Richard Pentingkan Susunan Kata Yang Indah


Richard Ignacy
lahir di Parit Buntar, Perak. Beliau sudah mendirikan rumah tangga bersama Jessina Sharon pada tahun 2016 dan mempunyai seorang putera bernama Yovhel yang kini berumur dua tahun. Richard merupakan guru sekolah menengah yang mengajar subjek Bahasa Malaysia. Katanya, coretan dan nukilan berbentuk puisi hanya sekadar mengisi masa lapang bermula tahun 2009 melalui Facebook. Galakan dan sokongan daripada rakan-rakan guru memberi semangat untuk beliau terus menulis dalam media sosial. Uthaya Sankar SB mewawancara Richard untuk membantu orang ramai lebih mengenai penulis ini.

Beberapa cubaan awal anda untuk menerbitkan karya kurang berjaya. Tetapi anda terus berusaha gigih sehingga berjaya. Ceritakan sedikit pengalaman itu.

Saya pernah menghantar sebuah manuskrip kumpulan karya kreatif kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), namun ditolak atas faktor kekurangan jumlah karya. Puisi yang dihantar hanyalah sekitar 30 hingga 40 karya sahaja. Saya hanya kemudian mendapat tahu tentang prosedur penghantaran karya untuk kumpulan puisi yang memerlukan sekitar 100 buah puisi untuk sebuah antologi puisi. Saya turut mendapat komen daripada pihak DBP tentang gaya penulisan puisi yang perlu diberi perhatian, terutamanya tentang penggunaan frasa dan kata yang klise. Siaran puisi pertama dalam majalah Tunas Cipta (Mei 2017) membawa pula kepada penghasilan puisi dan cerpen dalam pelbagai antologi.

Karya anda – puisi dan cerpen – ketara menggunakan bahasa bombastik dan istilah yang kurang diketahui orang ramai. Tentu ada tujuan tertentu anda berbuat demikian. Harap sudi jelaskan.

Penggunaan istilah yang kurang diketahui orang ramai dalam karya sastera yang saya hasilkan merupakan usaha dalam proses mengembangkan pelbagai perkataan dan frasa yang wujud dalam Bahasa Malaysia. Bagi saya, kesusasteraan merupakan sesuatu yang indah dan mempunyai nilai-nilai estetik yang tinggi. Justeru, karya-karya saya banyak memberi perhatian terhadap pemilihan kata yang tinggi darjatnya dan mempunyai keunikan dari aspek susunan kata yang indah. Saya percaya, setiap pembaca dan penulis yang mencintai bahasa kebangsaan akan cuba meneroka istilah-istilah indah yang digunakan agar dapat disemarakkan dalam pelbagai bentuk penulisan yang lain. Maka, sastera akan berkembang dan mekar sepanjang masa melalui bahasa yang digunakan bukanlah sewenang-wenang rupanya. 


Wawancara penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

____________________

Uthaya Sankar SB
lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak, serta kini tinggal di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Beliau terlibat secara aktif dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Uthaya mengasaskan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mengendalikan program bahasa, sastera, kebajikan, seni, dan budaya di seluruh negara sejak tahun 1999.