Wahai Tuan Menteri Dalam Negerimerhand, saya memohon tuan membantu saya dalam isu ini. Bantulah saya untuk mengharamkan Bible yang tersebar dalam kalangan orang Tamil beragama Kristian.
Datuk dan
nenek saya dulu meninggalkan agama Hindu. Ibu bapa saya memang membesar sebagai
penganut Kristian. Begitulah juga dengan saya sejak lahir.
Sejak zaman
datuk dan nenek, keluarga kami menjadikan Bible
sebagai satu-satunya pegangan hidup. Selain Father,
Son, and Holy Spirit, kami berpegang kepada Bible yang terdiri daripada Old
Testament dan New Testament.
Tentulah
kami tidak membaca Hebrew Bible iaitu Old Testament dalam ajaran Yahudi. Kami tidak
tahu bahasa Hebrew atau Ibrani. Kami juga tidak membaca versi Inggeris kerana
kurang faham. Pengimportan Alkitab
dari Indonesia pula boleh menimbulkan terlalu banyak masalah daripada
kementerian tuan sendiri.
Maka, kitab
suci yang kami baca selama tiga keturunan ialah Bible versi Tamil yang diusahakan gereja kami sendiri. Bukanlah
gereja Katolik atau Protestant, sebaliknya sebuah gereja Tamil persendirian
yang diasaskan Pastor Mathew pada waktu masih ramai orang Tamil menjadi kuli di
ladang getah.
Segala kos pengurusan
gereja ditanggung oleh Pastor Mathew. Beliau sendiri membesar di estet dan
masuk agama Kristian semasa kecil. Berbekalkan sumbangan pihak luar –
dipercayai orang Eropah – beliau membantu keluarga pekerja ladang getah yang rajin
pergi ke gereja.
Pastor
Mathew yang memperkenalkan keturunan kami kepada Bible. Memandangkan rata-rata pengikutnya orang Tamil yang belajar
pula di sekolah Tamil di estet, beliau membimbing kami menggunakan versi Tamil
yang khabarnya diterjemah sendiri oleh beliau.
“Kitab
inilah yang menjadi penyuluh hidup kalian sepanjang hayat – dan selepas
meninggal dunia. Jangan sesekali merujuk sumber lain agar kalian tidak
terperdaya atau terpesong atau termakan hasutan puak pendakyah.”
Peringatan
seperti itu saya dengar sejak kecil. Peringatan itu menjadi pedoman dan
pegangan kami, selain Bible versi
Tamil.
“Saya bersusah-payah
melakukan terjemahan ini demi manfaat anda semua yang tidak fasih bahasa
Inggeris. Maka, manfaatkanlah usaha ini dan bacalah Bible ini setiap hari,” pesan pastor itu yang kini berumur 101
tahun dan masih aktif.
Kitab Bible versi Tamil inilah yang saya mohon
Tuan Menteri Dalam Negerimerhand haramkan segera. Saya faham bahawa agama
Kristian bukan agama utama di Negerimerhand, namun tuan masih berkuasa mengeluarkan
perintah pengharaman kitab ini kerana kandungannya tersasar dan boleh menyesatkan
umat Kristian.
Apabila sudah
dewasa dan bergaul lebih luas dengan penganut Kristian dari pelbagai latar budaya
dan bahasa, barulah saya mula sedar penyimpangan dilakukan Pastor Mathew menerusi
versi terjemahan bahasa Tamil yang diajar kepada kami semua.
Walaupun
tuan seorang penganut Hindu, mungkin tuan pernah membaca Bible. Jadi, biar saya berikan beberapa contoh untuk menyokong
hujah bahawasanya Pastor Mathew yang kami sanjungi sebenarnya telah dengan
penuh licik menukar kandungan versi Tamil semasa menterjemahkannya.
Dalam Bible yang sahih, Genesis (3:1-6) menceritakan bagaimana
seekor ular berjaya menggoda dan mempengaruhi Eve supaya memetik buah di taman
larangan, lalu diberi kepada Adam. Begitu pula ditegaskan dalam Timothy
(2:14), Eve berjaya diperdaya sehingga melanggar perintah
Tuhan.
Ternyata
hanya Eve dipengaruhi dan diperdaya sang ular sehingga dia memetik buah di
Taman Eden. Itulah fakta yang tercatat dalam Kitab Kejadian atau Genesis dalam
mana-mana bahasa, termasuk versi Tamil diterbitkan di Tamil Nadu, India.
Saya juga
berpeluang membeli dan membaca Alkitab Kudus Malaysia terbitan
Bible Society of Malaysia (BSM). Ia merupakan terjemahan rasmi Bible yang lebih dekat dengan teks asal.
Seorang kawan dari Malaysia membelikannya untuk saya semasa majlis pelancaran di Selangor pada
Disember 2024.
Susulan semua
itulah saya menyedari Bible versi Tamil
yang diterjemah oleh Pastor Mathew serta menjadi pegangan kami sejak dahulu, menyimpang
daripada teks asal. Misalnya, Pastor Mathew dalam terjemahannya mengatakan,
Syaitan berbisik kepada Adam dan cuba mempengaruhinya.
Tuan
mungkin menganggap hal ini remeh-temeh tetapi dalam soal beragama – termasuk dalam
Sanatana Dharma anutan tuan – fakta tidak boleh diubah sesuka hati. Terjemahan Pastor
Mathew sudah mengubah kisah dan fakta.
Saya juga
mahu menarik perhatian Tuan Menteri Dalam Negerimerhand kepada kisah berkaitan
Noah dan banjir besar. Memanglah peristiwa itu diceritakan dalam pelbagai tamadun
dan beberapa kitab serta mitos di seluruh dunia.
Namun
begitu, sebagai penganut agama suci Kristian, saya hanya mahu merujuk kepada
kitab Bible. Menerusi Genesis
(7:13), kita tahu bahawa Noah dan isterinya serta ketiga-tiga
anak lelaki (Shem, Ham, Japheth) dan tiga menantu menaiki sebuah bahtera untuk
menyelamatkan diri. Ada huraian lanjut tentang jurai
keturunan mereka dalam Genesis (10:1-32).
Saya tidak
kisah bagaimana peristiwa itu dipaparkan dalam filem Hollywood atau cerita dongeng
yang disampaikan kepada anak-anak. Akan tetapi, saya terkejut kerana versi
Tamil oleh Pastor Mathew mengubah fakta dalam Bible! (Bersambung pada 30
Disember 2025)
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.