Cerpen “Demi Revathy Kutti” (Dewan Sastera, Julai 2020) merupakan cerpen kedua M. Mahendran yang tersiar di majalah berkenaan. Penulis ini yang berasal dari Bentong, Pahang membuktikan bahawa tidak pernah terlewat untuk muncul dengan karya yang layak bagi majalah sastera arus perdana itu.
Mahendran
bukan nama baharu dalam bidang penulisan. Beliau menulis karya Bahasa Malaysia
dan Tamil sejak tahun 1987, serta melakukan terjemahan silang melibatkan
kedua-dua bahasa berkenaan.
Cerpen
terbaharu beliau menampakkan peningkatan mutu, selain mengekalkan gaya
penulisan yang sudah sebati dengan dirinya. Hal ini tidak menghairankan kerana
walaupun sudah menjadi penulis veteran, Mahendran tidak jemu-jemu untuk belajar
dan menimba ilmu bagi meningkatkan kualiti karya.
Kecuali
perenggan pertama serta hampir tujuh perenggan terakhir, keseluruhan cerpen
“Demi Revathy Kutti” disampaikan menerusi kenangan atau imbas kembali (flashback) watak Vasanthi sejak usia
remaja hingga bergelar ibu kepada seorang anak yang menghadapi masalah
kesihatan.
Dalam sesi bimbingan penulisan cerpen, saya mengingatkan peserta supaya tidak hanya tertumpu kepada “konflik” tetapi turut mementingkan aspek “komunikasi”. Contoh terbaik yang dapat saya fikirkan ialah cerpen “Kabuliwala” tulisan Rabindranath Tagore.
Cerpen
Mahendran turut bergerak atas landasan “komunikasi” antara watak “Aku”
(Vasanthi) dengan watak-watak lain (ibu bapa, rakan-rakan, suami, mentua, anak).
Unsur “konflik” berada di belakang dan tidak ditonjolkan secara
berlebih-lebihan; maka diberi ruang kepada pembaca untuk menghayati cerita dan
memahami isu (konflik) yang diketengahkan.
Untuk
berlaku adil — serta membolehkan orang ramai membaca sendiri cerpen ini — saya
tidak akan memberikan sinopsis cerpen. Sebaliknya, tumpuan adalah kepada reaksi
saya selepas membaca cerpen berkenaan.
Rencana penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).
____________________