Wahai pohon mangga
Mengapakah
kau tidak menunaikan janji?
dari biji
hingga menjadi sepohon pokok
aku telah
menjaga kau
aku telah
memberikan kau secukup masa
secukup
ruang
secukup
nutrien
secukup
cahaya
secukup
air.
Wahai Tuan
bukan aku tidak menunaikan janji
masa telah tiba, usia meningkat
tika aku muda, kau abaikan
kau ambil apa yang kau nak
daun dan buah kau petik
kau berteduh di bawahku
pabila aku tidak mampu
kau memarahiku.
Pohon
mangga
maafkan
aku
aku lupa
jasamu
aku leka
kau telah
menyedarkan aku
namun, kau
terpaksa kutebang
lihatlah
kabel elektrik di kepala kau
mengancam
kesejahteraan.
Duhai Tuan
aku mengerti nasibku
aku tinggalkan anakku
untuk terus bersamamu.
____________________
Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat
pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian
dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Sarjana Pengajaran Bahasa
Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini,
beliau berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting. Puisi,
esei, dan cerpen beliau termuat dalam antologi Busana
Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru
Aksara (2020). Karya beliau turut tersiar di Eksentrika dan Dewan Budaya.