diberi oleh beberapa lagi individu yang ditemui. Maka, tidak hairanlah Kannan Nair dibebaskan daripada tuduhan membunuh Nadason. Walau bagaimanapun, dia dijatuhi hukuman penjara setahun atas kesalahan menyertai perhimpunan haram dan merusuh.
“Di
ladang ini memang ada kumpulan pekerja Tamil dan Malayali. Jadi, sempena
sambutan Deepavali, saya mengarahkan dua pertunjukan diatur. Apa yang saya
tahu, berlaku rusuhan semasa pertunjukan itu dan seorang pekerja Tamil dibunuh,”
pengurus ladang menceritakan hal yang sudah sedia diketahui umum.
____________________