Setiap detik sangat bernilai tatkala berada di sini. Kavin tidak mahu membazirkannya. Dia tidak akan berkompromi dengan sesiapa. Dengan tujuan itulah dia datang ke sini. Biar dia mati sekali pun, dia tidak akan mengubah pendiriannya.
Kavin yang
berpakaian sut hitam, keluar dari bilik hotel menuruni tangga menuju ke ruang
lobi dengan briefcase di tangannya. Dia tidak mahu menggunakan lif. Dia
berasa menggunakan tangga adalah lebih selamat untuk dirinya dan ia juga adalah
cara untuk berwaspada. Nyawanya bukan sahaja penting untuk diri dan keluarganya, malah bagi
rakyat di negaranya.
Kavin perlu mengembalikan
semula segala apa yang telah dilenyapkan selama ini. Jika dia sendiri
dilenyapkan, tiada siapa yang akan meneruskan apa yang dicitakan.
Akan hancur musnahlah segalanya.
Keadaan di ruang
lobi sunyi tanpa manusia. Cuma kedengaran suara staf hotel di bahagian kaunter
hadapan. Jam dinding menunjukkan tepat jam 9 pagi. Jam tangannya pula menunjukkan
9.02 minit pagi. Dia duduk di sofa. Briefcase diletakkan di atas meja kopi diperbuat
daripada kaca.
Kavin memerhatikan
manusia lalu-lalang melalui pintu dinding kaca bangunan hotel. Matahari terik
di luar. Di ruang lobi kesejukan penghawa dingin menyegarkan. Kavin tidak
menikmati suasana. Pelbagai persoalan bermain di benaknya.
Mr. Zack tidak
tahu menghargai masa. Masih seperti dahulu. Kavin tidak suka dengan manusia bersikap
seperti ini. Janji temu adalah tepat 9 pagi.
9.10 minit, baru kelihatan
lelaki berbadan tinggi tegap itu menembus masuk melalui pintu cermin automatik.
Kavin bangun dan bersalaman dengannya dan mempersilakannya duduk.
“Sudah tunggu
lama?”
“Ya, awak lambat
sepuluh minit, Mr. Zack,” suara Kavin kedengaran kesal dan sedikit marah.
“Maafkan saya. Di
sini kami memang begini. Bukan kamu tidak tahu, Mr. Kavin,” jawab Mr.
Zack tanpa rasa bersalah.
“Kita terus kepada
perkara yang hendak dibincangkan pada hari ini. Saya mahu kita mencapai suatu
kata putus agar dapat diselesaikan segera tanpa berlengah-lengah,” wajah Kavin
nampak tegang.
Kavin membuka briefcasenya
dan mengeluarkan fail mengandungi surat permohonan dan kertas cadangan untuk tatapan Mr.
Zack.
“Ini permohonan
dan kertas cadangan kami. Sama dengan yang saya e-melkan kepada awak,” kata
Kavin.
Mr. Zack meneliti
satu persatu kertas cadangan yang panjang lebar itu dan berfikir agak lama. Kavin
melihat jam tangannya. Sudah pukul 9.30 pagi. Dia masih belum bersarapan.
Makanan bukan perkara penting lagi. Ada perkara lain perlu diselesaikan, jauh
lebih penting daripada sarapan.
“Saya tidak bersetuju dengan
cadangan ini. Kamu masih sama seperti dahulu, Mr. Kavin. Bila kamu
mahu berubah?” kata Mr. Zack menguntum senyum sumbing.
“Mengapa tidak
boleh?”
“Memang tidak
boleh. Cadangan kamu langsung tidak masuk akal pada zaman ini,” wajah Mr. Zack
beransur menjadi masam.
“Wakil awak
menjanjikan sesuatu yang baik ketika berada di negara kami,” kata Kavin dengan
nada keras.
“Kamu mahu
mengembalikan bahasa dan tulisan asal di negara kamu seperti dua ratus tahun dahulu. Itu tidak boleh,” kata Mr. Zack tanpa
memandang Kavin.
“Itu adalah bahasa-bahasa
di negara kami. Kami sudah turun-temurun hidup di situ. Pelbagai negara
berkuasa di negara kami hingga menghapuskan kesemua bahasa. Dan keturunan kami pada
zaman itu tidak mempertahankan bahasa mereka. Perlembagaan digubal dan digubal semula
hingga semua berubah,” kata-kata itu keluar dengan sungguh kesal.
“Itu adalah salah
keturunan kamu di negara kamu sendiri. Sekarang negara kamu, kami punya. Kerajaan-kerajaan lampau yang menjadikan negara kamu jatuh mundur. Jadi, pemerintah kami yang membangunkan semula negara
kamu. Kamu tidak belajar sejarah, Mr. Kavin?” nada suara Mr. Zack seperti
mempersendakan kewibawaan Kavin.
“Jadi, untuk
selama-lamanya awak mahu kami amalkan tulisan dan bahasa negara awak di negara kami? Walaupun kami
boleh bertutur sedikit sebanyak bahasa-bahasa lampau kami, itu tidak cukup.
Saya mahu sekolah-sekolah di negara kami diubah sama sekali seperti tahun-tahun
1900-an dan 2000-an,” kata Kavin sambil bangun dari kerusi menuju ke arah Mr. Zack. (Bersambung pada 6 Januari 2026)
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.