Garisan


Akhirnya, dua garisan merah. Positif. Aku yakin. Senyuman terukir. Garisan yang ditunggu-tunggu. Minggu depan, aku akan dapatkan kepastian. Aku tidak sabar untuk memberitahunya. 

Lapan tahun. Ya, lapan tahun aku lalui dengan pelbagai tohmahan dan cemuhan. Semuanya bermula dengan satu keindahan baharu pada Disember 2013. Penuh kemeriahan dan kegembiraan. Kehidupan baharu didirikan. Semuanya indah. Memang indah. Aku gembira. Dia gembira. Semua gembira. Seperti pesta.

Bulan pertama. Bulan kedua. Bulan ketiga. Masa berlalu begitu cepat sebab kami dilamun cinta. Kami gembira.

“Minggu ini kita pergi ke Port Dickson.”

“Boleh. Hari Jumaat lepas kerja, kita bertolak. Awak letak kereta di pejabat dan saya akan jemput.”

“Okey.”

Begitulah setiap minggu. Minggu ini ke tepi pantai, minggu depan ke pusat membeli belah. Ada kalanya pergi mendaki bukit. Aku dan dia menikmati keseronokan hidup. Kami sentiasa gembira dan tiada apa yang menghalang perhubungan kami. Tiada sebarang paksaan antara kami.

“Malam ini, kita makan di Shokuda, Hotel Armada.”

“Apa yang istimewa di sana?”

“Masakan Jepun yang kamu selalu idamkan. Saya akan tempah satu meja untuk kita berdua.”

Sudah setahun kami mendirikan rumah tangga. Hari ini, kami menyambut ulang tahun pertama dengan penuh romantik. Makan malam disajikan dengan geselan biola yang dimainkan oleh pemuzik yang dijemput khas. Dia menghadiahi aku seutas rantai emas putih. Kegembiraan yang sangat bermakna.

*****

“Bila lagi? Tak ada apa-apa lagikah?” tanya kakak iparku apabila kami balik ke rumah ibu mentua.

Aku hanya mendiamkan diri.

“Usia kamu dan Raj semakin meningkat. Kenalah fikirkan tentang anak,” ibu mentua pula menyambung.

“Baik.” Aku hanya mampu menjawab sepatah.

Aku dan Raj bukannya belum bersedia. Kami memang merancang pada awal perkahwinan, tapi kini kami sudah bersedia. Lawatan ke doktor menunjukkan tiada sebarang masalah kesihatan. Aku dan Raj sihat. Cuma kami belum bernasib baik.

“Sudah ada?”

“Bila lagi?”

“Tunggu apa lagi?”

Aku disoal lagi. Ke mana-mana sahaja aku pergi, aku ditanya. Majlis sambutan hari lahir, majlis perkahwinan, semasa sambutan perayaan atau perjumpaan keluarga. 

Lama-kelamaan aku sakit hati. Hanya Raj memahami aku. Raj langsung tidak memaksa aku dalam hal ini, malah dia juga sudah menasihati ahli keluarganya supaya tidak bertanya tentang perkara itu.

Aku mula menyendiri. Balik kerja, aku masuk bilik dan terus bersiap-siap untuk tidur. Kadang-kadang, aku masak untuk Raj. Kadang-kadang, kami bungkus sahaja. Perhubungan mesra kami mula renggang. Bukan apa, kami berdua asyik memikirkan tentang pertanyaan orang lain. Aku juga tidak mahu pergi ke mana-mana.

Pagi itu, semasa bersarapan, telefon berdering. Aku jawab.

“Apa kata doktor?”

“Semuanya baik. Dalam proses. Mungkin bulan ini akan tahu keputusanya,” aku memberikan jawapan kepada ibu mentua.

“Bulan lepas pun, kamu cakap perkara sama. Raj satu-satunya anak lelaki ibu. Ibu sangat berharap.”

Dua tahun lalu, Raj dan aku mula mendapatkan khidmat doktor pakar. Setiap kali kami bersama, hanya satu perkara dalam minda: mendapatkan zuriat. Kami semata-mata bersama untuk memiliki zuriat. Sudah seperti tiada kasih sayang antara kami. Tiada kemesraan. Tidak seperti pada masa kami mula kahwin.

“Malam ini tak naklah, sayang. Saya penat dan sakit kepala.”

“Kamu sudah ambil ubat?” tanya Raj sambil menyentuh bahuku.

“Ya. ‘Kan saya sudah cakap! Mengapa masih pandang saya lagi?”

“Sekarang ni, setiap kali saya mendekati kamu, kamu rasa saya hanya ingin bersama untuk mendapatkan zuriat. Apa nak buat? Kita sudah menjadi tanda tanya kepada orang di luar sana,” sambung Raj dengan nada sedih.

Aku mula menitiskan air mata.

“Sayang, lepas ini kita tidak perlu dengar kata orang. Kita tak perlu lagi jumpa doktor. Sebenarnya, kasih sayang antara suami isteri lebih penting untuk mewujudkan zuriat berbanding ubat-ubatan yang diberi oleh doktor.”

Malam itu, aku dan Raj mengambil keputusan. Kami berjanji akan saling faham memahami. Tidak perlu terlalu ikutkan kata-kata orang. Ubat-ubatan yang diberi oleh doktor itu penting, tetapi hubungan suami isteri lebih penting. Kami tidak mahu rasa tertekan.

Setelah hampir lima bulan, hari ini aku melihat garisan yang ditunggu-tunggu selama lapan tahun. Aku pasti Raj meloncat kegembiraan apabila mendengar berita ini.

____________________

Anuradha Chelliah
berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini, beliau berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting. Puisi, esei, dan cerpen beliau termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karya beliau turut tersiar di Eksentrika dan Dewan Budaya.