Asap putih dilepaskan dari cerobong Gereja Kecil Sistine sebagai perlambangan bahawa berjayanya pemilihan paus baharu oleh para kardinal Katolik. Ia berlaku sejurus kematian Paus John Paul II. Paus Benedict XVI muncul sebagai dogmatis dan ultra konservatif manakala Bergoglio kekal sebagai ketua biskop yang berpangkalan di Bueno Aires. Beliau seorang reformis, progresif dan ingin mengubah masalah-masalah pokok yang dihadapi gereja.
Filem
The Two Popes (2019) diinspirasikan
daripada sejarah dan peristiwa benar. Timbul babak perdebatan falsafah teologi
yang dipandang dengan kaca mata yang berbeza. Seorang yang menganggap Tuhan
adalah kebenaran abadi manakala seorang lagi melihat Tuhan sebagai suatu
pergerakan, mungkin juga sebuah perkembangan.
Seorang
berbahas bahawa ketidaksamarataan merebak seperti barah; perihal orientasi dan
perlakuan seksual, penceraian, pengawalan kelahiran. Bagi beliau, pengakuan
dosa hanya menyucikan jiwa pesalah tetapi tidak membantu mangsa keadaan sama
sekali. Manakala seorang lagi meletakkan titik nokhtah dalam perdebatan mereka
bahawa beliau tidak bersetuju dengan semua yang diperkatakan. Tradisi selama 2,000
tahun dilihat lebih mustahak.
Pengakuan
dosa Bergoglio dan Paus Benedict menyedarkan penonton bahawa “kita hanya insan
biasa dan bukannya Tuhan, yang tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan”.
Bergoglio
mempunyai sifat empati dan fleksibel karena membesar di jalanan Buenos Aires,
serta pernah memimpin dalam ketidakstabilan politik yang berlaku di Argentina.
Ia sebuah realiti. Perang kotor (Dirty
War) yang berlaku pada 1976-1983 sememangnya mencabar Bergoglio sebagai
Ketua Jesuit Argentina di mana akhirnya beliau kehilangan kepercayaan daripada
paderi dan biskop lain.
Bergoglio
bukan sahaja menyokong, tetapi juga memainkan peranan langsung dalam hubungan
dengan junta tentera yang diketuai oleh Jeneral Jorge Videla. Ia membawa kepada
penangkapan, dimasukkan ke dalam penjara, penyeksaan dan kehilangan
paderi-paderi Katolik serta orang awam yang menentang pemerintahan tentera
Argentina.
Beliau turut kehilangan bekas majikan dan sahabatnya, Esther Ballestrino yang dicampak ke dalam laut oleh tentera. Bergoglio tidak dapat memaafkan dirinya kerana tidak menyelamatkan orang-orang yang pernah menaruh harapan kepadanya, terutamanya Paderi Jalics dan Paderi Yorio. Ia hari-hari buruk dan kejatuhan reputasi Bergoglio.
Berkemungkinan
besar ia menjadikan Bergoglio lebih terbuka mindanya, memegang ideologi liberal
dan bersikap rasional dalam segala tindakannya — berusaha membawa perubahan
kepada masyarakat dan gereja sehingga diangkat sebagai Paus Francis pada tahun
2013.
Fernando
Meirelles selaku sutradara The Two Popes
sedikit sebanyak mendedahkan skandal seks dan rasuah Vatican yang melanda
gereja walaupun ia tidak mendominasi keseluruhan filem ini kecuali pengakuan
dosa yang dibuat Benedict. Nama Marcial Maciel, seorang paderi dari Mexico yang
menjadikan ramai budak lelaki sebagai mangsa perlakuan seksnya jelas kedengaran
daripada mulut Benedict sebelum suaranya mula tenggelam. Penonton hanya dapat
melihat bibirnya yang bergerak dan wajah Bergoglio yang terkejut. Benedict
mengetahui segala salah laku Maciel tetapi memilih untuk “menyelamatkan” Maciel
dan hanya mendiamkan diri tanpa mengambil apa-apa tindakan lanjut.
Pada
tahun 2019, selepas enam tahun tidak bersuara berhubung skandal gereja, Paus
Benedict menulis sebuah esei 6,000 patah perkataan yang tersiar di sebuah
akhbar Itali. Beliau menyalahkan perlakuan seks yang berpunca daripada
keruntuhan moral pada tahun 1960 dan kegagalan pemimpin Katolik dalam
menegakkan ajaran tradisional gereja.
Beliau
turut menulis bahawa dalam 20 tahun (1960
hingga 1980), piawaian normatif mengenai seksualiti runtuh sepenuhnya. Antara
perubahan dalam pandangan Benedict ialah pedofilia dilihat sebagai
"dibenarkan dan sesuai" dan pornografi menjadi meluas dan diterima.
Sementara itu, kepimpinan gereja pula berada dalam krisis.
Dalam
tengah-tengah doktrin agama, The Two
Popes berfungsi sebagai sinema yang menarik kerana ia memaparkan sisi watak
manusia. Kelemahan mereka disusun dengan indah, membolehkan penonton menyedari
bahawa ia adalah sebahagian daripada kehidupan dan membawa semula jiwa yang
hilang.
Benar
apa yang dikatakan oleh Bergoglio: kita perlu membina jambatan, bukan tembok.
____________________