“Saya tidak mengarah filem untuk menyampaikan mesej. Filem adalah mengenai berkongsi pengalaman, kegembiraan atau kebimbangan anda tentang sesuatu dengan kelompok yang lebih luas. Jika sesebuah filem itu memberi anda pengalaman dan meletakkan diri anda di tempat orang lain, dan anda menyedari hal itu, maka saya rasa ia telah menjalankan tanggungjawabnya.” — Mani Ratnam (2013)
Mani Ratnam ialah
sutradara dan penerbit yang bukan sahaja merevolusikan sinema India
kontemporari pada tahun 1990-an, tetapi juga telah memperkenalkan teknik baharu
dalam pembikinan filem dari aspek sinematografi, penyuntingan dan estetika.
Selain daripada Satyajit Ray, Ratnam boleh dikatakan antara sutradara yang
layak untuk dianalisis pembawaan sinema India. Dalam sinema Tamil atau
Kollywood, sekiranya kita cuba membandingkan Ratnam dengan sutradara lain, akan
jelas kelihatan sebuah garisan pemisahan yang meletakkan Ratnam dan filemnya pada
kedudukan yang luar biasa.
Saya mengaguminya.
Boleh dikatakan saya telah menonton kesemua filem arahannya sehingga kini.
Sutradara ini selalu dilihat menitikberatkan keaslian idea dan apabila
merasakan ia dapat berhubung dengan baik dengan penonton, beliau akan berusaha
mengembangkannya. Tambahan pula, beliau terkenal dengan pentafsiran semula
karya epik Hindu-India seperti Mahabharata
dan Ramayana dalam dua filemnya, Thalapathi (1991) dan Raavanan/Raavan (2010). Kini beliau
dalam proses pembikinan filem Ponniyin Selvan
– diadaptasi daripada sebuah novel Kalki Krishamurthy yang berkisarkan Dinasti
Chola.
Dalam buku Conversations with Mani Ratnam (2013), beliau mengaku pernah melihat sinema dari perspektif seorang penonton sahaja. Berkemungkinan besar kerana dipengaruhi oleh latar belakang pendidikannya yang merupakan seorang lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) pada waktu itu. Ketika rakannya, Ravi Shankar mengarah filem dalam bahasa Kannada pada tahun 1979, Ratnam mendapat pengalaman media visual pertamanya ketika beliau membantu Ravi dalam proses penulisan skrip.
“Sehingga saat itu
dalam hidup saya, selain sesekali menulis beberapa surat kepada ayah untuk
meminta wang, saya tidak pernah melakukan apa-apa bentuk penulisan kreatif,”
ujarnya dalam buku tersebut. Peranan dalam penulisan skrip tersebut terbukti
mengubah kerjayanya kerana akhirnya dia memutuskan untuk mengarah filem.
Sehingga 2019, beliau telah mengarah 26 filem dalam tempoh masa hampir 37
tahun.
Pada pendapat dan pemerhatian saya, terdapat beberapa aspek dalam filemnya yang membezakan Ratnam dengan sutradara sezamannya:
1) sinematografi. Beliau suka berkolaborasi dengan
antara sinematografer terbaik dalam sinema India seperti Santosh Sivan, PC Sreeram,
Rajiv Menon, Ravi Verma dan hasil seninya memang memukau;
2) muzik dan lirik lagu. Setiap kali Ratnam berganding
dengan maestro muzik, A.R. Rahman dan penulis lirik, Vairamuthu, terbentuklah
halwa telinga untuk pendengar;
3) emosi. Setiap emosi yang dibawa terasa sangat dekat
dengan realiti kehidupan;
4) dialog. Ringkas, tajam dan bermakna, hampir tiada
dialog yang dirasakan tidak relevan;
5) watak. Setiap perwatakan memiliki identiti dan
keperibadian yang tersendiri, tiada watak yang dilihat sia-sia.
Beberapa minggu yang
lalu, saya bersengkang mata hingga larut malam untuk menonton semula beberapa
filem Mani Ratnam. Saya percaya faktor usia dan pengalaman memainkan peranan yang
signifikan dalam mengubah tanggapan dan pemerhatian kita terhadap sesebuah
filem mahupun buku.
Filem yang ditonton
pertama kali sewaktu berumur 10 tahun tidak akan kelihatan sama selepas anda
menontonnya sepuluh tahun kemudian. Masa mengubah segalanya. Ternyata ia sebuah
proses pembelajaran juga. Saya senaraikan antara filem arahan Ratnam yang
ditonton baru-baru ini walaupun saya tidak berani untuk mengatakan bahawa ia
adalah filem terbaiknya; namun yang pasti, saya mula melihatnya dari persepktif
yang berbeza.
Raavanan (2010)
Filem ini semestinya
mendapat tumpuan kerana plot penceritaan yang dilihat menyimpang dengan karya
epik Ramayana, di mana pembawaan
perwatakan Rama dan Raavana diubah hampir keseluruhannya. Saya percaya setiap
karya epik membawa refleksi diri. Kadang kala, tumpuan penonton adalah pada
watak yang dianggap antagonis. Dalam hal ini, Ratnam membawa sebuah kelainan
menerusi Raavanan.
Ratnam mentafsirkan
semula apa yang telah kita ketahui tentang Ramayana.
Rama yang dianggap wira ditunjukkan sebaliknya manakala Raavana yang sentiasa
dianggap Asura/raksasa, dilimpahi emosi dan sentimen. Ia membuat kita lebih
kerap bertanya kepada diri sendiri, siapa sebenarnya wira dalam epik Ramayana? Cukupkah kita mengadili sisi
perwatakan Rama dan Raavana menerusi penceritaan Valmiki sahaja? Pendirian kita
pasti akan berubah sejurus menonton filem ini.
Chekka Chivantha Vaanam (2018)
Sebuah permainan catur
yang digerakkan oleh Ratnam. Tidak ada sebarang emosi dan belas kasihan ketika
setiap buah catur itu bergerak kerana dikuasai oleh cita-cita untuk merampas
dan menakluki sebuah kedudukan. Masing-masing terperangkap dalam kelobaan dan
tipu muslihat yang akhirnya menyerlahkan sisi gelap mereka. Saya melihat filem
ini sebagai keindahan dalam kejahatan. Dalam dunia perfileman Ratnam, yang baik
tidak selalunya baik dan yang jahat tidak selalunya jahat.
Mouna Raagam (1986)
"Mereka bukan
heroin, mereka watak. Mereka memiliki pemikiran yang tersendiri.”—Mani Ratnam
Benar, Ratnam sering
dilihat “membebaskan” wanita menerusi filemnya. Ia amat berbeza dengan senario
dan realiti yang dilihat berlaku di negara India dahulu. Menerusi Mouna Raagam, Ratnam membawa watak Diviya
yang dilihat berani melawan norma dan tradisi perkahwinan aturan keluarga dalam
masyarakat Hindu-India. Beberapa adegan mengubah gambaran penonton terhadap
Diviya.
Perceraian dianggap
tabu di India dan wujud sebuah pemikiran bahawa seorang wanita harus setia dan
bersama dengan suaminya, walau diseksa sekalipun. Masyarakat parokial selalu
menasihati wanita untuk bertoleransi pasca perkahwinan. Tambahan pula, seorang
lelaki boleh memiliki sebuah kisah percintaan silam manakala bagi seorang gadis
atau wanita, ia dianggap perkara yang memalukan. Ratnam berjaya mematahkan
budaya dan pemikiran kolot itu melalui Diviya yang memohon perceraian kerana
tidak berasa bahagia dengan perkahwinannya. Setiap kali menonton filem ini,
kita pasti melihat sesuatu yang menjadikan watak Diviya sangat relevan dengan
generasi kini.
Bagi saya, Mani Ratnam merupakan sebuah jenama (brand). Kedengaran agak melampau tetapi ia adalah pengakuan jujur saya. Saya tidak pasti sama ada Ratnam mampu membawa lagi filem seperti Nayakan (1987) yang sering disebut sebagai karyatama beliau tetapi yang pasti beliau tidak akan pernah berhenti dalam mencari kelainan dan menemui keseimbangan.
Projek-projek filem
yang bakal muncul adalah sebuah pengembaraan baharu — baik untuk beliau mahupun
kita. Setiap filem Ratnam berusaha untuk mencabar batas arus perdana dan
menguji selera penonton. Ini kebenaran yang tidak dapat disangkal.
____________________